NEW YORK: Kemunculan Encik Zohran Mamdani sebagai calon utama dalam pemilihan Datuk Bandar New York telah membuka ruang perdebatan baru tentang hala tuju Parti Demokrat yang kini semakin terhimpit.
Walaupun beliau tidak boleh mencalonkan diri sebagai Presiden Amerika Syarikat kerana tidak dilahirkan di negara itu, kejayaannya di pentas politik New York memberikan gambaran bahawa ada sesuatu yang sedang berubah dalam landskap politik Demokrat – satu perubahan yang lahir daripada keresahan pengundi terhadap isu kos sara hidup dan kelesuan kepimpinan nasional.
Parti Demokrat kini berada dalam situasi paling sukar dalam tempoh tiga dekad. Mereka kehilangan kuasa di Rumah Putih dan kedua-dua dewan Kongres. Reputasi parti merudum, malah majoriti pengundi memandang mereka secara negatif.
Gambaran ini bukan sekadar masalah komunikasi politik, tetapi menandakan hilangnya hubungan antara Demokrat dengan teras sokongan tradisional mereka seperti kelas pekerja dan generasi muda yang merasa dibebani oleh kehidupan yang semakin sukar.
Dalam keadaan ini, sosok seperti Encik Mamdani menjadi simbol jalan alternatif: seorang pemimpin progresif yang tidak takut menyentuh isu sebenar rakyat marhaen.
Encik Mamdani yang berusia 34 tahun dan menggelarkan dirinya sebagai sosialis demokratik telah membina platform politik yang tegas berpihak kepada warga biasa New York, khususnya yang bergelut untuk terus tinggal di kota yang semakin mahal.
Antara fokus beliau termasuklah pembekuan kenaikan kadar sewa, perkhidmatan bas percuma dan penjagaan kanak-kanak yang ditanggung kerajaan. Strategi Encik Mamdani memperlihatkan pemahaman mendalam terhadap keutamaan rakyat yang mendahulukan kemampuan hidup daripada retorik politik.
Seperti ditegaskan seorang profesor sains politik dari Universiti New York, Dr John Kane, Parti Demokrat perlu kembali mendekati “orang muda dan mereka yang berpendapatan rendah”. Encik Mamdani dilihat sebagai contoh bagaimana pendekatan itu boleh diterjemahkan dalam gerakan politik.
Encik Mamdani juga mewakili penentangan paling jelas terhadap Presiden Donald Trump. Retorik anti-Trump beliau menjadi saluran kemarahan ramai penyokong Demokrat yang merasakan kuasa mereka semakin hilang.
Dr Kane menyifatkan bahawa pendirian tegas Encik Mamdani ini memberikan “daya simbolik” kepada penyokong parti yang kini “berasa hampir tidak berdaya sepenuhnya”.
Dengan kedudukan beliau yang mendahului lawannya lebih daripada 10 mata dalam pemilihan, termasuk mengatasi figura Demokrat berpengaruh seperti Encik Andrew Cuomo, jelas bahawa pendekatan beliau mendapat tempat dalam kalangan penduduk New York.
Namun, di sebalik harapan yang terpancar di New York, timbul persoalan besar: adakah kejayaan Mamdani boleh diterjemahkan dalam konteks nasional Amerika?
New York adalah sebuah kota multietnik, liberal dan sejarahnya kukuh bersama Parti Demokrat.
Ia tidak mencerminkan sepenuhnya realiti pengundian di negeri konservatif atau kawasan luar bandar yang sering menentukan keputusan pilihan raya presiden.
Dr Daniel Schlozman, profesor sains politik di Universiti Johns Hopkins mengingatkan bahawa kejayaan Encik Mamdani di New York adalah sesuatu yang “sangat berbeza daripada kejayaan Demokrat secara keseluruhan untuk memenangi kuasa yang mereka perlukan”.
Identiti peribadi Mamdani juga menjadi faktor yang menimbulkan tanda tanya. Dilahirkan dalam keluarga Muslim keturunan India di Uganda sebelum berhijrah ke Amerika dan menjadi warganegara pada tahun 2018 – latar tersebut mungkin digunakan oleh pihak lawan untuk merendahkan kebolehannya menawan pengundi konservatif.
