Bekas pemimpin kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang telah dibubar, kini beralih tumpuan daripada pengganasan kepada usaha membina keamanan dan pembangunan ekonomi di Indonesia.
Malah, mereka menyeru bekas anggota kumpulan itu supaya menyumbang kepada kemajuan negara dan meninggalkan ideologi ekstremis.
Pada 8 September di Bekasi, satu perhimpunan yang dihadiri oleh kira-kira 400 bekas anggota JI berlangsung bagi memperkukuh sumpah membubarkan kumpulan itu.
Ia sebahagian daripada kempen nasional yang dijalankan bekas pemimpin JI dengan kerjasama Pasukan Detasmen 88 Polis Nasional Indonesia bagi meningkatkan kesedaran mengenai pembubaran kumpulan tersebut.
Seorang peserta, Encik Tri Widadi, 46 tahun, dari Bekasi, berkata beliau menghadiri perhimpunan itu kerana ingin “mengelakkan lebih banyak keburukan”. Encik Tri berkata beliau sekarang berminat mendalami ajaran Islam yang bukan berdasarkan kebencian atau dendam.
“Saya akan terus belajar tentang ajaran Islam, tetapi bukan yang berasaskan permusuhan dan balas dendam,” katanya kepada Berita Harian (BH) selepas perhimpunan itu.
Acara ini turut menyaksikan peserta melafazkan sumpah bersama menyokong pembubaran JI. Perhimpunan itu diakhiri dengan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia Indonesia Raya sebagai simbol ketaatan mereka kembali menyokong negara.
Kempen itu melibatkan pertemuan dengan sekitar 6,000 bekas pengikut JI di pelbagai tempat di serata Indonesia. Antara tempat lain yang mengadakan acara serupa ialah Mataram di Nusa Tenggara Barat. Di sana, seorang bekas pemimpin JI, Abu Fatih, mendedahkan terdapat pengikut yang masih belum dapat menerima pembubaran tersebut.
“Mungkin dia belum mendapat maklumat betul mengenai apa yang berlaku. Namun, kami yakin apabila dia mendapat maklumat tepat, dia akan menerimanya kerana rujukan kita sama, Al-Quran, ahli sunah waljamaah, dan kata-kata ulama,” kata Abu Fatih.
Bekas pemimpin JI dari 2004 hingga 2007, Zarkasih, menegaskan pembubaran kumpulan itu perlu selepas 30 tahun kewujudannya. Beliau mengakui kumpulan itu mengambil jalan salah, di mana ajaran mereka berpotensi mencetuskan pertumpahan darah di negara majoriti Muslim seperti Indonesia.
“Kehilangan nyawa seorang Muslim adalah tanggungjawab yang berat di hadapan Allah. Kami sepenuhnya mengakui bahawa kami salah dan atas nama semua ahli, kami memohon maaf kepada rakyat dan negara atas kesilapan yang telah kami lakukan,” kata Zarkasih.
Seorang ulama kanan, Encik Bambang Sukirno, turut bertanya kepada hadirin sama ada mereka bersetuju dengan pembubaran JI. “Adakah anda semua setuju dengan sumpah pembubaran ini dan menyokongnya?” tanya beliau, dan hadirin menjawab serentak: “Ya, kami setuju, dan kami bersedia.”
Ucapan sumpah oleh bekas ahli JI ini menegaskan komitmen mereka untuk menyokong pembubaran JI dan menyatakan kesediaan mereka kembali menyumbang kepada kemajuan Indonesia serta menjauhkan diri daripada fahaman ekstremis.
Abu Rusdan, bekas pemimpin JI yang menyertai perhimpunan itu melalui persidangan video, menyeru rakan-rakannya agar menghentikan sebarang niat melaksanakan ‘amaliyah’, atau misi keagamaan yang berbahaya.
Menurutnya, “tidak ada lagi alasan untuk melakukannya,” dan beliau turut memohon maaf atas tindakan bekas rakan-rakannya. Beliau juga menjelaskan tiada fatwa menyatakan Indonesia negara thogut (negara dengan pemerintah yang menindas dan menentang ajaran Islam), tetapi dakwaan itu hanya khabar angin yang disebar oleh anggota senior kepada lebih muda tanpa rujukan kukuh.
“Bagi anda yang masih menyimpan senjata dan peluru, sila serahkan kepada pihak berkuasa,” tambahnya.
Antara serangan pengganasan paling dahsyat yang dikaitkan dengan JI ialah pengeboman Hotel J.W Marriott di Jakarta pada 2003, pengeboman Kedutaan Australia pada 2004, serangan kedua di Bali pada 2004, dan pengeboman Hotel Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta pada 2009.
Pengarah Pencegahan di Agensi Pencegahan Keganasan Nasional (BNPT), Encik Irfan Idris, memberitahu BH pembubaran itu memerlukan tindakan nyata. “Apa orang awam ingin lihat ialah tindakan sebenar, dan pembubaran ini tidak memberi manfaat kepada individu tertentu yang cuba melindungi aset mereka,” kata Irfan.
Program kesedaran itu akan diteruskan di bandar-bandar lain seperti Palembang dan Pekanbaru di Sumatera, dan akan berakhir di Solo, Jawa Tengah – kampung halaman Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo serta Abu Bakar Bashir, bekas anggota kanan JI yang menyokong kumpulan pengganas ISIS.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg