Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelasan maut bangunan 6 tingkat runtuh di Gaza, puluhan terperangkap
Belasan maut bangunan 6 tingkat runtuh di Gaza, puluhan terperangkap
GAZA: Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh apabila sebuah bangunan kediaman enam tingkat yang menempatkan keluarga kehilangan tempat tinggal runtuh di Bandar Gaza pada awal 16 September.
Puluhan lagi dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.
Pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa di kawasan Tal al-Hawa, di barat Bandar Gaza, tetapi operasi menghadapi kesukaran akibat kekurangan jentera berat dan peralatan untuk mengalihkan timbunan konkrit.
Bangunan itu turut menghempap beberapa khemah yang didirikan berhampiran untuk menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan kediaman akibat perang.
Pertahanan Awam Gaza berkata sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, termasuk lima kanak-kanak, manakala beberapa mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmoud Basal, berkata lebih 60 orang dilaporkan berada di bangunan itu dan ramai masih belum ditemukan.
Menurut beliau, bangunan berkenaan mengalami kerosakan struktur akibat serangan Israel sebelum ini.
Penduduk setempat turut berkata bangunan itu sudah retak dan mengalami kerosakan serius sebelum runtuh.
Rakaman dari lokasi menunjukkan anggota penyelamat bersama penduduk menggali timbunan konkrit dengan tangan bagi mencari mangsa.
Tangisan kanak-kanak yang meminta pertolongan dilaporkan kedengaran dari bawah runtuhan ketika pasukan penyelamat berusaha mencari laluan untuk sampai kepada mereka.
Satu rakaman menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berjaya dikeluarkan dalam keadaan hidup, sementara beberapa mangsa lain, termasuk kanak-kanak yang kelihatan sukar bernafas, turut diselamatkan sebelum dibawa dengan ambulans.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan enam keluarga dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan sejak awal pagi, tetapi kekurangan jentera berat menyebabkan anggota penyelamat terpaksa melakukan sebahagian besar kerja secara manual.
Kejadian itu sekali lagi menonjolkan bahaya yang dihadapi penduduk Gaza yang terpaksa berlindung di bangunan rosak selepas kediaman mereka musnah atau tidak lagi selamat didiami akibat perang.
Ribuan rumah dan blok apartmen di seluruh Gaza mengalami kerosakan atau musnah sebahagiannya sepanjang konflik.
Sebahagian bangunan yang masih berdiri pula mengalami kerosakan struktur dan berisiko runtuh secara tiba-tiba.
Dengan ruang perlindungan yang terhad, ramai penduduk terpaksa tinggal di dalam bangunan yang pernah dibedil atau mendirikan khemah dan tempat perlindungan sementara berhampiran runtuhan.
Usaha membaiki bangunan turut terjejas akibat kekurangan bahan binaan, sementara pasukan Pertahanan Awam menghadapi masalah mendapatkan jentera dan peralatan berat yang diperlukan untuk mengalihkan runtuhan dengan selamat.
Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan usaha membina semula kediaman, malah melambatkan operasi menyelamat apabila bangunan runtuh.
Dalam kejadian di Tal al-Hawa, anggota penyelamat terpaksa berlumba dengan masa kerana dikhuatiri masih terdapat mangsa hidup di bawah timbunan konkrit.
Kejadian terkini berlaku ketika keadaan keselamatan di Gaza kekal rapuh, meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 1,375 rakyat Palestin terbunuh dan 4,686 lagi cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata itu bermula.
Kementerian itu berkata jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terbunuh sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023 kini menghampiri 74,000 orang, manakala lebih 174,000 lagi cedera.
Angka yang dikeluarkan pihak berkuasa Gaza itu tidak membezakan antara orang awam dengan anggota kumpulan bersenjata.
Bagi penduduk Tal al-Hawa, tumpuan kini terarah kepada usaha mencari mereka yang masih hilang, ketika anggota penyelamat dan penduduk terus mengalihkan runtuhan dengan peralatan terhad untuk cuba menyelamatkan mangsa yang mungkin masih hidup. – Agensi berita.
