Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blinken, PM Qatar beri amaran jangan rosakkan rundingan gencatan senjata Gaza

Aug 15, 2024 | 7:55 PM
Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, menyatakan bahawa “tiada pihak di rantau ini yang patut mengambil tindakan yang akan menjejas usaha mencapai perjanjian”.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, menyatakan bahawa “tiada pihak di rantau ini yang patut mengambil tindakan yang akan menjejas usaha mencapai perjanjian”. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, pada 14 Ogos memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menjejas rundingan gencatan senjata Gaza yang akan dimulakan di negara Teluk itu.

Dalam amaran tersirat kepada Iran, Hamas dan Israel, Encik Blinken dan Syeikh Al-Thani menegaskan bahawa “tiada pihak di rantau ini yang patut mengambil tindakan yang akan menjejas usaha mencapai perjanjian”, kata kenyataan Jabatan Negara Amerika.

Kedua-dua pemimpin, yang bercakap menerusi panggilan telefon, turut membincangkan “usaha meredakan ketegangan di rantau itu, dan kepentingan memuktamadkan gencatan senjata di Gaza”, tambahnya.

Qatar bersedia menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata Gaza pada 15 Ogos, untuk mencari persetujuan yang sukar dicapai.

Amerika berharap rundingan itu dapat mengelakkan serangan Iran ke atas Israel, seterusnya menghindari peperangan yang lebih luas.

Pengantara Amerika, Qatar dan Mesir telah menjemput Israel dan kumpulan militan Palestin, Hamas, untuk menyertai rundingan yang bertujuan menamatkan pertempuran yang, menurut Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza kendalian Hamas, telah membunuh hampir 40,000 orang di wilayah Palestin.

Rundingan itu akan diadakan di ibu negara Qatar, Doha, kata sumber yang rapat dengan Hamas dan sumber kedua yang rapat dengan rundingan itu, pada 14 Ogos.

Menurut sumber Amerika yang biasa dengan mesyuarat Doha, pengarah Agensi Risik Pusat, Encik William Burns, dijadualkan mengambil bahagian.

Israel telah mengesahkan bahawa ia akan hadir, walaupun masih tidak jelas sama ada Hamas, yang serangannya ke atas Israel pada 7 Oktober telah mencetuskan perang tersebut, akan mengambil bahagian.

Encik Blinken, diplomat tertinggi Amerika, juga bercakap pada 14 Ogos dengan rakan sejawatannya dari Mesir.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, beliau juga telah berunding dengan Jordan, Arab Saudi dan Turkey, di samping Israel.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, minggu lalu menyertai pemimpin Mesir dan Qatar secara terbuka menggesa rundingan dimulakan pada 15 Ogos untuk menghentikan konflik selama 10 bulan itu.

Inisiatif itu dibuat selepas Encik Biden kecewa dengan apa yang dipercayai serangan Israel di Iran yang telah membunuh pemimpin politik Hamas, yang telah terlibat dalam rundingan gencatan senjata.

Sejak itu, Amerika telah menggesa Iran supaya tidak melakukan serangan balas ke atas Israel.

Usaha pengantaraan telah berulang kali terhenti sejak gencatan senjata selama seminggu pada November 2023 – satu-satunya jeda setakat ini dalam perang tersebut – apabila berpuluh-puluh tebusan dibebaskan oleh militan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg