Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Belanjawan 2021 dilulus, Muhyiddin bertahan dengan majoriti tiga undi

Dec 16, 2020 | 05:30 AM



BELANJAWAN 2021 pertama yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan oleh Ahli Parlimen (AP) dengan 111 undian menyokong, 108 membantah manakala seorang tidak hadir semalam - lulus dengan majoriti tiga undi.



Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun, mengumumkan keputusan itu selepas selesai pengundian yang dijalankan secara belah bahagian sekali gus menyelamatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.



Ia berlaku selepas dua percubaan pihak pembangkang untuk memanggil undian belah bahagian di peringkat akhir jawatankuasa dan bacaan ketiga gagal.



Sebelum itu, Dewan juga meluluskan Belanjawan peringkat jawatankuasa dengan jumlah undi yang sama.



Kerajaan PN melalui ujian getir apabila pembangkang cuba melakukan usaha terakhir untuk menggagalkan Belanjawan 2021.



Difahamkan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) tidak hadir untuk mengundi manakala AP Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan serta P Prabakaran (PH-Batu) mengundi dari Galeri Awam kerana masih dalam kuarantin Covid-19.



Pada bulan lalu, Belanjawan diluluskan dengan undian suara majoriti peringkat dasar selepas dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.



Sebaik sahaja pengumuman keputusan itu dibuat suasana dalam dewan riuh dengan tepukan kuat AP penyokong kerajaan dengan kedengaran suara '29-0' kekalahan pembangkang sejak pengundian peringkat jawatankuasa dan juga semalam.



Sementara itu, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, Belanjawan itu adalah untuk kemakmuran rakyat Malaysia dan beliau akan lakukan yang terbaik demi kesejahteraan orang ramai.



"Syukur ke hadrat Illahi dan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak atas sokongan anda dalam menyokong dan meluluskan #Belanjawan2021.



"Belanjawan ini adalah untuk kemakmuran kita semua dan dengan izin-Nya, insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat," katanya menerusi Twitter sebaik sahaja Belanjawan diluluskan di Parlimen.



Belanjawan 2021 atau Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu melalui tempoh 10 hari perbahasan dan penggulungan oleh setiap kementerian di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar.



Pada peringkat jawatankuasa, sembilan kementerian berdepan proses undi belah bahagian sebelum diluluskan iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.



Turut melalui proses yang sama ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.



Tanda kemenangan itu dapat dilihat melalui pengundian peringkat jawatankuasa apabila Belanjawan 27 kementerian diluluskan dengan cemerlang selepas Belanjawaan peringkat dasar mendapat sokongan suara majoriti.



Awal daripada ini dikatakan pembangkang akan mengemukakan undi belah bahagi bagi memutuskan sama ada Belanjawan itu diterima atau ditolak.



Begitu juga mesej yang disampaikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya AP pembangkang dan kerajaan menolak Belanjawan tidak mendapat sambutan malah menunjukkan komitmen AP kerajaan kukuh meskipun menang tipis tiga undi.



Keputusan terbaru itu melenyapkan impian Pakatan Harapan (PH) untuk kembali menerajui kerajaan selain buat kali kedua kerajaan PN direkodkan mempunyai majoriti selepas pengundian pemilihan Datuk Azhar sebagai Speaker Parlimen pada 23 Julai lalu.



Mengikut laman utama Parlimen, statistik menunjukkan kerajaan PN yang disokong Barisan Nasioanal (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah serta Bebas mempunyai 112 kerusi manakala pembangkang 108 kerusi.



Dewan Rakyat kini mempunyai 220 anggota berikutan kematian dua AP (Gerik dan Batu Sapi).



Oleh itu, 111 undi adalah diperlukan untuk majoriti mudah.



Daripada wakil rakyat itu, Perikatan Nasional mempunyai 50 Ahli Parlimen, BN 42, Gabungan Parti Sarawak 18, dan Parti Bersatu Sabah 1.



Di pihak pembangkang, Pakatan Harapan mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan 8, kumpulan pro-bekas perdana menteri Dr Mahathir 4, Parti Sarawak Bersatu 2, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu 1 dan mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.



Dua ahli Parlimen mengisytiharkan diri mereka bebas.



Bulan lalu, Tengku Datuk Seri Zafrul membentangkan perbelanjaan terbesar dalam sejarah berjumlah RM322.5 bilion ($106.2 bilion) dengan Belanjawaan digarap berasaskan unjuran kutipan hasil kerajaan bagi 2021 yang dijangka meningkat kepada RM236.9 bilion, lebih tinggi berbanding RM227.3 bilion pada 2020.



Daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan itu, kerajaan bercadang memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19, manakala baki RM2 bilion diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >