Bekas pakar bedah didapati bersalah bunuh 5 ahli keluarga isteri

SYDNEY: Seorang bekas pakar bedah didapati bersalah pada Khamis (12 Jan) membunuh lima anggota sebuah keluarga China-Australia di Sydney, termasuk dua kanak-kanak, dalam kejadian ngeri yang mengemparkan Australia.

Robert Xie, 53 tahun, didakwa membunuh adik iparnya kelahiran China, Norman Lin, 45 tahun; isteri beliau, Lin Lily, 43 tahun; dua anak lelaki mereka, Henry, 12 tahun, dan Terry, sembilan tahun; dan kakak Lily, Irene, 39 tahun.

Mayat mereka ditemui dalam rumah mereka di Sydney barat pada Julai 2009.

Dalam kes yang berjalan lama itu, Xie - seorang pakar bedah telinga, hidung dan tekak di China sebelum berpindah ke Australia pada 2002 - menghadapi empat perbicaraan membunuh.

Dua daripadanya digugurkan, satu berakhir dengan juri tergantung dan perbicaraan semula paling baru ini berlangsung selama enam bulan.

Xie didapati bersalah oleh majoriti juri Mahkamah Agung New South Wales, dan akan dihukum pada 10 Feb, kata seorang pegawai mahkamah kepada agensi berita AFP.

"Saya tidak membunuh keluarga Lin, saya tidak bersalah," Xie memberitahu mahkamah selepas keputusan itu diumumkan, lapor akhbar Sydney Morning Herald.

Akhbar itu menambah bahawa isteri Xie, Kathy, yang menangis teresak-esak, berkata: "Dia tidak bersalah."

Pendakwa berkata Xie terdorong membunuh adik isterinya dan keluarganya kerana berasa marah dek tanggapannya bahawa statusnya rendah dalam keluarga itu.

"Tanggapan itu mencetus emosi kuat dalam dirinya, termasuk kemarahan dan kebencian, dan (dia) mengarahkan emosi itu terhadap Lin dan isterinya," kata Cik Tanya Smith, menurut laporan.

The Sydney Morning Herald berkata terdapat juga motif seks di sebalik pembunuhan itu, namun butir-butirnya tidak boleh dilaporkan kerana arahan mahkamah.

Pendakwa juga mencadangkan motif kewangan, dengan berkata Xie cuba sedaya upaya menguasai aset adik iparnya itu.

Ini termasuk agensi berita milik keluarga itu, rumah di North Epping, sebuah unit hartanah di Merrylands dan sebuah unit komersial yang baru disewakan.

Mangsa dipukul hingga hampir tidak dapat dikenal pasti, dengan tubuh mereka terbaring berlumuran darah dan darah terpercik ke tembok, menurut akhbar itu.

Pendakwa berkata Xie membawa senjata seperti tukul - "dipasang agar memberi kesan maksimum untuk menghilangkan keupayaan dan membunuh" - dan menggunakannya untuk memukul Encik Lin dan isterinya ketika mereka tidur dalam bilik tidur.

Xie kemudian senyap-senyap masuk ke bilik tidur kedua dan membunuh Cik Irene. Terry dan Henry dibunuh mungkin kerana mereka melihat Xie dan dapat mengenal pastinya.

Salah seorang kanak-kanak itu dipukul 18 kali.

"Jelas daripada darah yang berhamburan bahawa ada pergelutan hebat dalam bilik tidur," kata Cik Smith.

Atas sebab-sebab tidak diketahui, Xie kemudian kembali ke bilik tidur ibu bapa kanak-kanak itu dan menyusun tubuh mereka agar berbentuk V.

Xie dan isterinya yang menghubungi polis mengenai kejadian itu.

Alibi utama Xie, disokong oleh isterinya, ialah dia sedang tidur bersama Lily semasa kejadian itu, tetapi pihak pendakwaan mencadangkan dia mungkin memberi ubat pelali kepada isterinya dan meninggalkan rumah pada awal pagi untuk melakukan pembunuhan itu di rumah Encik Lin yang berdekatan.

Pembunuhan itu mencetuskan siasatan luas menjangkau Australia dan China, dan Xie akhirnya dihadapkan ke mahkamah pada 2011 dan direman sejak itu.