Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas ketua polis Indonesia, 5 pegawai kanan disyaki khianati negara
Bekas ketua polis Indonesia, 5 pegawai kanan disyaki khianati negara
JAKARTA: Polis Indonesia pada 23 November menamakan bekas Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, dan lima pegawai kanan polis lain sebagai suspek dalam komplot yang didakwa bertujuan menggugat pemerintahan Presiden Prabowo Subianto.
Mereka disyaki terlibat dalam kegiatan pengawasan dan pemintasan komunikasi secara haram serta beberapa tindakan yang bertujuan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Presiden Prabowo.
Dakwaan berkaitan pengkhianatan terhadap negara itu menyusuli tuduhan sebelum ini bahawa Listyo mengarahkan intipan komunikasi terhadap Presiden Prabowo dalam usaha mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Polis Negara.
Ketua Badan Siasatan Jenayah (Bareskrim) Polis Indonesia, Encik Asep Safrudin, berkata pihaknya telah mengumpulkan bukti berdasarkan keterangan saksi, pengakuan suspek lain serta hasil siasatan lanjut.
“Dakwaan ini timbul daripada pemeriksaan terhadap saksi dan suspek lain serta bukti yang telah dikumpulkan,” katanya dalam satu sidang media di Jakarta.
Lima suspek lain ialah bekas Ketua Bahagian Undang-Undang Polis Negara, Ahrie Sonta Nasution; bekas Ketua Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Slamet Uliandi; bekas Pengarah Jenayah Narkotik, Eko Hadi Santoso; serta dua pegawai kanan polis, Tedjo Kusumo dan Iman Imanuddin.
Menurut Encik Asep, Listyo disyaki mengarahkan satu operasi untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap Presiden Prabowo demi mengekalkan kedudukannya sebagai ketua polis.
Listyo didakwa menyampaikan arahan menerusi Ahrie Sonta, manakala Slamet bertanggungjawab menentukan sasaran pengawasan, mengarahkan pintasan komunikasi serta menerima laporan perisikan harian.
Tedjo pula didakwa menjalankan operasi pengawasan terhadap individu yang menjadi sasaran.
“Mereka turut menggerakkan demonstrasi berkaitan isu tertentu, mengarahkan pengambilan pihak luar, mencari dana bagi membiayai operasi serta mengarahkan kakitangan memadamkan data dalam pelayan komputer bagi menghapuskan bukti,” kata Encik Asep.
Eko Hadi pula disyaki menentukan sasaran intipan dan mengarahkan operasi pengawasan.
Sementara itu, Iman didakwa mengarahkan penghasilan kandungan media sosial yang menyerang institusi polis serta menempah 500 helai kemeja-T untuk digunakan dalam demonstrasi.
“Para suspek disyaki terlibat dalam komplot, persiapan dan tindakan awal pengkhianatan terhadap negara, dengan motif mengekalkan jawatan Ketua Polis Negara menerusi usaha melemahkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Presiden Prabowo Subianto,” ujar Encik Asep.
Pihak penyiasat telah mengambil keterangan daripada 71 saksi serta merampas beberapa bahan bukti, termasuk telefon bimbit, cakera keras komputer, kemeja-T dan wang tunai berjumlah 735 juta rupiah ($51,935).
Di bawah Kanun Keseksaan Indonesia, kesalahan pengkhianatan terhadap negara boleh membawa hukuman mati.
Encik Asep berkata perancangan komplot tersebut dipercayai bermula dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Slamet dan dihadiri beberapa suspek lain pada 3 Oktober 2024 – hanya 17 hari sebelum Encik Prabowo mengangkat sumpah sebagai presiden.
Menurut pihak penyiasat, mesyuarat itu membincangkan hala tuju dasar pemerintah baharu, mengenal pasti tokoh politik berpengaruh, kemungkinan senario pemecatan presiden serta calon berpotensi bagi jawatan Ketua Polis Negara.
Mereka turut menganalisis krisis politik pada 1998 yang membawa kepada peletakan jawatan Presiden Suharto selepas lebih tiga dekad berkuasa.
Polis mendakwa perbincangan tersebut disusuli kegiatan pintasan komunikasi beberapa tokoh terkemuka negara.
Maklumat yang diperoleh kemudian digunakan untuk menjalankan pengawasan terhadap pegawai pemerintah, pemimpin institusi negara dan tokoh politik.
Menurut Encik Asep, kumpulan itu turut didakwa melaksanakan dua pendekatan, iaitu apa yang disifatkan pihak penyiasat sebagai “serangan udara” menerusi kempen media sosial yang diselaraskan dan “serangan darat” menerusi usaha menggerakkan demonstrasi.
Presiden Prabowo sebelum ini mengekalkan Listyo sebagai Ketua Polis Negara sehingga 1 Oktober 2026, apabila beliau dilantik sebagai Ketua Staf Presiden.
Namun, belum sampai dua bulan menyandang jawatan baharu itu, Listyo ditangkap bersama beberapa pegawai kanan polis berhubung dakwaan menyadap komunikasi Presiden Prabowo secara haram.
Sejak ditahan, Listyo belum memberikan sebarang maklum balas secara terbuka terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Identiti peguam yang bakal mewakilinya juga belum diumumkan.
Listyo dijangka menghadapi prosiding tatatertib berhubung pelanggaran kod etika kepolisan minggu ini.
Dua suspek lain telah menjalani prosiding tatatertib dan dikenakan hukuman pemecatan daripada pasukan polis secara tidak terhormat.
Bagaimanapun, keputusan prosiding terhadap Listyo masih belum diketahui. – Agensi berita.