NIBONG TEBAL (Pulau Pinang): Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang tidak mengambil mudah dakwaan kehilangan sokongan 20 peratus pengundi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusinya, Encik Choe Kon Yeow, yang ditanya mengenai perkara itu enggan menafikan atau mengiakan dakwaan terbabit.
Sebaliknya, Encik Choe berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Setiausaha DAP Pulau Pinang, Encik Lim Hui Ying, yang dibuat berdasarkan tinjauan mendakwa pengundi Cina boleh mencetuskan kejutan pada 12 Ogos ini.
“Saya tidak nafikan atau mengiakan, namun kita ambil maklum sentimen jika ada. Sebenarnya tinjauan itu mungkin satu panduan sahaja dan kita tidak tahu berapa sampel dibuat.
“Kita juga tidak tahu apa soalan yang ditanya, namun kita ambil maklum bahawa ia adalah (tinjauan) secara umum.
“Jika sambutan merosot, kita akan tingkatkan lagi dan tidak ambil mudah, serta teruskan kempen,” katanya di Kompleks Makanan Taman Sentosa ketika menjalankan kempen bersama calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi, Encik H’ng Mooi Lye, pada Khamis.
Terdahulu, Encik Lim mendakwa sebilangan besar pengundi Cina mungkin mengundi Perikatan Nasional (PN), atau tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak pada PRN ke-15 ini.
Menurut Berita Harian Malaysia, Encik Lim berkata tinjauan itu menyebut PN di bawah kepimpinan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dapat menembusi Pulau Pinang dan menawan Negeri Sembilan serta meraih lebih banyak kerusi di Selangor.
Berkongsi kenyataan itu, Encik Lim berpesan kepada jentera partinya supaya tidak leka mengenai kebimbangan terhadap kehilangan sebanyak 20 peratus undi, memandangkan majoriti sokongan DAP di Pulau Pinang adalah daripada masyarakat Cina.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg