Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika terus tangguh hantar bom berat ke Israel

Jun 27, 2024 | 3:32 PM
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant (kiri), bertemu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, bagi bincangkan usaha Amerika  mencapai perjanjian diplomatik untuk meredakan ketegangan di sempadan Israel-Lebanon.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant (kiri), bertemu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, bagi bincangkan usaha Amerika mencapai perjanjian diplomatik untuk meredakan ketegangan di sempadan Israel-Lebanon. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Pembantu utama Presiden Joe Biden memberitahu ketua pertahanan Israel yang melawat minggu ini bahawa Washington mengekalkan penangguhan penghantaran bom berat ke Israel sedang isu itu dikaji, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat pada 26 Jun.

Pegawai itu, yang memberi taklimat kepada pemberita mengenai pertemuan Penasihat Keselamatan Negara Encik Jake Sullivan dengan Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata pihaknya masih dalam perbincangan mengenai penghantaran tunggal bom berat, yang dihentikan sementara oleh Presiden Biden pada Mei kerana kebimbangan ia boleh menyebabkan lebih banyak kematian orang awam Palestin di Gaza.

Tanpa memberi butiran khusus, pegawai itu berkata senjata Amerika yang lain akan terus dikirim ke Israel ketika ia memerangi Hamas di Gaza dan berdepan dengan pejuang Hezbollah Lebanon di sempadan utaranya, yang menyaksikan permusuhan semakin meningkat dan mencetuskan kebimbangan konflik serantau yang lebih luas.

Mengakhiri lawatannya, Encik Gallant berkata sebelum ini pada 26 Jun bahawa terdapat kemajuan ketara dalam isu bekalan senjata Amerika kepada Israel, sambil menambah bahawa “halangan telah pun diatasi”.

Encik Gallant dan pegawai Amerika giat berusaha meredakan ketegangan berikutan dakwaan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, baru-baru ini bahawa Washington telah menahan bekalan senjata, mendorong pembantu Presiden Biden menyatakan kekecewaan dan kekeliruan terhadap kenyataan pemimpin Israel itu.

Pada Mei, Amerika menghentikan penghantaran bom seberat 2,000 paun dan 500 paun kerana bimbang akan kesannya di kawasan penduduk padat di Gaza dalam perang yang bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober.

Namun, Israel masih menerima senjata-senjata lain daripada Amerika yang bernilai berbilion dolar.

“Kami dalam perbincangan di peringkat akhir untuk mencari penyelesaian,” kata pegawai kanan Amerika.

Pegawai itu mengakui terdapat “masalah” dalam beberapa penghantaran senjata ke Israel dan mengaitkannya dengan “sistem birokrasi yang rumit” untuk meluluskan bantuan ketenteraan, dan bukan sebarang kelewatan yang disengajakan.

Encik Gallant, yang juga bertemu Setiausaha Pertahanan Encik Lloyd Austin pada 25 Jun, berkata Amerika sedang giat berusaha mencapai perjanjian diplomatik bagi meredakan ketegangan di sempadan Israel-Lebanon antara tentera Israel dengan pejuang Hezbollah yang disokong Iran.

Pertukaran tembakan dan serangan peluru berpandu telah membawa kepada pemindahan puluhan ribu orang di kedua-dua belah sempadan, dan mencetuskan kebimbangan perang habis-habisan di kawasan itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg