NEW YORK/WASHINGTON: Syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Boeing, telah bersetuju untuk mengaku bersalah terhadap tuduhan konspirasi penipuan jenayah bagi menyelesaikan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan dua nahas melibatkan pesawat jenis 737 Max, kata seorang pegawai pemerintah Amerika pada 7 Julai.
Pengakuan itu, yang memerlukan kelulusan hakim persekutuan Amerika, akan menamakan syarikat pembuat pesawat itu sebagai penjenayah yang disabitkan kesalahan.
Boeing juga akan membayar denda jenayah sebanyak AS$243.6 juta ($328.4 juta), kata seorang pegawai Jabatan Kehakiman (DOJ).
Pertuduhan itu berkaitan dua nahas 737 Max di Indonesia dan Habsyah dalam tempoh lima bulan pada 2018 dan 2019 yang mengorbankan 346 orang dan mendorong keluarga mangsa menuntut Boeing didakwa.
Pengakuan bersalah berpotensi mengancam keupayaan syarikat itu untuk mendapatkan kontrak pemerintah yang lumayan dengan pihak seperti Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan agensi Pentadbiran Penerbangan dan Angasa Lepas Kebangsaan (Nasa), walaupun ia boleh meminta pengetepian.
Boeing terdedah kepada pendakwaan jenayah selepas DOJ pada Mei mendapati syarikat itu melanggar penyelesaian 2021 yang melibatkan kemalangan maut.
Bagaimanapun rayuan itu membebaskan Boeing daripada perbicaraan yang boleh dipertikaikan yang boleh mendedahkan banyak keputusan syarikat yang membawa kepada nahas pesawat Max, kepada penelitian awam yang lebih besar.
Ia juga akan memudahkan syarikat itu, yang bakal mempunyai ketua eksekutif baru pada separuh kedua tahun ini, untuk cuba bergerak ke hadapan sedang ia cuba mendapatkan kelulusan untuk pengambilalihan yang dirancang bagi Spirit AeroSystems.
Boeing bagaimanapun enggan mengulas.
Boeing juga telah bersetuju untuk melabur sekurang-kurangnya AS$455 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk mengukuhkan program keselamatan dan pematuhannya, kata pegawai itu.
DOJ akan melantik pemantau pihak ketiga untuk mengawasi pematuhan firma itu. Pemantau perlu secara terbuka memfailkan laporan tahunan mahkamah mengenai kemajuan syarikat tersebut.
DOJ pada 30 Jun menawarkan perjanjian rayuan kepada Boeing dan memberi syarikat itu sehingga akhir minggu ini untuk menerima perjanjian itu atau menghadapi perbicaraan atas tuduhan bersubahat untuk menipu Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkaitan dengan ciri perisian utama yang terikat dengan kemalangan maut tersebut.
Selepas diberi taklimat minggu lalu mengenai tawaran DOJ itu, seorang peguam untuk beberapa keluarga yang terlibat mengkritiknya sebagai “perjanjian sayang”. Mereka telah berikrar untuk menentang perjanjian itu di mahkamah.
Dorongan DOJ untuk mengenakan tuduhan ke atas Boeing telah memperdalam krisis berterusan yang melanda syarikat pembuat pesawat itu sejak insiden dalam penerbangan yang berasingan pada Januari mendedahkan isu keselamatan dan mutu yang berterusan Boeing.
Sebuah panel dalam jet Boeing 737 Max 9 yang baru telah meletup semasa penerbangan Alaska Airlines pada 5 Jan, hanya dua hari sebelum perjanjian pendakwaan tertunda 2021 yang telah melindungi syarikat tersebut daripada pendakwaan berhubung kemalangan maut sebelum ini tamat.
Perjanjian itu hanya meliputi kelakuan Boeing sebelum kemalangan-kemalangan maut itu, dan tidak melindungi pembuat pesawat itu daripada sebarang kemungkinan penyiasatan atau pertuduhan lain yang berkaitan dengan insiden Januari atau kelakuan lain.
Boeing mengaku bersalah membuat representasi palsu secara sedar kepada FAA tentang pengembangan ciri perisian utama yang digunakan pada Max untuk beroperasi pada kelajuan rendah.
Perisian baru itu menjimatkan wang bagi syarikat Boeing, dengan memerlukan latihan yang kurang intensif untuk juruterbang.
Sistem Peningkatan Ciri-Ciri Mengemudi ialah ciri perisian yang direka untuk menolak hidung pesawat ke bawah secara automatik dalam keadaan tertentu.
Ia terikat dengan dua nahas yang menyebabkan FAA menggantung pesawat itu selama 20 bulan, tindakan yang mengakibatkan Boeing menanggung kos AS$20 bilion. Tindakan itu telah ditarik balik oleh pemerintah pada November 2020.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, lembaga pengarah Boeing akan bertemu dengan saudara-mara mereka yang terkorban dalam nahas Max itu, kata pegawai itu.
Perjanjian itu tidak melindungi mana-mana pegawai eksekutif, kata pegawai DOJ, walaupun pertuduhan terhadap individu dilihat tidak mungkin disebabkan oleh statut pengehadan.
Penalti yang dipersetujui adalah denda kedua terhadap Boeing sebanyak AS$243.6 juta berkaitan kemalangan maut – menjadikan denda penuh ke tahap maksimum yang dibenarkan.
Syarikat itu telah membayar denda itu sebelum ini sebagai sebahagian daripada penyelesaian AS$2.5 bilion pada 2021. Denda AS243.6 juta mewakili jumlah yang telah dapat dijimatkan Boeing dengan tidak melaksanakan latihan simulator penerbangan penuh.
Keluarga mangsa nahas itu menyelar perjanjian sebelumnya dan, pada awal 2024, mendesak DOJ untuk mendapatkan sebanyak AS$25 bilion daripada Boeing.
DOJ telah mengadakan beberapa mesyuarat pada 2024 untuk mendengar daripada keluarga mangsa sedang para pegawai menyiasat pelanggaran Boeing terhadap perjanjian 2021. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg