Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael buka siasatan jenayah kematian kanak-kanak, 14 petugas perubatan Gaza
TEL AVIV: Tentera Israel akan membuka siasatan jenayah terhadap tindakan anggotanya dalam dua kes berprofil tinggi di Gaza, termasuk kematian kanak-kanak Palestin berusia lima tahun, Hind Rajab, serta 14 petugas perubatan dan penyelamat Palestin.
Keputusan itu diumumkan pada 19 Ogos selepas satu pasukan pencari fakta tentera menjalankan penelitian panjang terhadap puluhan insiden yang dipertikaikan sepanjang perang Gaza.
Siasatan tersebut dilakukan selepas Israel menerima kecaman antarabangsa meluas berhubung tindakannya di Gaza, dengan beberapa pertubuhan hak asasi manusia dan pemerintah asing menuduhnya melakukan jenayah perang.
Kes pertama melibatkan kematian Hind dan enam anggota keluarganya selepas kenderaan yang mereka naiki ditembak di Bandar Gaza pada Januari 2024.
Siasatan jenayah itu turut merangkumi serangan terhadap sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang dihantar untuk menyelamatkan Hind.
Dua paramedik terbunuh selepas ambulans itu dibedil ketika menghampiri lokasi kejadian.
Kes kedua pula melibatkan kejadian pada Mac 2025 apabila 14 petugas perubatan dan penyelamat Palestin ditembak mati di selatan Gaza.
Seorang kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang melalui kawasan itu selepas petugas kecemasan berkenaan ditembak, turut terbunuh.
Tentera Israel berkata pasukan pencari faktanya sudah menyelesaikan penelitian terhadap kira-kira 150 insiden sepanjang perang.
Badan tersebut terdiri daripada pegawai profesional yang beroperasi di luar rantaian perintah biasa tentera.
Bagaimanapun, siasatan polis tentera Israel sebelum ini sering mengambil masa panjang dan jarang membawa kepada sabitan.
Pertubuhan hak asasi juga berulang kali mengkritik mekanisme siasatan dalaman tentera Israel dengan mendakwa proses tersebut gagal memastikan pertanggungjawaban.
Kes Hind mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menjadikan kanak-kanak itu antara wajah paling dikenali dalam kalangan mangsa perang Gaza.
Hind terselamat daripada serangan awal terhadap kereta keluarganya dan terperangkap bersama mayat anggota keluarganya.
Beliau dan sepupunya, Layan Hamad, pada mulanya sempat bercakap melalui telefon dengan anggota penyelamat selepas kenderaan mereka ditembak.
Hind kemudian terus berhubung sendirian dengan petugas kecemasan.
PRCS menghantar sebuah ambulans selepas pergerakannya diselaraskan dengan tentera Israel.
Namun, ambulans tersebut dibedil sebaik tiba di lokasi dan Hind bersama dua paramedik yang cuba menyelamatkannya hanya ditemukan meninggal dunia hampir dua minggu kemudian.
Tentera Israel berkata pada 19 Ogos bahawa anggotanya melepaskan tembakan terhadap sebuah kenderaan yang “menghampiri mereka ketika bergerak bertentangan dengan notis awal” yang diberikan kepada penduduk di kawasan itu.
Menurut penelitian tentera, lima daripada tujuh penumpang kenderaan tersebut terbunuh dalam serangan awal, manakala Hind dan Layan terselamat.
Tentera Israel tidak menjelaskan secara khusus mengapa ambulans yang pergerakannya telah diselaraskan dengan pasukan Israel kemudian dibedil, selain menyebut terdapat “kegagalan yang jelas” dalam proses penyelarasan.
Yayasan Hind Rajab yang berpangkalan di Brussels dan berusaha mengambil tindakan undang-undang terhadap warga Israel yang didakwa melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin berkata ia “tidak yakin” dengan keputusan tentera Israel membuka siasatan jenayah.
Menurut pertubuhan itu, siasatan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai langkah sebenar ke arah mendapatkan keadilan kerana proses Israel menyiasat tindakan tenteranya sendiri mempunyai kelemahan asas.
Dalam kes 14 petugas perubatan dan penyelamat Palestin pula, siasatan awal tentera sebelum ini mendapati berlaku beberapa kesilapan dalam tindakan anggotanya.
Siasatan awal yang dikeluarkan kurang sebulan selepas kejadian mengenal pasti “beberapa kegagalan profesional”, selain pelanggaran arahan dan kegagalan melaporkan sepenuhnya kejadian tersebut.
Seorang timbalan komander kemudian disingkirkan daripada jawatannya.
Tentera Israel pada April 2025 berkata tembakan terhadap konvoi kenderaan kecemasan, termasuk ambulans dan sebuah jentera bomba, berpunca daripada “salah faham operasi” apabila askar menyangka mereka berdepan ancaman nyata daripada pasukan musuh.
Rakaman pengawasan bagaimanapun dilaporkan menunjukkan anggota penyelamat keluar daripada kenderaan dan berlari menjauhi tentera Israel, bukannya menuju ke arah mereka.
Tentera Israel tidak memberikan butiran baru mengenai kes itu kerana siasatan jenayah kini sedang dijalankan.
Pada masa sama, tentera memutuskan tidak membuka siasatan jenayah terhadap tiga lagi kes berprofil tinggi.
Ini termasuk serangan pada April 2024 yang membunuh tujuh kakitangan pertubuhan bantuan World Central Kitchen atau Dapur Pusat Dunia (WCK) ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan ke sebuah gudang.
Tentera berkata pasukannya menyerang konvoi tersebut selepas melihat seorang lelaki bersenjata dan tersilap menganggap anggota Hamas telah mengambil alih kenderaan berkenaan.
WCK menolak penjelasan tersebut dan mengecam keputusan untuk tidak membuka siasatan jenayah.
“Tidak pernah ada sebarang alasan atau justifikasi bagi serangan itu dan tiada apa-apa dalam penjelasan ini yang membenarkannya,” kata WCK sambil menuntut siasatan bebas.
Tentera Israel turut memutuskan tidak membuka siasatan jenayah terhadap serangan maut ke atas sebuah bangunan yang digunakan Doctors Without Borders pada Februari 2024 serta kematian dua kakitangannya yang menaiki konvoi di Bandar Gaza pada November 2023.
Lebih 70,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak perang bermula hampir tiga tahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Angka itu tidak membezakan antara orang awam dengan anggota bersenjata tetapi merangkumi ribuan kanak-kanak.
Perang tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, menurut pihak berkuasa Israel, manakala sekitar 250 yang lain dibawa ke Gaza sebagai tebusan.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa hampir setahun lalu, Israel terus melakukan serangan yang disifatkannya sebagai operasi menyasarkan anggota Hamas.
Pada 19 Ogos, pegawai Gaza berkata sembilan orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah ibu pejabat polis di Bandar Gaza, termasuk seorang kanak-kanak berusia 13 tahun yang kehilangan tempat tinggal dan menetap berhampiran kawasan tersebut.
Tentera Israel berkata serangan itu menyasarkan sekumpulan anggota bersenjata di sebuah balai polis, termasuk sekurang-kurangnya empat anggota sayap tentera Hamas. – Agensi berita.
