Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden minta rakyat AS bersatu, redakan suhu politik

Kempen pilihan raya Demokrat batalkan serangan lisan terhadap Trump, beri tumpuan pada masa depan
Jul 15, 2024 | 3:36 PM
Joe Biden
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menekankan peri perlu rakyat Amerika bersatu dan bertenang ekoran percubaan membunuh pesaingnya, Encik Donald Trump. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Dalam ucapan di Pejabat Bundar Rumah Putih pada 14 Julai, Presiden Joe Biden, menekankan peri penting rakyat Amerika Syarikat yang berpecah belah agar bersatu, selepas seorang lelaki cuba membunuh pesaingnya daripada Republikan, Encik Donald Trump, sehari sebelumnya.

“Saya ingin bercakap dengan anda malam ini tentang keperluan kita meredakan suhu dalam politik kita. Politik tidak boleh menjadi medan perang literal, Tuhan melarang medan pembunuhan,” kata beliau.

“Kita semua kini menghadapi masa ujian apabila pilihan raya semakin hampir. Semakin tinggi taruhannya, semakin berkobar-kobar semangat itu.

“Tidak kira betapa kuatnya, keyakinan kita tidak boleh jatuh ke dalam keganasan... Sudah tiba masanya menenangkannya,” ujar Encik Biden, sambil melahirkan rasa syukur kerana Encik Trump tidak cedera parah.

“Di Amerika kita menyelesaikan perbezaan kita di peti undi. Inilah cara kita melakukannya sekarang. Bukan dengan peluru,” ujar beliau dalam ucapan selama tujuh minit dan disiarkan secara langsung oleh rangkaian berita utama.

Beliau memetik contoh keganasan politik Amerika sepanjang beberapa tahun kebelakangan, termasuk serangan 6 Januari 2021 ke atas bangunan Capitol oleh penyokong setia Encik Trump dan kecederaan akibat pukulan tukul besi ke atas Encik Paul Pelosi, suami bekas Speaker Dewan Rakyat, Cik Nancy Pelosi, pada 2022.

Penampilan Encik Biden membolehkan beliau menunjukkan kuasa penyandang jawatan, imej simbolik penting sedang beliau berdepan dengan beberapa anggota Parti Demokratnya sendiri yang mahu pemimpin berusia 81 tahun itu berundur daripada pilihan raya presiden kerana bimbang beliau tidak mempunyai ketajaman mental untuk meneruskan satu lagi penggal empat tahun.

Empat presiden Amerika dibunuh dan beberapa terselamat daripada percubaan bunuh.

Encik Biden dan pasukannya cuba menyesuaikan hala tuju kempennya berikutan penembakan Encik Trump, mantan presiden yang dianggapnya sebagai ancaman kepada demokrasi Amerika sekiranya beliau dipilih pada 5 November.

Kempen itu membatalkan serangan lisan terhadap Encik Trump dan sebaliknya memberi tumpuan pada masa depan.

Serangan itu mengancam akan memecah belah negara menjelang pilihan raya presiden pada November, sedang siasatan dijalankan ke atas kegagalan langkah keselamatan ekoran kes tersebut.

Penyiasat berkata mereka masih menyiasat motif suspek, Thomas Matthew Crooks, 20 tahun, yang ditembak mati oleh penembak tepat pada acara di Butler, Pennsylvania, itu.

Kurang 24 jam selepas menjadi sasaran cubaan bunuh pada satu acara kempen di Butler, Pennsylvania, calon pilihan raya presiden Amerika Encik Trump tiba di Milwaukee, Wisconsin, untuk Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan pada Ahad, 14 Julai.

Pesawat Encik Trump mendarat sehari sebelum acara empat hari itu bermula, disambut ribuan penyokong dalam kalangan ahli Parti Republikan. Encik Trump pada 13 Julai mengesahkan terkena tembakan pada telinga kanannya dan beliau dalam keadaan baik.

Encik Trump berkata di media sosial pada 14 Julai bahawa rakyat Amerika tidak sepatutnya membenarkan “kejahatan menang” dan “lebih penting lagi ialah kita berdiri bersatu”.

Serangan itu mengorbankan seorang penonton dan mencederakan dua yang lain.

Perkhidmatan Rahsia Amerika telah menegaskan agensi itu “bersedia sepenuhnya” untuk menjaga keselamatan pada perhimpunan besar Republikan, dan ia tidak mengubah protokolnya walaupun selepas percubaan membunuh Encik Trump. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg