Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas PM Bangladesh, Sheikh Hasina, dijatuhi hukuman mati atas jenayah kemanusiaan

Arahkan tindakan keras berdarah terhadap protes pada 2024
Nov 17, 2025 | 7:02 PM
Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman, Sheikh Hasina
Pegawai keselamatan berkawal berhampiran rumah Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman, bapa kepada bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, menjelang keputusan kes terhadapnya, di Dhaka, Bangladesh pada 17 November. - Foto REUTERS

DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, dijatuhi hukuman mati pada 17 November selepas mahkamah khas mendapati dia bersalah mengarahkan tindakan keras berdarah terhadap protes pelajar pada 2024.

Keputusan itu mengakhiri perbicaraan berbulan-bulan yang penuh kontroversi dan menandakan salah satu tindakan undang-undang paling drastik terhadap seorang pemimpin negara dalam beberapa dekad.

Hukuman tersebut diputuskan ketika Bangladesh bersiap menghadapi pilihan raya Parlimen pada Februari 2026, dengan parti Hasina, Liga Awami League, telah dihalang daripada bertanding – satu situasi yang menimbulkan kebimbangan mengenai potensi ketegangan dan pergolakan politik baru.

Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh di Dhaka menjatuhkan dua hukuman terhadap tokoh berusia 78 tahun itu: penjara seumur hidup atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, serta hukuman mati atas pembunuhan beberapa individu sepanjang pemberontakan mahasiswa pada 2024.

Hasina tidak hadir di mahkamah kerana telah melarikan diri ke India selepas kejatuhan pemerintahannya pada Ogos 2024.

Keputusan itu dibacakan tanpa kehadirannya di bawah kawalan keselamatan ketat.

Sorakan kedengaran di dalam mahkamah ketika keputusan hukuman mati diumumkan.

Dalam kenyataan e-mel kepada media, Hasina mengecam keputusan itu sebagai hasil kerja sebuah tribunal “yang dimanipulasi dan tidak mempunyai mandat rakyat”.

“Mereka berat sebelah dan bermotif politik,” katanya.

“Seruan mereka untuk hukuman mati menunjukkan niat ekstremis dalam pemerintah sementara untuk menyingkirkan perdana menteri terakhir yang dipilih rakyat dan melemahkan Liga Awami.”

Anaknya, Encik Sajeeb Wazed, memberitahu Reuters pihak mereka hanya akan membuat rayuan jika sebuah pemerintah baru yang dipilih rakyat dibentuk dengan penglibatan Liga Awami.

Mahkamah menjelaskan keputusan itu disokong sebuah penghakiman 453 muka surat, dibahagikan kepada enam bahagian.

Hakim mengambil hampir 40 minit untuk membentangkan asas undang-undang keputusan tersebut, sambil menegaskan tribunal itu “setaraf dengan tribunal antarabangsa”.

Mahkamah turut menegaskan wujud “asas yang mencukupi untuk merangka pertuduhan” terhadap semua tertuduh.

Sepanjang perbicaraan, pendakwa raya mendakwa Hasina mengeluarkan arahan langsung kepada pasukan keselamatan untuk menggunakan kekerasan bagi menumpaskan protes pelajar yang tercetus pada Julai sehingga awal Ogos 2024.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 orang terbunuh dalam tempoh tersebut, sementara ribuan lagi cedera akibat tembakan dan tindakan keras pihak keselamatan.

Ia merupakan insiden paling berdarah sejak perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.

Peguam negara yang dilantik untuk mewakili Hasina berhujah bahawa tuduhan itu tidak berasas dan memohon pembebasan, tetapi hujah tersebut ditolak oleh mahkamah.

Sebelum keputusan diumumkan, Hasina mendakwa proses perbicaraan itu tidak adil dan hasilnya telah “ditentukan lebih awal”. Pemerintah sementara bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

“Tribunal beroperasi secara telus, membenarkan pemerhati hadir dan menerbitkan dokumentasi secara berkala,” kata jurucakap pemerintah.

“Tiada organisasi hak asasi yang kredibel menyifatkan proses ini sebagai bermotif politik.”

Beberapa hari sebelum keputusan, Bangladesh digegarkan dengan sekitar 30 letupan bom buatan sendiri serta 26 kenderaan dibakar di seluruh negara, meskipun tanpa kematian.

Sejak Hasina melarikan diri, Bangladesh diperintah pemerintah sementara di bawah penerima Nobel Keamanan, Encik Muhammad Yunus. Walaupun keadaan stabil, ketegangan politik masih jauh daripada reda.

Dalam satu wawancara, Hasina memberi amaran bahawa penyokong Liga Awami semakin marah dan jutaan ahli parti dijangka memboikot pilihan raya akan datang.

Pada hari keputusan diumumkan, keselamatan Dhaka dipertingkat secara luar biasa.

Pasukan tentera ditempatkan di kawasan strategik, termasuk kompleks tribunal dan bangunan pemerintah. Pihak berkuasa berkata mereka telah bersiap menghadapi sebarang kemungkinan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg