DOHA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, mengunjungi Timur Tengah dengan harapan untuk segera memuktamadkan gencatan senjata di Gaza.
Namun, beliau meninggalkan wilayah itu pada 20 Ogos dengan perjanjian antara Israel dengan Hamas tampak masih sukar dicapai.
Encik Blinken dan perantara dari Mesir dan Qatar telah meletakkan harapan mereka pada “cadangan merapatkan” jurang antara kedua-dua pihak dalam perang yang sudah mencecah 10 bulan, tetapi rundingan sejauh ini belum membawa sebarang kejayaan.
“Perjanjian itu perlu diselesaikan pada hari-hari mendatang dan kami akan melakukan segala yang mungkin untuk melepasi garisan penamat,” kata Encik Blinken kepada pemberita di Doha sebelum berlepas ke Washington.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Biden yang menyertai lawatan tersebut berkata bahawa Amerika menjangkakan rundingan gencatan senjata akan diteruskan.
Encik Blinken berkunjung ke Mesir untuk perbincangan pada 20 Ogos dengan Presiden Mesir, Encik Abdel-Fattah El-Sisi dan kemudian ke Qatar.
Selepas bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 19 Ogos, Encik Blinken berkata Israel telah menerima cadangan tersebut dan menggesa Hamas agar melakukan perkara yang sama.
Kumpulan Palestin itu tidak menolaknya secara jelas tetapi menyatakan ia telah membatalkan syarat yang dipersetujui sebelum ini.
Beliau ditanya tentang syarat pengunduran tentera Israel dalam rangka kerja gencatan senjata dan mengenai laporan yang memetik Encik Netanyahu sebagai berkata beliau mungkin telah meyakinkan Encik Blinken bahawa Israel harus mengekalkan tentera di Koridor Philadelphi antara Mesir dengan Gaza.
Mengulas mengenainya, Encik Blinken berkata:
“Amerika tidak menerima sebarang pendudukan jangka panjang Israel di Gaza.
“Secara lebih khusus, perjanjian itu sangat jelas mengenai jadual dan lokasi (Pasukan Pertahanan Israel) berundur dari Gaza, dan Israel mempersetujuinya. Jadi itu yang saya tahu. Itulah yang sangat jelas kepada saya.”
Kedua-dua Hamas dan Mesir menentang rancangan Israel mengekalkan tentera di Koridor Philadelphi tetapi Encik Netanyahu menegaskan langkah itu perlu bagi menghentikan penyeludupan senjata ke Gaza
Sumber keselamatan Mesir berkata Amerika telah mencadangkan kehadiran pasukan antarabangsa di kawasan Koridor Philadelphi, satu cadangan yang menurut sumber itu, boleh diterima oleh Kahirah jika ia terhad pada maksimum enam bulan.
“Gencatan senjata di Gaza mesti menjadi permulaan pengiktirafan antarabangsa yang lebih luas terhadap negara Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara, kerana ini adalah penjamin asas kestabilan di rantau ini,” kata Encik Sisi selepas bertemu Encik Blinken.
Berbulan-bulan rundingan berkisar pada isu yang sama, dengan Israel berkata perang hanya boleh berakhir dengan kemusnahan Hamas sebagai kuasa tentera dan politik di Gaza dan Hamas berkata ia hanya akan menerima gencatan senjata yang kekal, bukan sementara. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg