Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden, PM Jepun ikrar tingkat kerjasama pertahanan dengan kebangkitan China

Apr 11, 2024 | 2:38 PM
Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida (tiga dari kiri) melakukan lawatan negara ke Washington pada 10 April.
Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida (tiga dari kiri) melakukan lawatan negara ke Washington pada 10 April. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden dan Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, mendedahkan peningkatan terbesar dalam hubungan pertahanan kedua-dua negara pada 10 April.

Ia menyusuli lawatan negara Encik Kishida ke Rumah Putih, yang tertumpu kepada usaha menentang kebangkitan China.

Encik Biden memberikan sambutan permaidani merah kepada Encik Kishida dengan jamuan malam yang mewah, ditambah persembahan muzik oleh penyanyi Amerika, Paul Simon.

Dalam masa yang sama, Encik Biden menekankan kepentingan Jepun sebagai sekutu utama Amerika dalam menentang Beijing di rantau Asia-Pasifik.

Kedua-dua pemimpin itu turut bersetuju seorang angkasawan Jepun akan menjadi orang bukan dari Amerika yang pertama akan berjalan di bulan dalam usaha mereka membawa pakatan itu ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini adalah peningkatan paling ketara dalam pakatan kami sejak ia mula-mula ditubuhkan,” kata Encik Biden, 81 tahun, dalam sidang media bersama Encik Kishida, di pekarangan Rumah Putih, Rose Garden.

Kedua-dua pemimpin itu mendedahkan rancangan untuk menyusun semula kehadiran tentera Amerika di Jepun – perubahan terbesar sejak 1960-an.

Langkah itu bertujuan menjadikan tentera Amerika dan Jepun lebih aktif sekiranya berlaku ancaman, seperti pencerobohan China ke atas Taiwan.

Amerika, Jepun dan Australia juga akan melancarkan rangkaian pertahanan udara bersama, manakala Britain akan mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan dengan Washington dan Tokyo.

Seorang pegawai Amerika berkata rangsangan yang lebih meluas dalam hubungan itu juga bertujuan untuk meyakinkan negara sekutu mengenai sokongan jangka panjang Amerika, sekalipun Encik Donald Trump menewaskan Encik Biden dalam Pilihan Raya Presiden Amerika pada November.

Langkah itu diambil sedang ketegangan memuncak mengenai tuntutan Beijing ke atas Taiwan dan kawasan luas Laut China Selatan, walaupun terdapat usaha Washington untuk mengurangkan risiko tercetusnya konflik.

Encik Biden menegaskan peningkatan ketenteraan China bercorak defensif semata-mata dan “tidak ditujukan kepada mana-mana negara.”

Sementara itu, Encik Kishida, semasa sidang media tersebut, menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha ke arah “keamanan dan kestabilan” merentasi Selat Taiwan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg