Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Biden bertindak tangani perubahan iklim

Tandatangani sejumlah perintah eksekutif, sambil berusaha perkenal dasar kehijauan
Jan 29, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, kelmarin menandatangani sejumlah perintah eksekutif untuk menangani perubahan iklim, termasuk menghentikan sementara tempoh pajakan tanah persekutuan yang digunakan bagi tujuan minyak dan gas serta menghentikan subsidi minyak fosil.



Langkah itu diambil sedang beliau berusaha memperkenalkan dasar-dasar kehijauan yang dianggapnya berupaya mewujudkan peluang pekerjaan yang besar.



Perintah yang dilaksanakan beliau itu menjelaskan lagi arah dan tumpuannya dalam mencapai matlamat yang diinginkan dalam menangani soal perubahan iklim serta merubah dasar-dasar yang dilakukan pendahulunya, Encik Donald Trump.



Encik Trump sebelum ini diketahui cuba memaksimumkan pengeluaran minyak, gas dan arang batu dengan melonggarkan peraturan dan penilaian ke atas kesan alam sekitar.



"Pada pandangan saya, kita telah menunggu terlalu lama untuk menangani krisis iklim ini," kata Encik Biden dalam satu majlis di Rumah Putih, sambil menekankan meningkatnya ribut petir, kebakaran liar, banjir dan kemarau yang dikaitkan dengan perubahan iklim serta pencemaran udara akibat pembakaran minyak fosil.



"Kini adalah masa untuk bertindak," katanya lagi, dan membentangkan "pendekatan menyeluruh pemerintah" bagi menangani keprihatinan perubahan iklim di tengah-tengah dasar keselamatan nasional dan luar negara serta perancangan dalam negara.



Menurutnya, membangunkan prasarana berkait iklim yang moden dan berdaya tahan dan mewujudkan tenaga bersih pada masa depan untuk Amerika akan mewujudkan jutaan pekerjaan baik dan berkesatuan.



"Ini adalah kes di mana keprihatinan dan kesedaran saling bertemu, di mana usaha menangani ancaman sedia ada di bumi ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi kita dan kemakmuran untuk semua.



"Apabila saya fikir tentang perubahan iklim dan jawapan untuknya, saya fikir tentang pekerjaan," kata Encik Biden, yang menghadapi tekanan daripada golongan liberal dalam partinya sendiri agar melaksanakan tindakan agresif dalam menghadapi perubahan iklim.



Tumpuan Encik Biden ke atas perubahan iklim dialu-alukan oleh rakan antarabangsa dan pencinta alam, tetapi menimbulkan rasa kurang senang Big Oil, yang menghujahkan langkah Encik Biden itu akan menyebabkan Amerika Syarikat kehilangan jutaan pekerjaan dan berbilion dolar dalam pendapatan sedang ekonomi Amerika dibantai oleh pandemik Covid-19.



Wakil khas Amerika bagi menangani perubahan iklim, Encik John Kerry, berkata, Amerika Syarikat merancang untuk mengumumkan satu sasaran bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 di bawah perjanjian iklim Paris semasa di sidang puncak antarabangsa bagi menangani perubahan iklim di mana Encik Biden akan menganjurkannya pada Hari Bumi pada 22 April ini.



Encik Biden minggu lalu mengumumkan rancangan untuk menyertai semula perjanjian yang ditinggalkan Encik Trump, yang merupakan sebahagian daripada siri tindakan pemuliharaan alam sekitar, termasuk menghadang projek talian paip minyak TC Energy Keystone XL dari Canada.



China mendahului dunia dan Amerika Syarikat adalah negara kedua dalam pelepasan gas rumah hijau, yang saintis menyatakan ada kaitan dengan perubahan iklim.



Encik Kerry membayangkan bahawa Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan China, tetapi tidak akan berurusan dalam soal-soal lain untuk mencapai kemajuan dalam menangani perubahan iklim.



Encik Biden telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Negara agar menghentikan sementara pajakan persekutuan di tanah awam serta di perairan lepas pantai bagi tujuan minyak dan gas selagi boleh dan menjalankan "semakan teliti" ke atas amalan permit dan pajakan sedia ada. - Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >