WASHINGTON: Sekumpulan 12 bekas pegawai pemerintah Amerika Syarikat yang meletak jawatan kerana menentang sokongan negara itu kepada Israel dalam perang di Gaza menuduh pentadbiran Presiden Joe Biden “tidak dapat dinafikan bersubahat” dalam pembunuhan rakyat Palestin di wilayah tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama pada 2 Julai, mereka berkata pentadbiran Biden melanggar undang-undang Amerika menerusi sokongannya kepada Israel dan tindakannya mencari kelemahan dalam sistem untuk meneruskan penghantaran senjata kepada sekutunya itu.
Kedua-duanya, Rumah Putih dan Jabatan Negara, tidak memberi komen segera mengenai kenyataan tersebut.
Kritikan antarabangsa meningkat terhadap tindak-tanduk Israel di Gaza dan sokongan ketenteraan serta diplomatik Amerika kepada sekutunya itu dalam perang yang sejauh ini telah membunuh hampir 38,000 rakyat Palestin dan menimbulkan krisis kemanusiaan.
Peletakan jawatan 12 pegawai Amerika itu mencerminkan perbezaan pendapat dalam pentadbiran Encik Biden mengenai sokongannya kepada Israel.
Washington telah mendesak Israel supaya melindungi orang awam di Gaza dan menyeru sekutunya itu supaya meningkatkan akses bantuan kemanusiaan di wilayah tersebut, yang kini dilanda masalah kekurangan makanan, ubat dan bekalan penting.
Antara pegawai yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah bekas anggota Jabatan Negara, Jabatan Pendidikan, Jabatan Dalam Negeri, Rumah Putih dan tentera.
“Perlindungan diplomatik dan pengaliran senjata Amerika yang berterusan ke Israel telah menyebabkan kita terlibat dalam pembunuhan dan masalah kebuluran yang dialami penduduk Palestin yang terkepung di Gaza,” kata bekas pegawai itu dalam kenyataan mereka.
Mereka menggesa pemerintah Amerika supaya menggunakan “pengaruh yang diperlukan dan tersedia” untuk menamatkan perang serta memastikan pembebasan tebusan Israel di Gaza dan tahanan Palestin di Israel.
Kumpulan bekas pegawai itu turut menuntut pemerintah Amerika supaya menyokong usaha Palestin menentukan nasib mereka sendiri dan membiayai peningkatan segera bantuan kemanusiaan di Gaza.
Hampir 38,000 penduduk Palestin terbunuh di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober, kata kementerian kesihatan tempatan, dengan ramai lagi dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan kerana hampir keseluruhan wilayah itu kini bak padang jarak padang tekukur.
Bahkah sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal dan berdepan masalah kelaparan yang belum ada penghujungnya.
Peperangan itu telah membawa kepada dakwaan pembunuhan beramai-ramai tetapi Israel menafikannya.
Serangan Israel ke atas Gaza bermula selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg