Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bincang isu Gaza Trump ‘hanya mesyuarat dasar’

Aug 28, 2025 | 1:49 PM
Pegawai Rumah Putih menyifatkan sesi perbincangan itu hanyalah mesyuarat mengenai dasar di Gaza semata-mata.
Pegawai Rumah Putih menyifatkan sesi perbincangan itu hanyalah mesyuarat mengenai dasar di Gaza semata-mata. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mempengerusikan mesyuarat dasar mengenai perang Gaza pada 27 Ogos dengan mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, dan mantan Utusan Amerika di Timur Tengah, Encik Jared Kushner.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih menyatakan bahawa Encik Trump, Encik Blair dan Encik Kushner, membincangkan semua aspek isu Gaza, termasuk peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan, krisis tebusan, rancangan selepas perang dan banyak isu lain.

Pegawai itu menyifatkan sesi tersebut sebagai “hanya mesyuarat dasar,” seperti yang kerap Encik Trump adakan dengan pasukannya.

Encik Kushner, yang mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan Encik Trump, Cik Ivanka, adalah penasihat utama Rumah Putih dalam penggal pertama Encik Trump mengenai Timur Tengah.

Encik Blair, yang menjadi perdana menteri semasa perang Iraq pada 2003, juga aktif dalam perihal Timur Tengah.

Utusan Khas Amerika, Encik Steve Witkoff, berkata: “Ia adalah rancangan amat menyeluruh yang kami susun pada hari berikutnya di Gaza dan ramai orang akan melihat betapa kukuh motif kemanusiaan Presiden Trump.”

Encik Trump telah menjanjikan penamatan segera perang di Gaza semasa kempen presiden 2024, tetapi matlamatnya sukar dicapai meskipun setelah tujuh bulan memasuki penggal keduanya.

Penggal Encik Trump itu bermula dengan gencatan senjata yang berlangsung selama dua bulan, selepas serangan Israel membunuh kira-kira 400 rakyat Palestin pada 18 Mac.

Baru-baru ini, imej rakyat Palestin yang kebuluran di Gaza, termasuk kanak-kanak, telah mengejutkan dunia dan menimbulkan kritikan terhadap Israel berhubung keadaan yang semakin memburuk di wilayah tersebut.

Encik Trump mencadangkan pada Februari lalu agar Amerika mengambil alih Gaza dan penduduk Palestin dipindahkan dari wilayah perairan itu.

Pelan itu dikutuk di peringkat sejagat dan dilabel sebagai langkah “pembersihan etnik” oleh pakar hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pemindahan secara paksa adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Cadangan beliau secara terbuka itu bertujuan membangunkan Gaza sebagai pusat peranginan Timur Tengah.

The Financial Times, melaporkan pada Julai bahawa Institut Tony Blair mengambil bahagian dalam projek untuk membangunkan rancangan pascaperang di Gaza.

Badan pemikir itu berkata ia “telah mengadakan banyak perbincangan dengan kumpulan berlainan mengenai pembinaan semula Gaza selepas perang, tetapi tiada yang memasukkan idea pemindahan paksa penduduk Gaza.”

Beberapa sekutu Amerika dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah mengumumkan rancangan mengiktiraf negara Palestin. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg