Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas menteri Indonesia nafi tuduhan rasuah perolehan Chromebook
Bekas menteri Indonesia nafi tuduhan rasuah perolehan Chromebook
Bekas menteri Indonesia nafi tuduhan rasuah perolehan Chromebook
JAKARTA: Bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim, mempertahankan program perolehan komputer riba Chromebook bernilai trilion rupiah yang kini menjadi tumpuan perbicaraan rasuah berprofil tinggi di Jakarta.
Dalam kenyataannya ketika mengemukakan rayuan pembelaan terakhir di Mahkamah Tipikor Jakarta Pusat pada 2 Jun, Nadiem menegaskan tiada pelanggaran prosedur, kecuaian pentadbiran atau kerugian negara berlaku dalam projek pendigitalan pendidikan yang dilaksanakan ketika beliau menerajui Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia.
Kes itu menyaksikan pihak pendakwa raya menuntut hukuman penjara 18 tahun terhadap beliau, selain denda 1 bilion rupiah (S$71.6 juta).
Pendakwa raya mendakwa Nadiem terbabit dalam perolehan komputer riba untuk sekolah ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerugian negara sebanyak 5.6 trilion rupiah.
Ketika menyampaikan pembelaannya di hadapan panel hakim, pengasas syarikat teknologi Gojek itu mendakwa kes rasuah yang dihadapinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan golongan profesional terhadap keadaan perundangan di negara itu.
“Ramai orang percaya bahawa walaupun saya tidak bersalah, mungkin ada kesilapan prosedur, kesalahan pentadbiran atau kecuaian berlaku. Saya mahu masyarakat tahu hakikat sebenar bahawa tiada sebarang pelanggaran prosedur ataupun kesalahan pentadbiran,” katanya kepada wartawan sebelum memasuki bilik mahkamah.
Menurut Nadiem, bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menunjukkan bahawa projek itu mempunyai pelbagai lapisan kawalan dan pemantauan yang ketat sebelum dilaksanakan.
“Malah, bukti menunjukkan terdapat langkah perlindungan yang menyeluruh dan proses perolehan dijalankan mengikut standard yang sangat tinggi,” katanya.
Program pendigitalan pendidikan itu melibatkan pengagihan lebih 1.1 juta komputer riba Chromebook, modem dan projektor kepada lebih 77,000 sekolah di seluruh Indonesia antara 2020 hingga 2022.
Nadiem yang melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Gojek pada 2019 sebelum dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo sehingga 2024, didakwa memperoleh keuntungan peribadi sekitar AS$46.33 juta (S$59.3 juta) menerusi perolehan komputer riba Chromebook dan sistem operasi Chrome OS.
Pihak pendakwa raya mendakwa kementerian ketika itu memilih Chromebook walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesesuaiannya di kawasan yang mempunyai sambungan Internet lemah.
Pendakwa juga mendakwa proses perolehan tersebut mengeksploitasi kelemahan birokrasi dan penyalahgunaan kuasa bagi memberi manfaat tertentu.
Mereka mendakwa beliau menetapkan syarat tender yang hanya sesuai untuk produk Google, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat teknologi itu dalam sektor pendidikan Indonesia.
Namun Nadiem menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan tiada satu pun tuduhan terhadapnya berjaya dibuktikan secara meyakinkan.
Pada 12 Mei lalu, panel hakim memutuskan bahawa projek perolehan Chromebook dan perisian Pengurusan Peranti Chrome (CDM) menyebabkan kerugian kewangan negara.
Nadiem turut memberi perhatian kepada isu kerugian negara yang menjadi asas utama pendakwaan.
“Tiada kerugian negara berlaku. Ini perkara yang masyarakat perlu faham dengan jelas,” katanya.
Menurut beliau, penjelasan terperinci mengenai perkara itu akan dimasukkan dalam dokumen pembelaan yang dikemukakan kepada mahkamah.
Setakat ini, mahkamah sudah menjatuhkan hukuman penjara sehingga empat tahun enam bulan terhadap tiga individu yang mempunyai kaitan dengan kementerian berkenaan, termasuk seorang perunding teknologi.
Kes tersebut turut berkait dengan keputusan mahkamah terhadap bekas perunding kementerian, Ibrahim Arief atau dikenali sebagai Ibam.
Namun, Nadiem menarik perhatian bahawa dua daripada lima hakim mempunyai pandangan berbeza dan percaya Ibam sepatutnya dibebaskan.
“Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh pakar undang-undang dan masyarakat,” katanya.
“Setahu saya, sangat jarang berlaku dalam kes rasuah besar apabila dua hakim menyatakan tertuduh patut dibebaskan,” tambah beliau.
Sebaik selesai bercakap kepada media, Nadiem memasuki mahkamah sambil disambut ahli keluarga dan bekas rakan sekerja Gojek yang hadir memberi sokongan.
Puluhan pemandu Gojek turut memenuhi lobi mahkamah bagi menunjukkan solidariti terhadap bekas menteri berusia 41 tahun itu.
Malah, sebelum prosiding bermula, Nadiem dilihat memakai jaket pemandu Gojek sebelum menukarnya kepada baju batik biru ketika menyampaikan pembelaannya, satu simbolik yang dianggap sebagai tanda sokongan kepada pekerja platform digital tersebut.
Dalam pembelaannya yang mengambil masa hampir sejam, beliau memberi amaran bahawa pendakwaan terhadap dirinya boleh memberi kesan negatif kepada generasi profesional muda yang ingin menyertai sektor awam.
Beliau berkata individu berbakat mungkin takut untuk berkhidmat dalam kerajaan jika usaha pembaharuan dan inovasi akhirnya membawa risiko pendakwaan jenayah.
Pasukan peguam beliau kemudian meneruskan hujahan pembelaan setebal hampir 1,400 muka surat yang turut disertakan bukti video dan slaid pembentangan.
Perbicaraan itu mendapat perhatian meluas masyarakat Indonesia dan menjadi antara kes rasuah paling berprofil tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Prosiding turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Mahkamah Daerah Jakarta Pusat selepas wujud gesaan di media sosial supaya orang ramai mengadakan sesi tontonan bersama.
Nadiem dikenali sebagai salah seorang tokoh teknologi paling berjaya di Indonesia selepas mengasaskan Gojek pada 2010, syarikat yang kemudian berkembang menjadi syarikat teknologi unicorn pertama negara itu.
Kes itu kini memasuki fasa pertimbangan pembelaan sebelum panel hakim yang diketuai Encik Purwanto S. Abdullah menetapkan tarikh keputusan akhir.
Setakat ini, mahkamah masih belum mengumumkan tarikh hukuman terhadap Nadiem. - Agensi berita
