Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dakwa kini kepung Hamas di Bandar Gaza

Nov 3, 2023 | 1:53 PM
DIKEPUNG ISRAEL: Asap tebal menerawang ke angkasa tatkala Israel melancarkan serangan bom ke atas Bandar Gaza pada Khamis.
DIKEPUNG ISRAEL: Asap tebal menerawang ke angkasa tatkala Israel melancarkan serangan bom ke atas Bandar Gaza pada Khamis. - Foto AFP

GAZA: Tentera Israel pada Khamis mengepung Bandar Gaza – bandar utama Jaluran Gaza – dalam serangan mereka yang disasarkan ke atas Hamas, tetapi kumpulan Palestin itu menentang serangan mereka menerusi terowong bawah tanah.

Bandar di utara Jaluran Gaza itu telah menjadi tumpuan serangan Israel, yang telah berikrar untuk memusnahkan struktur pentadbiran kumpulan Hamas dan telah menggesa orang awam berpindah ke selatan.

“Kami berada di puncak pertempuran. Kami telah mencapai kejayaan yang mengagumkan dan telah melepasi pinggir Bandar Gaza... kami sedang maju,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan. Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Di tengah-tengah letupan besar di Gaza, jurucakap tentera Israel, Laksamana Daniel Hagari, memberitahu pemberita bahawa “tentera negaranya telah menyelesaikan pengepungan Kota Gaza yang merupakan pusat tumpuan organisasi militan Hamas.”

Brigedier Jeneral Iddo Mizrahi, ketua jurutera tentera Israel, berkata tentera Israel sedang menghadapi periuk api dan perangkap samar.

“Hamas telah belajar dan mempersiapkan diri dengan baik,” katanya.

Encik Abu Ubaida, jurucakap sayap bersenjata Hamas, berkata dalam ucapan televisyen pada Khamis bahawa jumlah kematian Israel di Gaza jauh lebih tinggi daripada yang diumumkan tentera.

“Askar anda akan kembali dengan beg hitam,” katanya.

Israel berkata ia telah kehilangan 18 askar dan membunuh berpuluh-puluh militan sejak operasi darat diperluaskan pada Jumaat.

Para militan Hamas melakukan serangan hendap dan dilihat muncul daripada terowong untuk menembak kereta kebal, kemudian menghilang kembali ke dalam rangkaian terowong itu, kata penduduk.

Dalam satu video tentera Hamas, seorang militan muncul di padang Gaza dan meletakkan bahan letupan pada kereta kebal. Satu letupan boleh didengari apabila militan itu, yang kelihatan memakai kamera badan untuk mendokumentasikan kejadian itu, berlari kembali ke terowong dan menembak peluru berpandu anti-kereta kebal ke arah kereta kebal Israel.

Sedang pertempuran memuncak di medan perang, orang awam Palestin terus mengalami kekurangan makanan, bahan api, air minuman dan ubat-ubatan.

“Air digunakan sebagai senjata perang,” kata Cik Juliette Touma, jurucakap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu pelarian Palestin (UNRWA).

Rumah Putih pada Khamis berkata ia sedang meneroka gencatan senjata kemanusiaan untuk membantu orang ramai keluar dari Gaza dengan selamat dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk, tetapi mengulangi bantahannya terhadap gencatan senjata sepenuhnya.

Di Washington, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada Khamis meluluskan rancangan Republikan untuk memberi bantuan sebanyak AS$14.3 bilion ($19.5 bilion) kepada Israel.

Walaupun Demokrat mendesak supaya rang undang-undang (RUU) itu tidak dibenarkan melepasi Senat, Rumah Putih berkata RUU akan dipastikan lulus dengan menggunakan kuasa veto.  

Sempadan Israel-Lebanon menyaksikan pertempuran yang semakin meningkat, terutama antara tentera Israel dan sekutu Hamas, Hezbollah. Pemimpin Hezbollah mengesahkan mereka sudah menyerang 19 kedudukan Israel di sepanjang sempadan secara serentak pada Khamis, menandakan kesediaan mereka untuk berperang.

Perkhidmatan perubatan kecemasan Israel, Encik Magen David Adom, berkata serangan roket mencederakan dua orang di bandar Israel, Kiryat Shmona, dekat sempadan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg