PRAYAGRAJ (India): Berjuta-juta penganut Hindu berpusu-pusu ke bandar Prayagraj di utara India pada 30 Januari untuk perayaan Maha Kumbh, sehari selepas berpuluh-puluh orang maut dalam rempuhan di tempat suci itu pada hari paling bertuah dalam acara enam minggu itu.
Stesen-stesen kereta api dan bas di bandar itu sesak dengan orang ramai yang tiba untuk perayaan itu, meskipun sesetengah penganut masih gementar selepas kejadian rempuhan maut itu berlaku.
Krishna Soni, seorang pelajar dari negeri barat kota Bikaner Rajasthan, dan keluarganya seramai lapan orang, mengikat tubuh mereka bersama-sama dengan tali untuk memastikan mereka tidak terpisah satu sama lain dalam kerumunan orang ramai.
“Kami berjalan dengan sangat berhati-hati dan cuba mengelak kawasan sesak,” katanya.
Polis berkata 30 orang terbunuh dan 60 yang lain cedera pada 29 Januari dalam rempuhan di perhimpunan terbesar umat manusia di dunia, tetapi sumber berkata angka kematian mungkin mencecah lebih 50 orang.
“Ramai orang mati di sini setiap hari atas pelbagai sebab jadi mayat tambahan itu mungkin daripada kes lain,” kata pegawai kanan polis, Encik Vaibhav Krishna.
Pihak berkuasa telah mengarahkan siasatan ke atas kejadian itu, yang berlaku apabila orang ramai melompat ke arah pertemuan tiga sungai suci – Ganga, Yamuna dan Saraswati – untuk berenang.
Encik Harsh Kumar, hakim bersara yang mengetuai panel siasatan, memberitahu agensi berita ANI: “Kami jangka dapat menyerahkan laporan itu dalam masa sebulan.”
Pada 29 Januari, lebih 76 juta orang melakukan apa yang dipanggil ‘rendaman diraja’ – pada hari yang dianggap lebih suci di perairan sungai sehingga 8 malam.
Penganut Hindu percaya bahawa berenang di pertemuan sungai membebaskan mereka daripada dosa, dan perayaan Kumbh juga membawa keselamatan daripada kitaran kelahiran dan kematian.
Kumbh Mela – yang diadakan setiap 12 tahun – dijangka menarik kira-kira 400 juta penganut pada 2025. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg