Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan menteri Indonesia antara ditahan dalam kes fitnah Jokowi
Mantan menteri Indonesia antara ditahan dalam kes fitnah Jokowi
Turut dituduh manipulasi dokumen elektronik bagi sokong dakwaan ijazah Jokowi adalah palsu
Mantan menteri Indonesia antara ditahan dalam kes fitnah Jokowi
JAKARTA: Mantan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Encik Roy Suryo dan aktivis kesihatan Dr Tifauzia Tyassuma ditahan polis dalam kes fitnah dan penyebaran maklumat elektronik didakwa palsu berkaitan kontroversi keaslian ijazah mantan Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Kedua-dua suspek dibawa keluar dari Hospital Polri (Polis Republik Indonesia) Kramat Jati pada sekitar 6.40 pagi 22 Jun sebelum dihantar ke Polis Metro Jaya bagi menjalani proses penyerahan fasa kedua dalam siasatan kes yang berlangsung hampir setahun.
Menurut laporan media tempatan, Encik Roy memakai batik lengan panjang berwarna coklat manakala Dr Tifa berpakaian hitam dan memakai vest tahanan berwarna jingga ketika dibawa menaiki kenderaan tahanan polis.
Proses penyerahan fasa kedua itu merujuk kepada penyerahan suspek dan bahan bukti daripada penyiasat kepada pihak pendakwa raya selepas kertas siasatan diisytiharkan lengkap atau dikenali sebagai P-21 dalam sistem perundangan Indonesia.
Kedua-dua mereka dijadual diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Jakarta Selatan untuk memasuki peringkat pendakwaan di mahkamah.
Pengarah Siasatan Jenayah Am Polis Metro Jaya, Pesuruhjaya Kanan Iman Imanuddin, berkata penahanan itu adalah prosedur biasa selepas fail siasatan disahkan lengkap oleh pihak pendakwa raya.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada proses penyerahan suspek dan bahan bukti selepas fail siasatan kami diisytiharkan lengkap,” katanya dalam sidang media seperti dipetik agensi berita Antara.
Beliau berkata, tindakan itu juga bertujuan mengelakkan kelewatan pentadbiran dalam proses perundangan selain melengkapkan prosedur akhir termasuk pemeriksaan kesihatan dan pengesahan bahan bukti.
Kes berkenaan berkait dakwaan bahawa ijazah universiti Encik Jokowi adalah palsu, isu yang mula tular di media sosial sejak 2019 dan terus menjadi polemik politik di Indonesia.
Encik Roy dan Dr Tifa didakwa bukan sahaja menyebarkan kenyataan fitnah, malah turut dituduh memanipulasi dokumen elektronik bagi menyokong dakwaan mereka mengenai ijazah mantan presiden itu.
Kontroversi berhubung kelayakan akademik Encik Jokowi sebelum ini membawa kepada beberapa tindakan undang-undang termasuk saman sivil pada 2022 serta beberapa siasatan polis dan prosiding mahkamah pada 2025 melibatkan pelbagai pihak.
Polri pada Mei 2025 mengesahkan ijazah Encik Jokowi adalah tulen dan menutup siasatan awal berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen itu.
Bagaimanapun, semakan semula kes pada Julai tahun sama menyaksikan pengkritik termasuk Encik Roy Suryo terus mempertikaikan dapatan polis.
Peguam Encik Roy dan Dr Tifa, Refly Harun, mengkritik tindakan penahanan itu dan berkata pihaknya akan memohon penangguhan tahanan.
“Apa keperluan menahan mereka? Penyerahan kes kepada pendakwa raya hanya dilakukan Isnin, jadi penahanan ini keterlaluan,” katanya.
Menurut polis, kedua-dua suspek ditahan di kediaman masing-masing pada Jumaat lalu, 19 Jun sebagai sebahagian prosedur menjelang penyerahan kes kepada pendakwa raya.
Pasukan Pasukan Advokasi Menentang Pendakwaan Akademik dan Aktivis (TA-AKAA) mendakwa Encik Roy ditahan sekitar 7 pagi selepas isterinya dimaklumkan mengenai tindakan polis itu.
Sementara itu, Pasukan Pembela Dr Tifa berkata aktivis berkenaan ditahan di apartmennya sekitar 6.47 pagi hari sama.
Selepas penahanan, kedua-duanya dibawa ke Hospital Polri Kramat Jati pada petang 19 Jun untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pasukan doktor memaklumkan keadaan mereka secara umum stabil, tetapi terdapat penyakit sedia ada yang memerlukan rawatan lanjut dan pemantauan rapi.
Doktor kemudian mengesyorkan supaya kedua-duanya menjalani rawatan dalam wad bagi memastikan keadaan kesihatan mereka kekal stabil sebelum proses undang-undang diteruskan.
Selain Roy dan Dr Tifa, polis sebelum ini turut menamakan enam individu lain sebagai suspek dalam kes sama di bawah Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam tahun.
Bagaimanapun, tuduhan terhadap tiga individu iaitu Encik Eggi Sudjana, Encik Damai Hari Lubis dan Encik Rismon Sianipar digugurkan selepas proses perantaraan. – Agensi berita.
