Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembubaran JI: Bekas ketua tegas berubah, kembali kepada masyarakat

Wawancara eksklusif BH: Bekas pemimpin JI, Para Wijayanto akur silap dalam ideologi pengganasan dan pihak berkuasa main peranan dalam transformasi JI
Sep 23, 2024 | 5:37 PM
Bekas pemimpin dan juga Amir Jemaah Islamiyah (JI), Para Wijayanto, yang diberkas pada 2019 dalam wawancara bersama Berita Harian pada 23 September.
Bekas pemimpin dan juga Amir Jemaah Islamiyah (JI), Para Wijayanto, yang diberkas pada 2019 dalam wawancara bersama Berita Harian pada 23 September. - Foto BH oleh ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA

Setelah lima tahun menjalani proses rundingan dan perbincangan dengan pasukan antipengganas Indonesia, Densus 88, kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) akhirnya bersetuju melakukan pembubaran.

Bekas pemimpin yang juga Amir JI, Para Wijayanto, yang ditangkap pada 2019 dan dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun pada 2020, berkata bahawa perubahan dalam pegangan ideologi kumpulan tersebut telah mula berlaku ketika beliau masih menjadi pemimpin JI.

Namun, mereka memerlukan bantuan pihak luar untuk merealisasikan perubahan tersebut, ujarnya kepada Berita Harian dalam wawancara ekslusif bersama beliau pada 23 September.

JI, yang sebelum ini percaya bahawa Indonesia ialah negara kafir, mengakui bahawa ajaran mereka telah disalah tafsir dan bersedia kembali bersepadu dengan masyarakat, ujarnya lagi.

Para, yang mengetuai kumpulan tersebut selama 11 tahun berkata:

“Kami sedar perubahan ini perlu berlaku, namun sebagai sebuah gerakan bawah tanah, sukar untuk kami berkoordinasi dengan pihak berkuasa.

“Semasa dalam penjara, kami menjalani perbincangan panjang dan rundingan dengan Densus 88.

“Mereka turut bersetuju untuk melembutkan pendekatan mereka dan akhirnya kami berjaya mencapai penyelesaian yang membawa kepada pengumuman pembubaran.”

Selama tempoh perkhidmatan sebagai Amir JI, Para menghasilkan 42 pertimbangan ‘syariah’ yang menumpukan kepada pengesahan konsep jihad yang mereka anuti sebelum ini.

Salah satu sumber utama yang dirujuknya ialah kitab, Siyasah Syar’iyyah, iaitu kitab yang menjelaskan prinsip dan peraturan yang berkaitan dengan pentadbiran negara Islam serta keputusan politik berdasarkan syariah.

Melalui kajian tersebut, Para menyimpulkan bahawa konsep negara moden seperti Indonesia tidak bercanggah dengan undang-undang syariah. Maka, jihad menentang Indonesia sebagai negara kafir adalah tidak sah.

“Kami dahulu berfikir bahawa kami tidak serasi dengan sistem negara moden, tetapi Siyasah menyatakan bahawa selagi negara itu tidak bertentangan dengan syariah, ia adalah dibenarkan. Ini mengubah pandangan kami sepenuhnya,” jelas Para.

Kumpulan JI, yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan bertanggungjawab atas serangan bom paling dahsyat di Indonesia, iaitu pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang, mengisytiharkan pembubaran mereka pada Jun 2024.

Pengisytiharan itu dibuat di hadapan beberapa pemimpin senior JI yang turut hadir.

Sejak pengumuman pembubaran tersebut, JI dengan bantuan Densus 88 telah menjalankan siri jelajah ke seluruh negara di 30 lokasi berbeza bagi menyebarkan maklumat pembubaran tersebut kepada sekitar 6,000 pengikut mereka.

Serangan JI, termasuk pengeboman Hotel J.W. Marriott pada 2003, pengeboman Kedutaan Australia pada 2004, serangan bom Bali kedua pada 2004, serta pengeboman Hotel Marriott dan Ritz-Carlton pada 2009, telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,000 kematian.

Menurut Para, mereka komited bersepadu semula ke dalam masyarakat.

“Kami telah bersikap telus kepada pihak berkuasa, mendedahkan aset kami dan menyerahkan senjata serta peluru kepada pihak berkuasa.

“Sebagai balasan, pihak berkuasa turut bersetuju untuk tidak menangkap mana-mana ahli JI kecuali jika mereka terlibat dalam aktiviti pengganas,” katanya.

Para juga menjelaskan bahawa kumpulan itu tidak lagi berhubung dengan bekas sekutu mereka di Malaysia atau Singapura selepas usaha mengukuhkan kembali hubungan diputuskan berikutan penangkapannya pada 2019.

Bagaimanapun, cabaran utama yang dihadapi oleh para pemimpin JI kini ialah memastikan pengikut mereka menerima ideologi baru itu.

Menurut Para, masih terdapat anggota yang berpegang teguh kepada pandangan lama dan enggan berubah.

“Kami masih berdepan dengan cabaran ini secara dalaman; ada yang terlalu angkuh dan sukar untuk menerima perubahan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg