TEL AVIV: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata pada 19 Ogos bahawa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah menerima cadangan Washington untuk menangani perselisihan faham yang menyekat perjanjian gencatan senjata di Gaza, dan menggesa Hamas untuk melakukan perkara yang sama.
Encik Blinken bercakap kepada wartawan selepas pertemuan selama dua setengah jam dengan Encik Netanyahu.
Diplomat tertinggi Amerika itu sebelum ini telah berkata bahawa peluang ini mungkin merupakan yang terbaik dan mungkin terakhir untuk mencapai perjanjian.
Rundingan di Qatar untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian pemulangan tebusan minggu lalu terhenti tanpa kejayaan, tetapi dijangka diteruskan minggu ini berdasarkan cadangan Amerika untuk merapatkan jurang antara Israel dengan Hamas.
Lawatan Encik Blinken dilakukan ketika Presiden Amerika, Encik Joe Biden, menghadapi tekanan pilihan raya yang semakin meningkat berhubung pendiriannya terhadap konflik di Gaza, dengan parti Demokratnya memulakan konvensyen nasional pada 19 Ogos di tengah-tengah protes pro-Palestin dan kebimbangan mengenai undi Muslim dan Arab Amerika kelak.
Encik Blinken berkata: “Dalam pertemuan yang sangat membina dengan Encik Netanyahu hari ini, beliau mengesahkan kepada saya bahawa Israel menerima cadangan merapatkan jurang dan bahawa beliau menyokongnya.
“Ia kini menjadi tanggungjawab Hamas untuk melakukan perkara yang sama, dan kemudian pihak perantara – Amerika, Mesir dan Qatar – perlu bersama-sama dan menyelesaikan proses untuk mencapai persetujuan yang jelas tentang bagaimana mereka akan melaksanakan komitmen di bawah perjanjian ini.”
Meskipun Amerika optimis dan pejabat Encik Netanyahu menyifatkan pertemuan itu sebagai positif, kedua-dua Israel dan Hamas telah memberi isyarat bahawa sebarang perjanjian sukar untuk dicapai.
Berbulan-bulan rundingan menghadapi masalah kerana Israel berkata perang yang memasuki bulan ke-10 itu hanya akan berakhir dengan kemusnahan Hamas sebagai kuasa tentera dan politik. Hamas pula bertegas ia hanya akan menerima gencatan senjata yang berkekalan, bukan sementara.
Terdapat perselisihan pendapat mengenai kehadiran tentera Israel yang berterusan di Gaza, terutamanya di sepanjang sempadan dengan Mesir, pergerakan bebas rakyat Palestin di dalam wilayah itu, dan identiti serta bilangan tebusan Israel dan tahanan Palestin di Israel dalam perjanjian pertukaran kelak.
Dalam pada itu, sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam pada 19 Ogos mengaku bertanggungjawab ke atas letupan bom berhampiran rumah ibadat di Tel Aviv, yang disifatkan polis Israel dan agensi perisikan Shin Bet sebagai serangan pengganas.
Seorang lelaki yang membawa bom itu terbunuh dan seorang pejalan kaki cedera dalam kejadian pada lewat 18 Ogos.
Jurucakap pemerintah Israel, Encik David Mencer, berkata lelaki itu membawa beg galas yang sarat dengan bahan letupan yang meletup sebelum dia sampai ke kawasan yang lebih padat penduduk. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg