Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden: Kebakaran Los Angeles terburuk dalam sejarah California

Jan 10, 2025 | 1:19 PM
Presiden Joe Biden menyatakan sekitar 400 anggota bomba persekutuan serta 30 pesawat pemadam api dan helikopter dikerah bagi membantu memadamkan kebakaran di Los Angeles.
Presiden Joe Biden menyatakan sekitar 400 anggota bomba persekutuan serta 30 pesawat pemadam api dan helikopter dikerah bagi membantu memadamkan kebakaran di Los Angeles. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata kebakaran hutan yang melanda Los Angeles sekarang adalah yang terburuk dalam sejarah California, lantas berikrar menyalurkan dana dan sumber persekutuan tambahan untuk membantu negeri itu.

“Ini adalah kebakaran paling meluas dan dahsyat dalam sejarah California,” kata Presiden Biden semasa beliau mengadakan mesyuarat khas pegawai kanan pentadbiran di Rumah Putih pada 9 Januari.

Menurutnya, penduduk di Los Angeles bak “hidup melalui mimpi ngeri” dan memuji anggota bomba sebagai wira yang telah bertungkus lumus memadamkan api.

Presiden Biden telah membatalkan lawatan ke Rome, Italy, yang dijadualkan pada 9 Januari untuk menyelaraskan tindak balas pemerintah Amerika terhadap kebakaran besar itu yang telah meragut sekurang-kurangnya lima nyawa.

Beliau berkata pemerintah persekutuan akan menampung 100 peratus kos menangani bencana itu buat 180 hari pertama, atas permintaan Gabenor Demokrat California, Encik Gavin Newsom.

Menurutnya, sekitar 400 anggota bomba persekutuan dan 30 pesawat pemadam kebakaran dan helikopter telah dikerah ke Los Angeles, manakala Pentagon akan menghantar lapan pesawat besar dan 500 kakitangan pembersihan kebakaran.

Naib Presiden dan bekas calon presiden Cik Kamala Harris, yang berasal dari California, menyifatkan kebakaran itu sebagai “apokaliptik” – malapetaka maha dahsyat.

Beliau turut menekankan apa yang dikatakannya adalah kes syarikat insurans membatalkan perlindungan untuk keluarga yang kehilangan harta benda dalam kebakaran itu.

Dalam pada itu, Presiden Biden menepis dakwaan bakal presiden Encik Donald Trump bahawa terdapat kekurangan air yang menyebabkan anggota bomba bergelut untuk memadamkan api.

Presiden Biden berkata masalahnya terletak pada gangguan bekalan elektrik – selepas syarikat utiliti memotong bekalan elektrik di tengah-tengah kebimbangan bahawa talian elektrik yang rosak boleh mencetuskan lebih banyak kebakaran.

Gangguan bekalan elektrik menyebabkan pam air untuk memadamkan api terputus dan sekali gus menyukarkan usaha mengawal kebakaran.

Encik Trump, yang akan mula bertugas secara rasmi bagi penggal kedua presiden pada 20 Januari, telah menggunakan isu kebakaran tersebut untuk melancarkan serangan politik ke atas Encik Biden dan Encik Newsom.

Dengan anggaran awal kerosakan dan kerugian ekonomi mencecah lebih AS$50 bilion ($68.4 bilion), bencana itu dianggap sebagai salah satu kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Los Angeles, dan usaha pemulihan dijangka memakan masa yang lama. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg