Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden tolak Israel lakukan genosid di Gaza

May 21, 2024 | 4:18 PM
Serangan udara dan darat Israel telah membunuh lebih 35,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober.
Serangan udara dan darat Israel telah membunuh lebih 35,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, bertegas mempertahankan Israel dengan berkata tentera Israel tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid dalam kempen ketenteraan mereka terhadap Hamas di Gaza.

Beliau menyatakan demikian pada 20 Mei sebagai menolak kritikan daripada penunjuk perasaan pro-Palestin.

“Apa yang berlaku di Gaza bukanlah pembunuhan beramai-ramai. Kami menolaknya,” kata Encik Biden di acara Bulan Warisan Yahudi Amerika di Rumah Putih.

Beliau telah menghadapi bantahan di banyak acaranya di serata negara daripada penyokong pro-Palestin yang telah melabelnya sebagai ‘Genocide Joe’ kerana sokongan teguhnya terhadap Israel.

Dalam ucapan di acara Rumah Putih itu, Encik Biden menegaskan kepercayaannya bahawa Israel adalah mangsa akibat serangan 7 Oktober ke atas selatan Israel oleh Hamas yang membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel telah mengorbankan lebih 35,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, kata Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

Beliau berkata sokongan untuk keselamatan dan keselamatan warga Israel oleh Amerika adalah “kukuh sekeras besi”.

“Kami berdiri bersama Israel untuk mengeluarkan (pemimpin Hamas, Yahya) Sinwar dan seluruh pejuang Hamas. Kami mahu Hamas dikalahkan. Kami bekerjasama dengan Israel untuk memastikan ia menjadi kenyataan,” kata Encik Biden lagi.

Rundingan gencatan senjata telah terhenti antara Israel dengan Hamas dalam usaha mendapatkan kebebasan tebusan yang sakit, warga emas dan cedera yang masih ditahan oleh Hamas.

Namun, Encik Biden berikrar bahawa beliau tetap tidak akan berputus asa untuk mendapatkan pembebasan mereka.

Beliau juga telah menggesa gencatan senjata segera di Gaza, sesuatu yang beliau ulangi dalam ucapan permulaannya di Maktab Morehouse pada 19 Mei.

Encik Biden juga menolak tindakan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan ketua pertahanannya atas dakwaan jenayah perang.

Pendakwa raya ICC pada 20 Mei juga berkata beliau meminta waran tangkap terhadap ketua Hamas, Encik Yahya, dan dua lagi pemimpin kanan Hamas. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg