Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi hadapi 2 tindakan saman berkaitan diploma, kereta Esemka

Apr 24, 2025 | 1:03 PM
Kereta elektrik Esemka Bima yang dihasilkan oleh pengeluar tempatan, ditampilkan dalam pameran Kereta Antarabangsa Indonesia di Jakarta pada 16 Februari 2025.
Kereta elektrik Esemka Bima yang dihasilkan oleh pengeluar tempatan, ditampilkan dalam pameran Kereta Antarabangsa Indonesia di Jakarta pada 16 Februari 2025. - Foto: AFP

JAKARTA: Mantan Presiden Joko “Jokowi” Widodo bersedia untuk mencabar dua saman terhadapnya minggu ini berkaitan ketulenan kelayakan akademiknya dan pengeluaran jenama kereta buatan tempatan Esemka semasa pentadbirannya.

Kedua-dua saman itu difailkan di Mahkamah Daerah Surakarta di Jawa Tengah, kampung halaman Jokowi, awal bulan April ini dalam tempoh kurang seminggu.

Saman pertama difailkan pada 9 April oleh penduduk Surakarta, Encik Aufaa Luqmana, 19 tahun, yang menuduh bekas presiden itu lalai dalam menepati janjinya berhubung sasaran pengeluaran kereta Esemka.

Kurang seminggu selepas Encik Aufaa mengemukakan saman itu, Mahkamah Daerah Surakarta menerima satu lagi saman daripada pengamal undang-undang Encik Muhammad Taufiq pada 14 April.

Beliau menyaman Encik Jokowi kerana didakwa memalsukan diploma sekolah menengah dan universitinya dan justeru itulah pentadbirannya sebagai Gabenor di Surakarta disifatkan sebagai haram antara 2005 dengan 2012.

Encik Taufiq juga menyaman pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Surakarta, Sekolah Menengah Atas Negeri 6 (SMA 6) dan Universiti Gadjah Mada (UGM) di Yogyakarta.

Encik Jokowi dilaporkan lulus daripada sekolah menengah itu pada 1980, kemudian memulakan pengajian di Sekolah Perhutanan di UGM pada tahun yang sama sebelum menamatkan pengajian pada 1985.

Encik Jokowi telah melantik sekumpulan peguam untuk mewakilinya dalam kes saman itu. Mereka menafikan sebarang tuduhan salah laku oleh mantan presiden itu.

Mahkamah Daerah Surakarta menjadualkan perbicaraan pertama bagi kedua-dua saman itu pada 24 April.

Encik Jokowi berkata beliau “bersedia” untuk menghadapi kedua-dua tuntutan saman dimahkamah.

Encik Taufiq mendakwa beberapa aspek diploma Encik Jokowi seperti “data tidak konsisten” antara apa yang tertulis dalam sijil dan tarikh program di sekolah menengah dan UGM.

Saman itu bukan kali pertama dihadapi Encik Jokowi. Tuduhan terawal timbul pada 2019, apabila seorang pengguna Facebook bernama Umar Khalid Harahap mendakwa bahawa diploma sekolah tinggi Jokowi adalah palsu.

Polis menolak dakwaan itu dan menahan Umar atas tuduhan menyebarkan berita palsu. Dua lagi saman timbul pada 2022 dan 2023, masing-masing difailkan oleh penulis Encik Bambang Tri Mulyono dan aktivis Cik Eggi Sudjana.

Peguam Encik Bambang, penulis buku yang mendakwa mendedahkan identiti Encik Jokowi, menarik balik tuntutan itu, memetik status undang-undangnya sebagai suspek ucapan kebencian. Sementara itu, mahkamah memutuskan bahawa tuntutan mahkamah Eggi tidak akan dibawa ke perbicaraan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg