Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas PM Bangladesh, Sheikh Hasina, disabitkan jenayah terhadap kemanusiaan

Didapati hasut serangan terhadap mahasiswa yang protes, guling pemerintahannya pada 2024
Nov 17, 2025 | 5:01 PM
Tribunal Jenayah Antarabangsa,  ICT, Sheikh Hasina, Bangladesh, Dhaka
Anggota keselamatan Bangladesh berkawal di hadapan Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) di kawasan mahkamah tinggi di Dhaka, Bangladesh, 17 November. Tribunal Jenayah Antarabangsa-1 mengumumkan keputusan kes terhadap bekas perdana menteri Sheikh Hasina dan dua pembantu kanan beliau. - Foto EPA

DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, pada 17 November disabitkan atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan kerana didakwa mengarahkan tindakan keras terhadap protes pelajar yang menggulingkan pemerintahannya pada Ogos 2024.

Mahkamah mendapati Cik Hasina menghasut serangan terhadap mahasiswa yang memprotes dasar kuota pekerjaan pemerintah.

“Mahkamah mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk mengenakan pertuduhan,” menurut hakim ketika membaca keputusan setebal 453 muka surat itu, yang dibahagikan kepada enam bahagian dan digambarkan sebagai setaraf dengan tribunal antarabangsa.

Keputusan itu, yang dibacakan tanpa kehadiran beliau di mahkamah dan hakim mengambil hampir 40 minit untuk menyampaikan dan menjelaskan asas undang-undang keputusan tersebut, termasuk justifikasi kuasa tribunal dalam mengeluarkan penghakiman itu.

Cik Hasina, 78 tahun, melarikan diri ke India selepas pemerintahannya tumbang dan enggan mematuhi arahan mahkamah supaya kembali untuk menghadiri perbicaraan.

Beliau sebelum ini mengecam proses tersebut sebagai “jenaka perundangan”.

Peguam beliau berhujah bahawa dakwaan penggunaan dron dan helikopter tidak pernah berlaku, tetapi mahkamah menyatakan pembelaan itu tidak meyakinkan, dengan tribunal menegaskan Cik Hasina terus membuat “ucapan kebencian di media sosial” walaupun diarahkan berhenti.

Pihak pendakwa mengemukakan lima pertuduhan, termasuk kegagalan menghalang pembunuhan, yang dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan di bawah undang-undang Bangladesh.

Pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan pada 2024 itu mengorbankan sehingga 1,400 orang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seorang rakan tertuduh, bekas Menteri Dalam Negeri, Encik Asaduzzaman Khan, juga dibicarakan, manakala bekas Ketua Polis Chowdhury, Encik Abdullah Al-Mamun yang mengaku bersalah ditahan dan menjadi saksi utama.

Keputusan ini diumumkan ketika Dhaka berada dalam suasana berjaga-jaga. Hampir separuh daripada 34,000 anggota polis ditempatkan bagi mengawal ibu kota, manakala kenderaan berperisai dan pusat pemeriksaan keselamatan didirikan di lokasi penting.

Serangan bom buatan sendiri yang berlaku minggu-minggu kebelakangan ini meningkatkan kebimbangan kemungkinan berlakunya keganasan baru.

Penduduk Dhaka banyak memilih untuk tinggal di rumah. Media tempatan melaporkan jalan raya “luar biasa sunyi”, susulan seruan mogok nasional oleh parti Cik Hasina, Liga Awami.

Liga Awami dalam satu kenyataan di X menyifatkan mogok nasional sebagai perjuangan untuk “kedaulatan dan kelangsungan negara”.

“Orang tidak keluar tanpa sebab. Kita tidak tahu apa yang boleh berlaku,” kata penduduk Dhaka Encik Moktar Hossain kepada Dhaka Tribune.

Seorang pemimpin persatuan bas pula berkata ramai pemandu enggan bertugas kerana takut insiden keganasan berulang selepas beberapa kenderaan dibakar semasa mogok yang dijalankan beberapa minggu lalu.

Keputusan tribunal itu disiarkan secara langsung melalui skrin gergasi di seluruh Dhaka, menarik perhatian keluarga mangsa dan aktivis mahasiswa.

“Hukuman paling maksimum patut dikenakan. Tiada diktator boleh bangkit lagi di negara ini,” tegas Encik Jasim Khan, pemimpin mahasiswa yang kehilangan sebelah mata dalam protes 2024.

Bapa kepada mangsa lain, Syed Gazi Rahman, berkata: “Kami mahu hukuman dilaksanakan segera dan secara terbuka. Dia telah mengosongkan hati ribuan keluarga.”

Encik Mohammad Abu Bakar Shikder, yang kehilangan anak dalam kekacauan itu, menuntut supaya Cik Hasina dibawa pulang dari India untuk menjalani hukuman di tanah air.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan NDTV dari lokasi persembunyiannya di New Delhi, Cik Hasina menuduh kerajaan sementara pimpinan Encik Muhammad Yunus “menyeret Bangladesh ke arah autoritarianisme” dan membiarkan kelompok ekstremis mendapat pengaruh.

Beliau mendakwa penggulingannya pada 5 Ogos berlaku dalam suasana “kekacauan” yang turut menghancurkan rumah keluarganya. “Ini bukan proses undang-undang yang sebenar,” katanya.

Ironinya, tribunal yang mensabitkan Cik Hasina pada 17 November ialah institusi yang ditubuhkan oleh beliau sendiri pada 2010 untuk mengadili jenayah perang 1971.

Tribunal ini pernah memenjarakan dan menghukum mati beberapa tokoh parti pembangkang, menyebabkan kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi antarabangsa yang menuduh wujudnya proses tidak adil dan pertuduhan selektif. Cik Hasina ketika itu mempertahankan tribunal tersebut.

Namun selepas kejatuhan pemerintahannya pada Ogos 2024, pemerintah sementara merombak tribunal sama dan mengalih tumpuan kepada penyiasatan pembunuhan serta pencabulan hak asasi yang berlaku ketika tindakan keras terhadap penunjuk perasaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg