JAKARTA: Bekas pendakwa kanan Indonesia yang pernah mengetuai siasatan kes rasuah berprofil tinggi mula dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah selepas pihak berkuasa menemui wang tunai bernilai jutaan dolar serta puluhan kilogram jongkong emas di beberapa hartanah yang dikaitkan dengannya.

Febrie Adriansyah, bekas Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas di Pejabat Peguam Negara (AGO), didakwa menerima wang, saham serta hartanah bernilai ratusan bilion rupiah yang dipercayai berkaitan dengan kes rasuah yang dikendalikannya.

Beliau menafikan tuduhan itu.

Pendakwa raya, Encik Agus Sahat Sampe Tua Lumban Gaol, memberitahu Mahkamah Rasuah Jakarta pada 7 Oktober bahawa Febrie didakwa menerima sejumlah 346.74 bilion rupiah ($26.5 juta) dan AS$440,990 ($568,000), selain saham, tanah dan bangunan.

Pendakwaan mendakwa beliau mengetahui atau sepatutnya mengesyaki bahawa aset berkenaan merupakan hasil kegiatan rasuah.

“Dia telah turut serta melakukan perbuatan jenayah sebagai penjawat awam atau pegawai negara, dengan tujuan mendapatkan keuntungan secara tidak sah untuk dirinya sendiri atau orang lain, atau menyalahgunakan kuasanya untuk memaksa seseorang,” menurut kertas pertuduhan.

Febrie meletakkan jawatan pada Julai selepas lebih empat tahun memegang jawatan kanan itu, menyusuli serbuan ke atas beberapa hartanah termasuk rumahnya di luar Jakarta.

Penyiasat dilaporkan merampas wang tunai dalam pelbagai mata wang bernilai kira-kira AS$19 juta serta 74 kilogram jongkong emas yang bernilai jutaan dolar lagi.

Kes itu menjadi perhatian kerana Febrie sebelum ini merupakan antara pegawai tertinggi yang bertanggungjawab menyiasat dan mendakwa kes rasuah di Indonesia.

Pendakwa raya mendakwa sebahagian wang yang diterimanya mempunyai kaitan langsung dengan tugas dan kuasanya ketika berkhidmat sebagai Pengarah Siasatan AGO sebelum dilantik sebagai Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas.

Antara dakwaan utama ialah pembayaran 55 bilion rupiah daripada ahli perniagaan hartanah, Encik Tan Kian.

Pendakwa mendakwa wang itu disalurkan melalui ahli perniagaan, Encik Ferry Yanto Hongkiriwang, bagi mengelakkan Encik Tan dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah membabitkan syarikat insurans sosial Angkatan Tentera Indonesia, ASABRI, yang ketika itu disiasat AGO.

“Sebanyak 55 bilion rupiah yang diterima daripada Tan Kian melalui Ferry Yanto Hongkiriwang merupakan hasil perbuatan jenayah pemerasan,” kata Encik Agus.

Pendakwa raya turut memperincikan beberapa pembayaran lain yang didakwa diterima Febrie.

Antaranya ialah saham bernilai 14 bilion rupiah daripada pemilik dan pengarah PT Cahaya Baja Sukses, Encik Michael Njoman, serta 20.6 bilion rupiah daripada Presiden Pengarah PT Oktasan Baruna Persada, Encik Tria Bellitonito Aturbumi.

Dia juga didakwa menerima 60 bilion rupiah berserta tanah dan bangunan daripada pemilik manfaat PT Budi Agung Sentosa, Encik Andy Chandra Tan, dan presiden pengarah syarikat itu, Encik Heri Janto.

Aset berkenaan didakwa disalurkan menerusi peguam, Encik Don Ritto, dan ahli perniagaan, Encik Nurman Herin, menggunakan syarikat PT Kresna Pusaka Energi.

Pendakwa raya turut mendakwa Febrie menerima 203.47 bilion rupiah daripada beberapa pihak lain berkaitan kes rasuah yang dikendalikannya ketika memegang dua jawatan kanan di AGO.

Encik Don Ritto dan Encik Nurman turut menjadi defendan dan berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.

Encik Ferry pula diberikan status saksi terlindung oleh Lembaga Perlindungan Saksi dan Mangsa Indonesia (LPSK).

Menurut pihak pendakwaan, wang yang didakwa diterima Febrie kemudiannya disembunyikan atau disamarkan melalui beberapa akaun bank.

Dana berkenaan dipercayai dimasukkan dan dipindahkan antara akaun sebelum digambarkan sebagai modal perniagaan bagi beberapa syarikat yang mempunyai kaitan dengan pihak terbabit.

Sebahagian wang itu juga didakwa digunakan untuk membeli aset termasuk tanah dan bangunan.

Pendakwa raya berkata langkah tersebut dilakukan dengan tujuan menyembunyikan atau menyamarkan sumber sebenar harta yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan rasuah.

Febrie berdepan beberapa pertuduhan di bawah undang-undang antirasuah Indonesia, termasuk peruntukan berkaitan pemerasan oleh pegawai awam dan penerimaan habuan yang dianggap sebagai rasuah.

Beliau turut didakwa di bawah peruntukan Kanun Jenayah berkaitan pengubahan wang haram.

Selepas kertas pertuduhan dibacakan, peguamnya, Febri Diansyah, berkata pihak pembelaan akan mengemukakan bantahan terhadap pertuduhan itu.

Menurut beliau, terdapat perbezaan antara beberapa perkara yang timbul ketika siasatan dengan apa yang akhirnya dimasukkan dalam kertas pertuduhan.

“Terus terang, kami melihat banyak masalah dalam kertas pertuduhan yang kami terima,” katanya.

Kes itu sekali lagi meletakkan usaha Indonesia memerangi rasuah dalam perhatian, khususnya kerana tertuduh pernah memegang jawatan penting dalam institusi yang bertanggungjawab membanteras jenayah berkenaan.

Indonesia mencatat skor hanya 34 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 Transparency International, mencerminkan cabaran berterusan negara itu dalam menangani rasuah dalam sektor awam. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti