Bekas PM Korea S dipenjara 23 tahun atas kesalahan pemberontakan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas PM Korea S dipenjara 23 tahun atas kesalahan pemberontakan

Jan 21, 2026 | 7:38 PM

Bekas PM Korea S dipenjara 23 tahun atas kesalahan pemberontakan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
 Bekas perdana menteri Korea Selatan, Han Duck-soo (tengah), tiba di Mahkamah Daerah Pusat Seoul bagi perbicaraan pertama penjatuhan hukuman dalam kes pemberontakan di Seoul pada 21 Januari 2026
Bekas perdana menteri Korea Selatan, Han Duck-soo (tengah), tiba di Mahkamah Daerah Pusat Seoul bagi perbicaraan pertama penjatuhan hukuman dalam kes pemberontakan di Seoul pada 21 Januari 2026 - Foto AFP

SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada 21 Januari menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun ke atas bekas perdana menteri Han Duck-soo, selepas mendapati beliau bersalah atas beberapa pertuduhan serius termasuk pemberontakan berkait dengan pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas presiden Yoon Suk Yeol pada Disember 2024.

Keputusan itu menjadikan Han, yang kini berusia 76 tahun, sebagai bekas menteri Kabinet pertama yang disabitkan bersalah oleh mahkamah dalam kes jenayah yang secara langsung berkaitan dengan pengisytiharan undang-undang tentera.

Penganalisis undang-undang melihat keputusan ini sebagai penanda aras penting yang berpotensi mempengaruhi perbicaraan lain berkaitan krisis politik tersebut.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul mendapati Han bersalah kerana memainkan peranan penting dalam mewujudkan gambaran seolah-olah wujud mesyuarat Kabinet, yang kemudiannya digunakan untuk mengesahkan pengisytiharan undang-undang tentera. Hakim menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk “pemberontakan dari atas ke bawah”.

Menurut hakim, Han turut terlibat dalam perbincangan untuk menyekat fungsi institusi utama negara, termasuk Parlimen, sebagai sebahagian daripada rancangan pemberontakan tersebut.

“Defendan ialah seorang perdana menteri yang memperoleh legitimasi dan tanggungjawab demokratik secara tidak langsung. Namun begitu, beliau memilih untuk memejamkan mata dan menyertai pemberontakan 3 Disember sebagai salah seorang pelakunya,” kata hakim ketika membacakan penghakiman.

Hakim menegaskan bahawa tindakan itu telah meletakkan Korea Selatan dalam risiko kembali ke era gelap, di mana hak asasi rakyat dan sistem demokrasi liberal dicabuli. “Negara ini berdepan kemungkinan terperangkap semula dalam lumpur pemerintahan diktator untuk tempoh yang panjang,” katanya.

Selain pertuduhan pemberontakan, mahkamah turut mendapati Han bersalah atas kesalahan memberi keterangan palsu dan memalsukan dokumen rasmi. Hukuman penjara 23 tahun yang dijatuhkan adalah lebih berat berbanding hukuman 15 tahun yang dipohon oleh pendakwa raya pada November lalu, satu langkah yang jarang berlaku dalam sistem kehakiman Korea Selatan.

“Ia keputusan yang perlu saya terima dengan rendah hati,” kata Han selepas penghakiman, sambil berpakaian sut gelap dan bertali leher hijau. Beliau sebelum ini menafikan semua pertuduhan kecuali perbuatan memberi keterangan palsu.

Dalam keterangannya pada November, Han mengakui kesal kerana gagal menghalang Yoon daripada mengisytiharkan undang-undang tentera, namun menegaskan bahawa beliau tidak pernah bersetuju atau membantu tindakan tersebut.

Mahkamah mengarahkan Han ditahan serta-merta selepas penghakiman. Peguamnya memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung.

Reaksi orang awam terhadap keputusan itu menunjukkan sokongan yang jelas. “Keputusan ini sesuatu yang boleh diterima sepenuhnya oleh rakyat yang menentang undang-undang tentera,” kata Encik Kim Su-hyeon, 23 tahun, seorang penumpang yang menonton liputan berita di sebuah stesen kereta api, kepada Reuters.

Han dikenali sebagai teknokrat berpengalaman yang pernah memegang jawatan kanan di bawah lima presiden Korea Selatan. Beliau dilantik sebagai pemangku presiden selepas Yoon dipecat oleh Parlimen, sebelum Han sendiri dipecat atas dakwaan membantu pengisytiharan undang-undang tentera.

Bagaimanapun, Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan kemudian membatalkan pemecatan tersebut dan memulihkan kuasanya. Han kemudiannya meletak jawatan bagi bertanding dalam pilihan raya mengejut pada Jun lalu, namun menarik diri susulan perpecahan dalam kalangan konservatif.

Seorang lagi penumpang keretapi, Encik Kim In-sik, 79 tahun, berkata keputusan itu mencerminkan tragedi politik yang menyedihkan. “Saya tidak tahu sama ada orang tua ini benar-benar mahu berbakti kepada rakyat Korea Selatan dengan caranya sendiri, tetapi akhirnya hasilnya tidak baik,” katanya.

Sementara itu, Yoon berdepan lapan perbicaraan berasingan dan minggu lalu dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan termasuk menghalang cubaan pihak berkuasa untuk menahannya selepas pengisytiharan undang-undang tentera. Beliau telah mengemukakan rayuan.
Yoon dijangka menerima satu lagi keputusan penting pada 19 Februari, berkaitan pertuduhan paling serius iaitu merancang pemberontakan. Pendakwa raya telah memohon hukuman mati dalam kes tersebut, meskipun Korea Selatan tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1997. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg