WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggesa agar konflik Israel dengan Hamas dihentikan segera, meskipun beliau terus menyokong Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan enggan menyebut namanya supaya menghentikan peningkatan serangan tenteranya di Jaluran Gaza.
“Sekarang ini mereka bercakap tentang Bandar Gaza – sentiasa ada bercakap tentang sesuatu,” kata Encik Trump dalam mesyuarat di Pejabat Oval dengan Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung.
“Pada satu ketika ia akan diselesaikan, dan saya katakan lebih baik anda menyelesaikannya segera. Ia perlu kerana masalah kelaparan, kematian dan pembunuhan begitu buruk sekali,” ujar Encik Trump.
Menurutnya, terdapat “desakan diplomatik yang sangat serius” untuk menamatkan perang.
Encik Trump merujuk kepada rancangan Encik Netanyahu untuk melanjutkan serangan darat ke Bandar Gaza selepas mengepung kawasan itu kerana mengesyaki tebusan dipercayai ditahan di sana.
Beliau tidak menyatakan apa yang akan Amerika lakukan jika kempen ketenteraan Israel itu berlarutan.
“Saya fikir dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang anda akan menyaksikan pengakhiran yang cukup baik, konklusif, pengakhiran yang muktamad,” tegas Encik Trump.
Israel telah mempergiatkan operasinya di Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan yang terbaru pada awal 25 Ogos melibatkan serangan ke atas Hospital Nasser di selatan wilayah Palestin.
Serangan itu mengorbankan 20 orang, termasuk lima wartawan, penyelamat, pegawai perubatan dan pesakit, kata kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas dalam satu kenyataan.
Lima wartawan yang maut itu bekerja untuk Reuters, Associated Press (AP), Al Jazeera dan lain-lain.
Jurukamera Encik Hussam al-Masri, yang bekerja secara kontrak dengan Reuters, terbunuh berhampiran tempat beliau melakukan penyiaran langsung di tingkat atas tepat di bawah bumbung hospital di Khan Younis, menurut pegawai kesihatan Palestin.
Pegawai di hospital dan saksi berkata Israel kemudian menyerang tapak itu untuk kali kedua, membunuh wartawan lain, serta pekerja penyelamat dan pegawai perubatan yang bergegas ke tempat kejadian untuk membantu.
Wartawan yang terbunuh termasuk Cik Mariam Abu Dagga, yang bekerja secara bebas untuk AP dan saluran lain; Encik Mohammed Salama, kakitangan stesen penyiar Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar; Encik Moaz Abu Taha, seorang wartawan bebas yang bekerja dengan beberapa organisasi berita termasuk menyumbang kepada Reuters, dan Encik Ahmed Abu Aziz.
Jurugambar Hatem Khaled, juga bekerja secara kontrak dengan Reuters, mengalami kecederaan.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengakui telah menyerang kawasan sekitar Hospital Nasser dan berkata ketua kakitangan am telah mengarahkan siasatan dijalankan.
“IDF menyesali sebarang bahaya kepada individu yang tidak terlibat dan tidak menyasarkan wartawan sama sekali.
“IDF bertindak untuk mengurangkan kemudaratan kepada individu yang tidak terlibat sebanyak mungkin sambil mengekalkan keselamatan tentera IDF,” katanya.
Dalam satu kenyataan jurucakap Reuters berkata: “Kami sangat sedih apabila mengetahui bahawa jurukamera Encik Hussam al-Masri, seorang kakitangan kontrak Reuters, terbunuh pagi ini dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis di Gaza.
“Encik Moaz Abu Taha, seorang wartawan bebas yang kerjanya kadangkala diterbitkan oleh Reuters, juga terbunuh, dan jurugambar Hatem Khaled, seorang kakitangan kontrak Reuters pula cedera.”
AP berkata ia “terkejut dan sedih” apabila mengetahui Cik Mariam dan wartawan lain terbunuh, sambil menambah bahawa beliau sering menempatkan dirinya di hospital untuk membuat laporan, termasuk cerita mengenai kanak-kanak yang kelaparan dan kekurangan zat makanan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg