Bekas komander kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) yang kini dibubarkan, Khoirul Anam, menyifatkan pembubaran kumpulan tersebut dan penyesalan mereka terhadap kegiatan pengganasan lampau sebagai sesuatu yang pada awalnya kelihatan mustahil.
Namun, dia menegaskan perubahan itu berlaku dengan campur tangan ‘kuasa Tuhan’ sehingga membuka hati dan fikiran mereka untuk berubah.
Dalam temu bual dengan Berita Harian pada 23 September, Khoirul, yang masih menjalani hukuman penjara, menceritakan bagaimana usaha untuk membubarkan JI dilihat hampir tidak mungkin.
Ini menurutnya kerana tiada saluran komunikasi langsung antara anggota yang dipenjarakan dengan mereka di luar penjara untuk berbincang mengenai perubahan arah hala tuju perjuangan mereka.
Menurutnya, meskipun halangan komunikasi wujud, secara kebetulan, anggota JI di dalam dan luar penjara mula berasa perlu menilai semula perjuangan mereka.
Keadaan itu turut diperkukuh dengan perubahan pendekatan oleh skuad antipengganasan, Densus 88, dalam mengendalikan tahanan yang terlibat dalam pengganasan.
“Ini adalah rahmat daripada Allah swt, yang membuka hati dan fikiran kami.
“Kami mula memikirkan sama ada jalan yang kami ambil selama ini benar atau salah,” ujar Khoirul, yang dilantik sebagai komander pasukan bersenjata JI pada 2006 oleh pemimpin ketika itu, Para Wijayanto.
Khoirul mengakui perubahan tersebut bukan mudah dan tidak hairan jika ramai penganalisis berasa sangsi.
“JI bukanlah kumpulan biasa. Kami terkenal di seluruh Asia Tenggara sebagai kumpulan pengganas. Kami diharamkan, namun kini kami telah berubah,” tambahnya.
Kumpulan JI ditubuhkan pada Januari 1993 dan diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada April 2008.
Pembubaran rasmi kumpulan itu diumumkan pada Jun 2024.
JI terkenal sebagai kumpulan yang bertanggungjawab terhadap beberapa serangan bom paling dahsyat di Indonesia, termasuk pengeboman Bali pada 2002, yang mengorbankan lebih 200 orang, kebanyakannya pelancong asing.
Selain pengeboman Bali, JI turut terlibat dalam beberapa serangan lain seperti pengeboman Hotel J.W. Marriott di Jakarta pada 2003, pengeboman Kedutaan Australia pada 2004 dan serangan bom di Hotel Marriott serta Ritz-Carlton pada 2009.
Menurut perangkaan polis, keseluruhan serangan mereka mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Pada asalnya, JI berhasrat menubuhkan sebuah negara Islam berdasarkan undang-undang syariah, dengan anggapan bahawa Indonesia adalah sebuah negara kafir yang perlu ditakluk.
Dengan struktur gerakan rahsia dan latihan ketenteraan untuk anggotanya, JI dibiayai oleh anggota kaya yang komited terhadap perjuangan jihad mereka.
Namun, semangat anggota JI mula merosot pada awal 2000-an selepas beberapa pemimpin utama mereka ditangkap secara berturut-turut.
Para, pemimpin ketika itu, melantik Khoirul untuk menjaga moral anggota JI serta membantu keluarga anggota yang dipenjarakan atau dalam pelarian.
Walaupun JI terus menjalankan latihan ketenteraan di kawasan hutan terpencil, mereka tidak melancarkan sebarang serangan sejak Para mengambil alih pimpinan.
Malah, dalam tempoh itu, pemimpin tertinggi JI mula menilai semula tujuan perjuangan mereka.
Khoirul, yang sedang menjalani hukuman kedua atas kesalahan menyimpan senjata, menyatakan bahawa renungan terhadap masa depan JI semakin mendalam apabila dia ditanya oleh rakan banduan di penjara Cikeas, Jakarta, sama ada mereka akan melihat hari apabila penjara itu kosong sepenuhnya.
“Saya rasa ia mustahil, tetapi sebagai manusia, saya hanya mampu berdoa.
“Saya sedar saya tidak dapat melakukannya sendirian. Jika JI akan dibubarkan, saya berharap ia dilakukan dengan baik.
“Alhamdulillah, rakan-rakan saya turut rasakan perkara yang sama,” katanya.
Pada 30 Jun, di Sentul, Bogor, JI secara rasmi mengumumkan pembubaran mereka dengan kehadiran beberapa pemimpin tertinggi, serta ikrar taat setia kepada Republik Indonesia.
“
“Kami mula memikirkan sama ada jalan yang kami ambil selama ini benar atau salah... JI bukanlah kumpulan biasa. Kami terkenal di seluruh Asia Tenggara sebagai kumpulan pengganas. Kami diharamkan, namun kini kami telah berubah.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg