Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden telah putuskan tindak balas terhadap serangan di Jordan

Jan 31, 2024 | 1:37 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik  Joe Biden, mendengar  taklimat mengenai serangan dron maut di Jordan dalam satu sesi di Rumah Putih.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mendengar taklimat mengenai serangan dron maut di Jordan dalam satu sesi di Rumah Putih. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata beliau telah memutuskan bagaimana negaranya akan bertindak balas terhadap serangan dron yang membunuh tiga tentera Amerika di Jordan pada hujung minggu.

Encik Biden tidak menjelaskan secara terperinci dalam ucapannya di Rumah Putih, tetapi menambah:

“Saya tidak fikir kita memerlukan perang yang lebih luas di Timur Tengah.”

Kumpulan militia yang disokong Iran telah mengaku bertanggungjawab atas serangan di pangkalan tentera Amerika itu.

Berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan pada 28 Januari berhampiran sempadan Syria.

Serangan dron semalaman itu mengakibatkan buat pertama kali tentera Amerika terbunuh akibat tembakan musuh di Timur Tengah sejak perang Israel Gaza meletus pada 7 Oktober.

Ditanya sama ada Iran harus dipersalahkan, Encik Biden berkata:

“Saya memegang mereka [Iran] bertanggungjawab dalam erti kata mereka membekalkan senjata kepada orang yang melakukannya.”

Iran telah menafikan sebarang penglibatan dalam serangan tersebut.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata Amerika mungkin mengambil “pendekatan berperingkat” dalam tindak balasnya.

“Bukan hanya satu tindakan, tetapi mungkin beberapa tindakan,’’ katanya kepada pemberita dalam pesawat Air Force One untuk menemani Encik Biden dalam pengumpulan dana pilihan raya di Florida.

“Prinsip panduan ialah memastikan kami terus melemahkan keupayaan kumpulan ini untuk menentang tentera kami dan kemudahan kami,” tegas beliau.

Presiden mempunyai beberapa pilihan, termasuk serangan balas terhadap pangkalan dan komander sekutu Iran. Amerika juga boleh menyasarkan komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran di Iraq atau Syria.

Penentang Islam di Iraq – yang terdiri daripada beberapa militia yang bersekutu dengan Iran – telah mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg