PARIS: ahkamah Jenayah Paris pada 25 September memutuskan bekas presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, bersalah atas tuduhan konspirasi jenayah tetapi membebaskannya daripada dakwaan rasuah dan penerimaan dana kempen secara haram dalam kes pembiayaan pilihan raya presiden 2007 yang dikaitkan dengan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Hakim menyatakan bahawa Encik Sarkozy, 70 tahun, membenarkan pembantunya berhubung dengan pihak Libya untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi kempen pilihan rayanya, walaupun tiada bukti kukuh menunjukkan wang daripada Libya benar-benar sampai ke dana kempen beliau.
“Sebagai menteri dan ketua parti ketika itu, beliau membiarkan rakan politik dan penyokong rapatnya yang bertindak atas namanya mendekati pihak Libya untuk mendapatkan atau cuba mendapatkan bantuan kewangan,” kata hakim Cik Nathalie Gavarino semasa membacakan keputusan.
Namun, mahkamah tidak menyokong hujah pendakwa bahawa Encik Sarkozy sendiri menerima dana haram tersebut. Beliau dibebaskan daripada tuduhan penggelapan dana awam Libya, rasuah pasif dan pembiayaan kempen pilihan raya secara haram.
Pendakwa menuntut hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas presiden itu, yang pernah memimpin Perancis dari 2007 hingga 2012. Hukuman penuh akan diumumkan kemudian. Encik Sarkozy hadir di mahkamah bersama isterinya, penyanyi dan bekas model Cik Carla Bruni-Sarkozy.
Antara yang turut disabitkan kesalahan ialah bekas pembantu kanan Encik Sarkozy, Claude Gueant, yang didapati bersalah atas rasuah pasif dan pemalsuan dokumen. Bekas menteri dalam negeri Brice Hortefeux pula didapati bersalah berkomplot jenayah. Namun, bendahari kempen Encik Sarkozy pada 2007, Eric Woerth, dibebaskan daripada semua pertuduhan.
Kes ini berhubung dakwaan bahawa rejim Gaddafi menghantar berjuta-juta euro dalam bentuk tunai ke Paris untuk membantu kemenangan Encik Sarkozy dalam pilihan raya presiden 2007. Tuduhan itu sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai watak kontroversi, termasuk bekas pegawai risikan Libya dan peniaga senjata.
Antara bukti yang dibentangkan termasuk catatan mendiang bekas menteri minyak Libya, Shukri Ghanem, yang ditemui mati lemas di Sungai Danube, Vienna, pada 2012, serta kenyataan tujuh bekas pegawai kanan Libya.
Kes ini turut mendapat perhatian kerana kematian mendadak seorang saksi utama, ahli perniagaan Encik Franco-Lubnan Ziad Takieddine, dua hari sebelum keputusan diumumkan.
Encik Takieddine pernah mendakwa membawa sehingga lima juta euro wang tunai daripada Encik Gaddafi untuk Encik Sarkozy, sebelum kemudian menarik balik kenyataannya dan kemudian menarik balik penafian itu, menyebabkan satu lagi siasatan dibuka ke atas Encik Sarkozy dan isterinya atas dakwaan cubaan mempengaruhi saksi.
Pihak pendakwa menegaskan bahawa Encik Sarkozy dan pembantunya membuat perjanjian sulit dengan Encik Gaddafi pada 2005 untuk membiayai kempen presiden. Sebagai balasan, Tripoli dikatakan berharap sokongan politik Perancis bagi membersihkan imej antarabangsa Libya selepas dituduh terlibat dalam insiden pengeboman pesawat pada 1988 dan 1989.
Walaupun kini berdepan pelbagai kes undang-undang, Encik Sarkozy masih mempunyai pengaruh besar dalam politik sayap kanan Perancis. Beliau pernah digelar “Presiden hiperaktif” kerana gaya kepimpinannya yang agresif, dan dilaporkan kerap berjumpa Presiden Emmanuel Macron serta pemimpin kanan lain.
Sejak meninggalkan jawatan, Encik Sarkozy telah beberapa kali disabitkan kesalahan. Pada 2024, Mahkamah Tinggi Perancis mengesahkan sabitan rasuah dan pengaruh tidak wajar ke atasnya, memerintahkan beliau memakai alat pemantauan elektronik selama setahun. Mahkamah rayuan juga mengekalkan sabitan berhubung pembiayaan haram kempen pemilihan semula 2012.
Walaupun pernah dilucutkan darjah kebesaran tertinggi Perancis, Legion d’Honneur, Encik Sarkozy masih memainkan peranan penting dalam percaturan politik negara itu. Namun keputusan terbaharu ini dijangka memberi kesan mendalam terhadap reputasinya menjelang prosiding rayuan selanjutnya.
“Ini bukan pengakhiran bagi saya. Saya akan terus melawan hingga ke akhirnya,” kata Encik Sarkozy ringkas ketika meninggalkan mahkamah, memberi isyarat akan mengemukakan rayuan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg