Topik diikuti
Pergi ke BHkuBiden, Xi bakal semuka buat pertama kali di Bali jelang G20
Biden, Xi bakal semuka buat pertama kali di Bali jelang G20
Biden, Xi bakal semuka buat pertama kali di Bali jelang G20
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden dan Presiden China, Encik Xi Jinping, akan mengadakan pertemuan secara bersemuka buat pertama kalinya pada Isnin depan di Bali, menjelang sidang puncak Kumpulan 20 (G20).
Kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan pengurusan isu-isu negara masing-masing dari segi persaingan termasuk juga soal Taiwan dan perdagangan, menurut Rumah Putih, semalam.
Seorang pegawai kanan pentadbiran, yang tidak mahu disebutkan namanya berkata, perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu akan lebih mendalami soal-soal keutamaan dan keinginan negara masing-masing.
"Presiden (Amerika Syarikat) percaya adalah penting untuk menyiapkan wadah bagi suatu perhubungan dan memastikan bahawa ada peraturan perjalanan yang perlu dipatuhi dalam persaingan kami," kata pegawai wanita itu.
"Ia juga adalah untuk memastikan bahawa kita bekerja bersama-sama dalam hal-hal kepentingan yang sealiran, terutama mengenai cabaran-cabaran silang negara yang menjejas masyarakat antarabangsa.
"Pertemuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan, dan Presiden (Biden) yakin tiada yang lebih baik daripada bersemuka untuk mengadakan perbincangan," ujarnya.
Pegawai itu juga menekankan peri pentingnya mengekalkan saluran komunikasi secara terbuka.
Encik Biden dan Encik Xi belum bertemu muka sejak Presiden Amerika itu memegang jawatan pada Januari 2020, walaupun mereka pernah mengadakan perbualan melalui telefon dan video sebanyak lima kali sebelum ini.
Kali terakhir adalah pada Julai lalu.
Encik Xi pula tidak berkunjung ke luar negara sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Pegawai Amerika itu berkata bahawa Encik Biden akan berterus terang tentang keprihatinan Amerika, termasuk soal kegiatan China yang mengancam keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan, serta isu lama tentang pelanggaran hak asasi manusia oleh Beijing dan amalan ekonomi yang berbahaya.
China menyifatkan Taiwan - satu daripada isu paling runcing dalam hubungan Amerika-China - sebagai sebuah wilayah pengkhianat yang mahu diambil semula sekalipun secara kekerasan sekiranya perlu.
Amerika didakwa telah menggugat pendirian China itu.
Washington telah membidas Beijing menjalankan kegiatan ketenteraan provokatif seperti latihan-latihan tentera dan penerbangan berhampiran pulau tersebut.
Dalam satu sidang akhbar pada Rabu lalu, Encik Biden telah berkata beliau mahu "melakarkan apa yang tidak boleh dilakukan oleh masing-masing pihak".
Encik Biden berkata beliau mahu kedua-dua negara saling memahami kedudukan masing-masing mengenai kepentingan kritikal masing-masing negara dan menentukan bagaimana konflik kepentingan antara kedua-dua negara harus dihuraikan.
Ketika ditanya sama ada Amerika akan menggunakan kaedah ketenteraan bagi melindungi Taiwan, Encik Biden menjawab, beliau "tidak ingin memberikan sebarang kelonggaran" dan dasar Amerika terhadap Taiwan tidak berubah.
Pegawai Amerika itu berkata bahawa Encik Biden akan juga menyarankan cara untuk memajukan lagi kerjasama dan membincangkan isu-isu termasuk tentang pencerobohan Russia ke atas Ukraine, serta kegiatan terbaru Korea Utara melancarkan peluru-peluru berpandunya.
Encik Biden memulakan lawatan selama seminggu ke luar negara, mulai semalam ke Mesir dan Asia.
Beliau akan menghadiri sidang kemuncak perubahan iklim COP27 di Sharm El-Sheikh, Mesir, kemudian menyertai sidang puncak AS-Asean dan Asia Timur di Phnom Penh, Kemboja, dan sidang puncak G20 di Bali, Indonesia pada minggu depan. - ST
"Presiden (Amerika Syarikat) percaya adalah penting untuk menyiapkan wadah bagi suatu perhubungan dan memastikan bahawa ada peraturan perjalanan yang perlu dipatuhi dalam persaingan kami. Ia juga adalah untuk memastikan bahawa kita bekerja bersama-sama dalam hal-hal kepentingan yang sealiran, terutama mengenai cabaran-cabaran silang negara yang menjejas masyarakat antarabangsa. Pertemuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan, dan Presiden (Biden) yakin tiada yang lebih baik daripada bersemuka untuk mengadakan perbincangan." - Pegawai kanan pentadbiran Rumah Putih.
