Keluarga mangsa kepada dua nahas pesawat Boeing 737 MAX yang maut, meminta Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menuntut denda sehingga AS$24.78 bilion ($33.49 bilion) terhadap pembuat pesawat itu dan meneruskan pendakwaan jenayah.
“Oleh kerana jenayah Boeing adalah jenayah korporat paling maut dalam sejarah Amerika, denda maksimum lebih AS$24 bilion adalah wajar di sisi undang-undang,” tulis Encik Paul Cassel, peguam yang mewakili 15 keluarga, dalam surat kepada Jabatan Kehakiman yang dikeluarkan pada 19 Jun.
Kumpulan keluarga itu berkata Jabatan Kehakiman mempunyai kuasa menggantung AS$14 bilion hingga AS$22 bilion denda tersebut “dengan syarat Boeing menumpukan dana yang digantung itu kepada pemantau korporat bebas dan penambahbaikan berkaitan dalam pematuhan dan keselamatan”.
Jabatan Kehakiman pada Mei lalu memutuskan Boeing melanggar perjanjian pendakwaan tertunda 2021, yang melindungi syarikat itu daripada tuduhan jenayah konspirasi untuk melakukan penipuan yang berpunca daripada kemalangan maut pada 2018 dan 2019 yang mengorbankan 346 orang.
Bagaimanapun, Boeing minggu lalu berkata pihaknya tidak melanggar perjanjian itu, lapor Reuters.
Pendakwa raya persekutuan mempunyai masa sehingga 7 Julai untuk memaklumkan kepada Hakim Persekutuan di Texas tentang rancangan mereka, sama ada untuk terus meneruskan kes jenayah atau merundingkan perjanjian pengakuan dengan Boeing.
Jabatan Kehakiman juga boleh melanjutkan perjanjian pendakwaan tertunda selama setahun.
Pegawai Jabatan Kehakiman mendapati Boeing melanggar perjanjian pendakwaan yang ditangguhkan selepas panel menerbangkan jet Boeing 737 MAX 9 Alaska Airlines baru pada 5 Januari, hanya dua hari sebelum perjanjian 2021 tamat.
Kejadian itu mendedahkan isu keselamatan dan kualiti yang berterusan di Boeing.
Dalam surat itu, keluarga tersebut juga berkata lembaga pengarah Boeing harus diarahkan bertemu dengan mereka dan jabatan itu harus “melancarkan pendakwaan jenayah terhadap pegawai korporat yang bertanggungjawab di Boeing pada masa kedua-dua kemalangan itu”.
Boeing dan Jabatan Kehakiman tidak segera membuat ulasan.
Surat itu menyatakan bahawa Senator Richard Blumenthal, yang mempengerusikan Jawatankuasa Kecil Tetap Senat mengenai Penyiasatan dan mengadakan perbicaraan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Encik Dave Calhoun pada 18 Jun, berkata:
“Terdapat hampir bukti kukuh pada pandangan saya sebagai bekas pendakwa, bahawa pendakwaan harus diteruskan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg