Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah pecat Presiden Yoon, pilihan raya dalam 60 hari

Apr 4, 2025 | 11:48 AM
Presiden Korea Selatan yang telah dipecat, Encik Yoon Suk Yeol tiba di hadapan kediamannya selepas dibebaskan daripada tahanan di Seoul pada 8 Mac.
Presiden Korea Selatan yang telah dipecat, Encik Yoon Suk Yeol tiba di hadapan kediamannya selepas dibebaskan daripada tahanan di Seoul pada 8 Mac. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Presiden Yoon Suk Yeol digugurkan daripada jawatannya oleh Mahkamah Perlembagaan pada 4 April setelah kesemua hakim menyokong usul pemecatan yang dibawa oleh Parlimen, berikutan tindakan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera yang mencetuskan kekacauan nasional pada 2024.

Mahkamah mendapati tindakan itu dianggap sebagai “pengkhianatan besar terhadap kepercayaan rakyat” dan telah mencetuskan krisis politik terburuk dalam tempoh beberapa dekad di negara itu.

“Kami sebulat suara memutuskan untuk menggugurkan Presiden Yoon Suk Yeol,” kata Pemangku Ketua Hakim Moon Hyung-bae dalam sesi mahkamah yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

“Beliau telah melampaui kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan mencabar asas demokrasi negara.

“Tindakan Presiden Yoon jelas menyalahi Perlembagaan dan undang-undang negara. Kesan buruknya terlalu besar. Memulihkan ketertiban Perlembagaan lebih penting daripada mengekalkan seorang presiden yang mengkhianati amanah rakyat,” tegas Hakim Moon.

Tindakan Encik Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember 2024 hanya bertahan enam jam, namun sudah cukup untuk menimbulkan kemarahan awam dan mencetuskan bantahan besar-besaran.

Ribuan rakyat turun ke jalan raya dengan ratusan berkhemah di luar Mahkamah Perlembagaan sejak beberapa hari lalu menunggu keputusan mahkamah.

“Kami menang! Ini kemenangan rakyat!” jerit para penunjuk perasaan sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Menurut Perlembagaan Korea Selatan, pemilihan presiden baru perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Buat masa ini, Perdana Menteri Han Duck-soo akan menjalankan tugas sebagai Presiden sementara sehingga pemimpin baru mengangkat sumpah.

Encik Yoon, 64, merupakan mantan Pendakwa Raya Agung yang terkenal dengan penyiasatan berprofil tinggi, termasuk kes rasuah Presiden Park Geun-hye pada 2017.

Namun ironinya, beliau kini menjadi Presiden pertama dalam sejarah Korea Selatan yang digugurkan selepas ditahan atas tuduhan pemberontakan pada Januari lalu – satu penghinaan bagi pemimpin yang dahulu dilihat sebagai lambang reformasi.

“Pemecatan ini adalah helah politik pembangkang untuk menjatuhkan presiden yang sah. Saya tidak berniat menindas rakyat. Ia hanyalah seruan terakhir dalam bentuk undang-undang tentera,” kata Encik Yoon dalam pembelaannya semasa perbicaraan terakhir pada Februari.

Namun rakyat tidak mudah diyakinkan.

Menurut kaji selidik Gallup Korea pada 28 Mac, enam daripada 10 warga Korea menyokong pemecatan beliau.

Malah lebih separuh mahukan perubahan pemerintahan daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang dipimpin Encik Yoon kepada Parti Demokratik yang lebih liberal.

Ketegangan terus memuncak sejak Mac, dengan ribuan anggota polis dikerahkan ke kawasan sensitif termasuk Mahkamah Perlembagaan, Dataran Gwanghwamun dan kediaman Encik Yoon di Itaewon.

Seramai 14,000 anggota keselamatan ditugaskan mengawal keadaan menjelang keputusan 4 April, termasuk di Parlimen yang terletak di selatan Sungai Han.

Profesor Hahm Sung-deuk dari Universiti Kyonggi melihat pemecatan itu sebagai bukti kekuatan institusi negara itu.

“Saya percaya undang-undang akan mengatasi politik berasaskan parti. Negara ini lebih besar daripada mana-mana pemimpin,” katanya.

Kini tumpuan terarah kepada pilihan raya presiden yang bakal berlangsung sekitar awal Jun.

Di tengah kekacauan politik, rakyat Korea Selatan menunjukkan bahawa suara mereka melalui undang-undang, tunjuk perasaan dan demokrasi masih berfungsi.

“Ini bukan sekadar pengakhiran bagi seorang Presiden, tetapi permulaan untuk membina semula kepercayaan terhadap demokrasi kita,” kata seorang penunjuk perasaan sambil memegang sepanduk bertulis, Rakyat adalah kuasa sebenar’. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg