PRAYAGRAJ (India): Sekumpulan besar penganut Hindu menyertai acara mandi di perairan suci apabila perayaan Kumbh Mela diadakan di India mulai 13 Januari.
Pihak penganjur menjangkakan 400 juta orang menyertai acara perhimpunan terbesar melibatkan manusia yang menampilkan urusan logistik cukup mencabar itu.
Perayaan Kumbh Mela yang berusia ribuan tahun, merupakan acara mandi ritual yang diadakan di perairan di mana Sungai Gangga, Yamuna dan Saraswati bertemu.
Penganut memulakan acara mandi itu pada waktu sejuk sebelum matahari terbit.
“Saya berasa sangat gembira kerana seperti mandi di dalam madu,” kata Cik Surmila Devi, 45 tahun.
Seorang peniaga, Encik Reena Rai, yang kelihatan teruja ketika melakukan amalan atas “sebab agama” bersama penganut lain di sepanjang tebing sungai di bandar Prayagraj di utara India, berkata:
“Sebagai penganut Hindu, ini adalah peristiwa yang tidak boleh dilepaskan.”
Peniaga berusia 38 tahun itu sanggup mengembara sekitar 1,000 kilometer dari negeri Madhya Pradesh untuk menyertai acara yang berlangsung dari 13 Januari hingga 26 Februari.
Sebilangan sami berjubah warna kunyit dilihat berada dalam khalayak ramai bagi menawarkan berkat kepada penganut, yang kebanyakannya telah berjalan kaki selama berminggu-minggu untuk sampai ke tapak tersebut.
“Perhimpunan rohani dan budaya terbesar di dunia bermula,” kata sami Hindu dan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Encik Yogi Adityanath, dalam satu kenyataan, mengalu-alukan penganut untuk “merasai perpaduan dalam kepelbagaian, untuk bermeditasi, dan mandi suci”.
Penganjur menyatakan skala Kumbh Mela adalah seperti wujudnya negara sementara – dengan jumlah peserta seperti gabungan penduduk Amerika Syarikat dan Canada.
“Kira-kira 350 hingga 400 juta penganut akan menyertai acara ini, jadi anda boleh bayangkan skala persiapan,” kata jurucakap perayaan, Cik Vivek Chaturvedi.
Perayaan itu berakar umbi dalam mitologi Hindu, pertempuran antara dewa dengan syaitan untuk mengawal kendi yang mengandungi madu keabadian.
Pihak berkuasa penganjur menggelarnya sebagai Kumbh Mela yang hebat atau “Maha”.
Tepi sungai di Prayagraj telah bertukar menjadi lautan khemah yang sangat besar – ada yang mewah, yang lain kanvas ringkas.
Terdapat sekitar 150,000 tandas dan rangkaian dapur masyarakat disediakan dengan setiap satu boleh menyiapkan makanan sehingga 50,000 orang.
Sekitar 68,000 tiang lampu LED telah didirikan untuk menerangi kawasan perhimpunan.
Menurut pemerintah India, sambutan terakhir di tapak itu pada 2019, menarik 240 juta penganut. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg