Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkandal Intip Prabowo: Dakwaan khianat negara gegarkan institusi polis Indonesia
Cetuskan tanda tanya mengapa Presiden disasar, dan bagaimana ia berlaku tanpa dikesan awal
Skandal Intip Prabowo: Dakwaan khianat negara gegarkan institusi polis Indonesia
Penahanan bekas Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, atas dakwaan melakukan kegiatan mengintip secara haram terhadap Presiden Prabowo Subianto, dan puluhan tokoh penting negara mencetuskan antara krisis paling serius pernah melanda institusi polis republik itu.
Skandal berkenaan bukan sahaja menggugat kewibawaan pasukan polis yang sudah lama berdepan pelbagai kontroversi, malah menimbulkan persoalan mengenai sejauh manakah teknologi pengawasan negara boleh disalahgunakan oleh pegawai yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.
Keputusan Encik Prabowo memecat Jeneral Listyo daripada jawatan Ketua Staf Presiden pada 4 November menunjukkan betapa seriusnya pemerintah memandang dakwaan tersebut.
Lebih membimbangkan, Istana Presiden menyifatkan kegiatan mengintip itu berpotensi dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara kerana ia boleh mengancam keselamatan pemimpin serta kepentingan dan kedaulatan Indonesia.
Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata Presiden amat bimbang terhadap dakwaan kegiatan mengintip, pemadaman bukti elektronik dan akses tanpa kebenaran kepada maklumat sulit negara.
“Kami percaya tindakan ini berpotensi dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara dan perbuatan yang membahayakan keselamatan serta kepentingan negara, termasuk keselamatan kepimpinan negara,” katanya.
Bagaimanapun, motif sebenar intipan itu masih belum diketahui.
Encik Prabowo telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Jeneral Suyudi Ario Seto, menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti tujuan dan pihak yang mungkin terbabit.
Leftenan Jeneral Ariyo Windutomo, dilantik sebagai Pemangku Ketua Staf Presiden menggantikan Jeneral Listyo, yang baru menyandang jawatan awam itu pada awal Oktober selepas digugurkan sebagai Ketua Polis Negara.
Siasatan awal menunjukkan kegiatan mengintip itu dipercayai berlaku antara 2025 dengan 2026, melibatkan nombor telefon Presiden, pegawai kanan pemerintah, ahli politik, organisasi media, pemimpin pertubuhan masyarakat, badan bukan pemerintah dan ahli perniagaan.
Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Negara (Bareskrim), Pesuruhjaya Jeneral Asep Safrudin, berkata Jeneral Listyo dan dua pegawai kanan polis lain telah ditahan bagi membantu siasatan.
Dua suspek berkenaan ialah Ketua Bahagian Undang-Undang Polis Negara, Inspektor Jeneral Ahrie Sonta Nasution; dan pegawai kanan Institut Pendidikan dan Latihan Polis Negara, Inspektor Jeneral Eko Hadi Santoso.
Menurut Encik Asep, suspek dipercayai mengarahkan operasi pengawasan tanpa permintaan rasmi penyiasat atau laporan polis yang diperlukan.
Nombor telefon sasaran kemudian dimasukkan ke dalam pelayan Sistem Pengurusan Pemintasan Sah (LIMS) tanpa melalui proses pengesahan.
Sistem itu membolehkan pihak berkuasa memintas komunikasi melalui rangkaian syarikat telekomunikasi, termasuk perbualan telefon dan maklumat mengenai panggilan.
Bagaimanapun, sistem tersebut tidak semestinya membolehkan mesej yang dilindungi penyulitan hujung ke hujung dibaca.
Peraturan Ketua Polis Negara 2010 menetapkan bahawa kegiatan pemantauan mesti mematuhi undang-undang, melindungi hak asasi manusia dan dilaksanakan hanya bagi tujuan siasatan serta proses jenayah yang sah.
Dakwaan bahawa sistem tersebut digunakan tanpa kelulusan sewajarnya menunjukkan kemungkinan wujud kelemahan serius dalam kawalan terhadap teknologi pengawasan negara.
Satu lagi perkembangan membimbangkan ialah dakwaan bahawa suspek mengarahkan rakaman komunikasi yang dipintas dipadamkan daripada komputer yang disambungkan kepada sistem LIMS sekitar Oktober 2026.
Kegiatan itu terbongkar selepas seorang pegawai yang menyedarinya membuat laporan polis pada 30 Oktober.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Siber Indonesia (CISSReC), Encik Pratama Persadha, berkata dakwaan pemadaman fail menjadikan kes tersebut lebih serius.
Menurut beliau, sekiranya fail dipadamkan dengan sengaja untuk menghapuskan bukti, kes itu bukan lagi sekadar membabitkan penyalahgunaan kuasa mengintip, malah turut menjejas kewibawaan bukti elektronik.
“Dari sudut keselamatan siber, kes ini menunjukkan kelemahan dalam kawalan akses, prosedur kebenaran dan pengawasan dalaman.
“Memasukkan nombor telefon ke dalam LIMS sepatutnya hanya dibenarkan kepada pegawai yang mempunyai kuasa,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Setakat ini, penyiasat telah menyoal 10 saksi dan tiga saksi pakar.
Suspek berdepan tiga pertuduhan berpotensi mengikut Kanun Jenayah 2023 dan Undang-Undang Maklumat serta Transaksi Elektronik 2024, dengan hukuman penjara maksimum masing-masing 10, enam dan lapan tahun.
Skandal tersebut turut membawa implikasi politik lebih luas kerana ia melibatkan bekas ketua institusi keselamatan utama negara yang baharu dilantik ke jawatan penting di Istana Presiden.
Jika dakwaan itu terbukti, persoalan besar bukan sekadar mengapa Presiden menjadi sasaran, tetapi bagaimana kegiatan pengawasan sedemikian boleh berlaku tanpa dikesan lebih awal.
Keadaan bertambah tegang apabila kehadiran polis di jalan utama Jakarta meningkat, sementara tentera Indonesia mengerahkan lebih 20,000 anggota ke ibu kota ketika siasatan diteruskan.
Jurucakap Tentera Laut Indonesia, Laksamana Madya Tunggul, berkata pengerahan anggota bertujuan memastikan keselamatan dan kestabilan negara.
Namun, pengerahan pasukan keselamatan secara besar-besaran turut menggambarkan betapa sensitifnya krisis yang sedang pemerintah hadapi.
Bagi Encik Prabowo, cabaran utama kini bukan sekadar memastikan pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan, bahkan bagi membuktikan bahawa institusi keselamatan negara tertakluk kepada undang-undang dan pengawasan yang berkesan.
Tanpa siasatan telus serta pembaharuan kawalan dalaman, skandal ini berisiko menghakis lagi kepercayaan rakyat terhadap polis.
Seperti ditegaskan Encik Prasetyo, pemerintah memandang kes itu dengan amat serius kerana ia membabitkan bukan sahaja keselamatan pemimpin, bahkan juga “keselamatan dan kepentingan negara”.