JAKARTA: Penemuan deretan bangunan menyerupai vila yang dilengkapi pendingin hawa, televisyen, peti sejuk, kolam renang dan kemudahan lain di kawasan Penjara Kelas IIA Cibinong di Bogor, Jawa Barat, mencetuskan kontroversi mengenai kemungkinan wujud layanan istimewa terhadap banduan tertentu.

Kemudahan itu terbongkar selepas Ombudsman Indonesia melakukan pemeriksaan mengejut pada 23 September lalu di kawasan belakang penjara tersebut.

Lebih 10 bangunan yang kelihatan seperti vila, rumah inap dan rumah teres ditemui, selain tempat letak kereta, gimnasium, kolam renang dan sebuah simulator golf yang masih dalam pembinaan.

Lebih mencurigakan, Ombudsman berkata bangunan berkenaan mempunyai bilik dengan kemudahan berbeza, seolah-olah menawarkan beberapa kategori penginapan.

Anggota Ombudsman, Cik Syafrida R. Rasahan, berkata keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada sebahagian kemudahan tersebut mungkin digunakan sebagai tempat penginapan berbayar untuk banduan tertentu.

“Kemudahan itu kelihatan mempunyai fungsi berbeza, tetapi terdapat juga semacam piawaian seperti tempat penginapan dengan bilik suite, deluxe dan superior,” katanya.

Dalam sebuah bangunan, pemeriksa menemui sofa, televisyen, peti sejuk, meja makan dan ruang dapur. Botol wiski dan bir turut ditemui, termasuk minuman beralkohol yang disimpan di dalam peti sejuk.

Beberapa kereta mewah juga dilihat diletakkan berhampiran bangunan tersebut.

Ombudsman berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kor Trafik Polis Nasional Indonesia bagi mengenal pasti pemilik berdaftar kenderaan itu dan menentukan sama ada ia mempunyai kaitan dengan banduan.

Lebih serius, Ombudsman mendakwa seorang banduan yang ditemui di salah sebuah bangunan memberitahu pemeriksa bahawa beliau membayar untuk berada di situ, namun jumlah bayaran tidak dinyatakan.

Keterangan itu menimbulkan syak bahawa kemudahan tersebut mungkin dikomersialkan atau disediakan sebagai layanan khas kepada banduan tertentu.

Pihak berkuasa penjara bagaimanapun belum membuat kesimpulan bahawa bangunan itu digunakan sebagai kediaman mewah untuk banduan.

Ketua Pengarah Pemasyarakatan, Encik Mashudi, memberitahu Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bahawa sebuah bangunan yang dianggap menyerupai banglo sebenarnya merupakan pejabat operasi bagi program penggemukan lembu.

Beliau berkata bangunan itu dibina menggunakan peruntukan negara, tetapi tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai program tersebut atau lokasi ternakan berkenaan.

Pihak berkuasa turut berkata sebahagian rumah di kawasan itu merupakan kediaman rasmi kakitangan penjara dan kemudahan bagi program asimilasi dan pendidikan banduan.

Namun, persoalan mengenai status bangunan itu semakin mendalam selepas Ketua Inspektor Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Rudi Setiawan, berkata hanya tiga daripada 16 bangunan di kawasan berkenaan didaftarkan dalam sistem pengurusan aset negara.

Sebanyak 13 bangunan lain berhampiran tebing Sungai Ciliwung tidak didaftarkan sebagai aset negara.

Menurut Encik Rudi, bangunan tersebut tidak dibiayai menggunakan belanjawan negara tetapi dibina secara bebas.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan siapa yang membiayai pembinaannya.

Bangunan itu juga dikatakan tidak mempunyai permit dan terletak di kawasan yang tidak sepatutnya dibangunkan kerana terlalu hampir dengan sungai.

Kontroversi semakin memuncak selepas pihak berkuasa mengesahkan beberapa banduan kes rasuah berada di kawasan berkenaan ketika pemeriksaan Ombudsman dijalankan.

Dua daripadanya ialah Ahmad Albani dan Hasan Tjhie, masing-masing sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun dalam kes rasuah PT Timah.

Encik Mashudi menafikan mereka tinggal secara rahsia di bangunan itu bagi menikmati keadaan lebih selesa berbanding banduan lain.

Menurutnya, kedua-dua mereka berada di kawasan tersebut untuk mengikuti kegiatan asimilasi dan pendidikan.

Ombudsman turut mengesahkan bahawa ahli perniagaan yang disabitkan kesalahan rasuah, Jimmy Masrin, berada di kawasan itu ketika pemeriksaan dijalankan.

Lebih mengundang persoalan, sekeping gambar Jimmy yang dibingkaikan ditemui dalam salah sebuah rumah.

Pihak penjara menjelaskan gambar tersebut pernah dirampas daripada Jimmy ketika pemeriksaan keselamatan sebelum disimpan di kediaman ketua keselamatan dan ketenteraman penjara.

Penjelasan itu dipersoalkan anggota DPR, Encik Yanuar Arif Wibowo, yang meminta pihak penjara memberikan penjelasan lebih meyakinkan kepada orang ramai.

Satu lagi kelemahan yang dikenal pasti ialah ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar deretan bangunan berkenaan.

Ketua Penjara Cibinong, Encik Wisnu Hani Putranto, mengakui CCTV hanya dipasang di blok utama penjara dan bukan di kawasan tersebut.

Encik Wisnu kini antara lima pegawai Penjara Cibinong yang digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Pihak berkuasa pemasyarakatan juga sudah menyoal 55 banduan, termasuk 33 pesalah rasuah serta bekas jeneral polis, Ferdy Sambo, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana pembunuhan terancang pegawai bawahannya, Brigedier Nofriansyah Yosua Hutabarat.

Susulan kontroversi itu, pihak berkuasa mula merobohkan 10 bangunan menyerupai apartmen di kawasan berkenaan pada 30 September.

Jentera berat digunakan untuk merobohkan bangunan berwarna putih itu di hadapan pegawai kementerian, anggota DPR dan wartawan selepas perabot serta barangan lain dikeluarkan.

Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan berkata siasatan masih dijalankan bagi menentukan bagaimana bangunan itu dibina dan digunakan, termasuk sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa atau pemberian layanan istimewa kepada banduan tertentu.

Ombudsman pula menggesa kementerian melakukan penilaian menyeluruh terhadap kemudahan, kakitangan dan sistem pengawasan di Penjara Cibinong bagi memastikan tidak wujud layanan berbeza berdasarkan kedudukan atau kemampuan kewangan seseorang banduan. - Agensi berita