Kenyataan beliau sebelum ini yang menyifatkan pihak polis sebagai “rasis” boleh dijadikan senjata politik dalam kempen nasional. Dr Kane menilai keadaan itu dengan berkata bahawa asal-usul dan kenyataan tersebut mungkin “gagal memenangi sebahagian pengundi di luar bandar”.
Dalam masa yang sama, Republikan sudah pun memanfaatkan kehadiran Encik Mamdani sebagai sasaran propaganda. Encik Trump secara sinis melabel beliau sebagai “komunis kecil” yang menurutnya terlalu ghairah membelanjakan wang pembayar cukai.
Serangan seperti ini bukan sahaja bertujuan menggambarkan Demokrat sebagai golongan ekstrem kiri, tetapi juga untuk menakutkan pengundi pertengahan yang masih tidak pasti dengan arah politik mereka.
Tambahan pula, pemimpin Demokrat arus perdana masih berhati-hati untuk menyokong Encik Mamdani. Sehingga kini, tokoh utama parti seperti Encik Chuck Schumer belum mempamerkan sokongan terbuka.
Menurut Dr Kane, ramai dalam parti melihat Mamdani sebagai “mesej yang betul, tetapi pembawa mesej yang salah”. Dilema ini mendedahkan keretakan dalaman antara golongan progresif dengan moderat dalam Parti Demokrat, di mana keberanian politik sering bertembung dengan pragmatisme pilihan raya.
Selain agenda ekonomi, isu yang paling mencetuskan kontroversi dalam kerjaya politik Encik Mamdani ialah pendiriannya mengenai Palestin.
Semasa di kampus universiti, beliau memimpin kumpulan solidariti Palestin dan menolak kerjasama dengan mana-mana kumpulan pro-Israel berdasarkan prinsip “antinormalisasi” iaitu pendirian bahawa sebarang bentuk kerjasama atau dialog dengan pihak yang menyokong Israel boleh dianggap sebagai tindakan yang secara tidak langsung mengiktiraf serta memutihkan penindasan dan pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin.
Kini, beliau terus konsisten mempertahankan prinsip tersebut dengan menuduh Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai”, berjanji untuk “menangkap pemimpin Israel”, serta menolak sokongan kepada sebuah negara yang menurutnya memberikan hak lebih rendah kepada rakyat Palestin.
Kementerian Luar Israel membalas keras, menuduh beliau sebagai “jurucakap propaganda Hamas”, meskipun beliau tetap mengecam tindakan ganas kumpulan itu. Yang menarik, lebih lama perang Gaza berlarutan, semakin ramai warga New York yang menghayati pendirian Encik Mamdani, membuktikan peralihan ‘mood’ politik dalam masyarakat.
Walaupun begitu, ternyata isu Palestin menjadi garis pemisah yang tidak mudah dirundingkan oleh Encik Mamdani. Ketika beliau berusaha menunjukkan dirinya mampu berkompromi dalam banyak urusan pentadbiran bandar, hakikat bahawa beliau tidak berganjak langsung daripada pendirian ini menandakan bahawa ideologi terasnya tidak mudah diperdagangkan demi politik.
Namun Encik Mamdani bukanlah penyelamat mutlak Parti Demokrat, tetapi beliau membuktikan satu perkara penting: bahawa masih wujud tenaga politik progresif yang menuntut pembaharuan radikal terhadap parti itu.
Encik Mamdani menjadi simbol kebangkitan suara kelas pekerja dan generasi muda yang tidak lagi mahu politik status quo yang gagal memahami kesempitan hidup mereka. Namun, perjuangan beliau di New York tidak boleh ditafsir sebagai formula kemenangan nasional.
Transformasi Parti Demokrat menuntut kebijaksanaan menyesuaikan inspirasi Encik Mamdani dengan realiti demografi dan budaya politik seluruh negara.
Jika parti itu mampu mempelajari sesuatu daripada fenomena Mamdani, maka mesejnya jelas: untuk memastikan masa depan yang relevan, Parti Demokrat perlu kembali ke akar perjuangan membela nasib rakyat biasa.
Encik Mamdani hanyalah satu bab permulaan dalam pertarungan panjang untuk mengembalikan parti itu kepada harapan dan impian rakyat Amerika. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg