Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas ketua polis Indonesia diberi peluang kedua hadiri sidang etika
Bekas ketua polis Indonesia diberi peluang kedua hadiri sidang etika
Suruhanjaya Etika Polis Indonesia menjadualkan satu lagi sidang etika minggu depan bagi bekas ketua polis negara itu, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, selepas beliau gagal menghadiri sidang pertama pada 26 November.
Jeneral Listyo disyaki melakukan pengkhianatan terhadap negara serta mengintip perbualan telefon Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dan beberapa tokoh awam serta ahli politik terkemuka secara haram.
Jurucakap polis, Inspektor Jeneral Johnny Eddizon Isir, berkata sidang yang dijadualkan bermula pada 9 pagi itu ditangguhkan selepas Jeneral Listyo secara rasmi menyatakan keengganannya untuk hadir tanpa memberikan sebarang alasan.
Pengerusi suruhanjaya etika kemudian mengarahkan pihak pendakwa memanggil semula Jeneral Listyo untuk menghadiri sidang kedua pada 30 November, jam 9 pagi.
“Beliau akan diberi peluang mengemukakan pembelaannya sekiranya menghadiri sidang itu. Namun, jika beliau sekali lagi gagal hadir, sidang etika akan diteruskan mengikut prosedur sehingga keputusan dibuat, meskipun tanpa kehadiran beliau,” kata Inspektor Jeneral Johnny.
Peraturan Polis Nasional Indonesia menetapkan bahawa pegawai yang disyaki melanggar kod etika wajib menghadiri sidang etika. Kegagalan menghadiri sidang pertama akan menyebabkan saman kedua dikeluarkan.
Penganalisis kepolisan dari Institut Kajian Keselamatan dan Strategik (ISSES), Encik Bambang Rukminto, berkata pegawai yang disyaki melakukan pelanggaran etika mempunyai hak untuk menolak menghadiri sidang tersebut.
Bagaimanapun, menurut peraturan polis, kegagalan menghadiri sidang kedua tidak akan menghalang prosiding daripada diteruskan.
Pegawai berkenaan juga akan kehilangan hak untuk mengemukakan pembelaan dan membuat rayuan terhadap keputusan suruhanjaya etika sekiranya gagal hadir buat kali kedua.
“Kemungkinan besar Listyo sedar bahawa sidang etika itu baginya sekadar memenuhi prosedur, malah mungkin hanya suatu formaliti, kerana keputusannya sudah jelas.
“Beliau telah melakukan pelanggaran serius terhadap kod etika yang mewajarkan pemecatannya secara tidak terhormat daripada pasukan polis,” kata Encik Bambang kepada Berita Harian pada 27 November.
“Namun, dari sudut lain, tindakan itu tidak bermaruah dan sikapnya tidak mencerminkan nilai terhormat yang diharapkan daripada seorang pegawai polis, yang seharusnya berani bertanggungjawab atas tindakannya,” tambah beliau.
Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia (Bareskrim), Komisioner Jeneral Asep Safrudin, pada 23 November berkata Jeneral Listyo dan lima pegawai polis lain, termasuk empat jeneral dan seorang pegawai berpangkat pertengahan, dinamakan sebagai suspek dalam kes pengkhianatan terhadap pentadbiran Presiden Prabowo.
Komisioner Jeneral Asep berkata pihak penyiasat telah menyerbu 14 lokasi di sekitar Jakarta dan menyoal siasat 71 saksi sebelum menamakan Jeneral Listyo dan rakan subahatnya sebagai suspek dalam kes tersebut.
Jeneral Listyo berdepan kemungkinan hukuman mati, penjara seumur hidup atau hukuman penjara maksimum 20 tahun atas tuduhan pengkhianatan terhadap negara.
Bagi kes mengintip perbualan telefon secara haram pula, beliau berdepan tiga pertuduhan yang masing-masing membawa hukuman penjara enam, lapan dan 10 tahun.
Jeneral Listyo mencatat sejarah sebagai ketua polis kedua paling lama berkhidmat di Indonesia, iaitu selama lima tahun lapan bulan sejak Januari 2021, dan paling lama sejak bermulanya era Reformasi pada 1999.
Beliau juga dikenali sebagai penyokong setia mantan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, yang melantiknya sebagai ketua polis.
Pegawai bawahannya yang dikaitkan dengan kes tersebut, termasuk jeneral polis Ahrie Sonta Nasution, Eko Hadi Santoso, Tedjo Kusumo dan Slamet Uliandi, serta pegawai berpangkat pertengahan Chairul Anam dan Guntur Yayus Putra, telah dipecat secara tidak terhormat daripada pasukan polis.
Bagaimanapun, Ahrie, Tedjo dan Eko telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Tedjo, Chairul dan Guntur merupakan anggota pasukan khas antikeganasan Indonesia, Densus 88.
Tedjo berkhidmat sebagai pengarah perisikan pasukan itu, Chairul sebagai ketua pasukan petugas Jawa Tengah, manakala Guntur mengetuai sebuah unit operasi di bawah direktorat penguatkuasaan pasukan tersebut.
Menurut Komisioner Jeneral Asep, Jeneral Listyo dan rakan subahatnya merancang pengkhianatan itu pada awal Oktober 2024, sebelum Encik Prabowo mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Oktober tahun tersebut.
Jeneral Listyo masih menyandang jawatan ketua polis ketika dipercayai mengintip perbualan telefon Presiden Prabowo.
Presiden Prabowo memecat Jeneral Listyo daripada jawatan barunya sebagai Ketua Staf Presiden sehari selepas beliau ditangkap pada 4 November.
Jeneral Listyo sebelum itu dilantik oleh Presiden Prabowo untuk menyandang jawatan tersebut susulan pelantikan Jeneral Suyudi Ario Seto sebagai ketua polis baru pada awal Oktober.