TEL AVIV: Pegawai Amerika Syarikat berkata mereka secara peribadi telah menyarankan beberapa langkah kepada Israel untuk mengurangkan bahaya kepada orang awam dalam kempen tenteranya di Jaluran Gaza.
Saranan tersebut termasuk menggunakan bom lebih kecil apabila menyasarkan pemimpin dan prasarana Hamas.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata pada Jumaat semasa lawatan ke Israel bahawa beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengenai “langkah konkrit” yang Amerika percaya boleh dan harus diambil Israel untuk mengurangkan kematian orang awam.
Beliau mengulangi mesej tersebut pada Sabtu di Jordan selepas bertemu para pemimpin Arab yang menuntut gencatan senjata segera.
Encik Blinken berkata Israel boleh melaksanakan cadangan Amerika itu “dan pada masa sama masih mencapai matlamatnya untuk mencari dan mengalahkan pengganas Hamas”.
Dalam ucapannya itu, beliau tidak menyatakan apa yang dimaksudkan dengan “langkah konkrit”.
Bagaimanapun, beberapa pegawai Amerika yang tidak mahu dinamakan berkata mereka telah menasihati Israel supaya mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam operasinya.
Pegawai Amerika itu memberitahu Israel bahawa ia boleh mengurangkan kematian dan kecederaan orang awam jika ia memperbaiki cara ia menyasarkan pemimpin Hamas, di samping mengumpul lebih banyak perisikan mengenai rangkaian perintah dan kawalan Hamas sebelum melancarkan serangan.
Para pegawai itu turut menyarankan agar Israel menggunakan bom lebih kecil untuk meruntuhkan rangkaian terowong bawah tanah di Gaza, dan menggunakan tentera darat untuk memisahkan kawasan orang awam daripada kawasan tumpuan kumpulan Hamas.
Amerika berkata tindak balas keras Israel terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober, yang membunuh 1,400 orang di Israel, menunjukkan ia mementingkan (dasar) pencegahan daripada serangan musuh di rantau itu.
Krisis kemanusiaan di Gaza, kawasan yang dikuasai Hamas, di mana kementerian kesihatannya berkata lebih 9,400 orang terbunuh setakat ini, telah mencetuskan kemarahan di seluruh dunia, dan menyebabkan pentadbiran Biden lebih lantang menyuarakan bahawa Israel perlu berusaha lebih untuk melindungi orang awam.
Encik Blinken menggesa Israel supaya bersetuju dengan beberapa siri gencatan pertempuran sementara untuk memudahkan aliran bantuan kemanusiaan bagi penduduk Gaza dan membolehkan warga asing keluar dari Gaza.
Bagaimanapun, Encik Netanyahu menolak idea itu dan berkata sebarang gencatan sementara hanya boleh berlaku jika semua tebusan Israel dibebaskan.
Dalam dua minggu pertama konflik itu, kira-kira 90 peratus daripada bahan letupan yang dijatuhkan Israel di Gaza ialah bom yang dipandu satelit seberat 1,000 (453.5 kilogram) hingga 2,000 paun, menurut seorang pegawai kanan tentera Amerika. Selebihnya ialah bom lebih kecil seberat 250 paun.
Pegawai tentera Amerika berkata bom lebih kecil lebih sesuai untuk persekitaran bandar padat di Gaza.
Namun, Israel selama bertahun-tahun telah mengumpul stok bom lebih besar, yang kebanyakannya bertujuan disasarkan pada kedudukan tentera Hezbollah di Lebanon.
Amerika kini cuba menghantar lebih banyak bom lebih kecil ke Israel, kata seorang pegawai kanan tentera Amerika.
Jika ia dapat dilakukan, pegawai Amerika berharap Israel akan menggunakannya untuk mengurangkan bahaya kepada orang awam. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg