MADRID: Sebuah kebakaran telah berlaku di masjid bersejarah yang diubah menjadi katedral di Cordoba pada 8 Ogos, namun monumen berkenaan berjaya diselamatkan selepas bomba bertindak pantas mengawal dan memadamkan api, menurut kata mayor bandar tersebut.
Video yang tular menunjukkan api dan asap membumbung dari dalam tarikan pelancong yang dikunjungi dua juta pelawat setiap tahun itu.
“Monumen ini telah diselamatkan. Api tidak akan merebak, ia tidak akan menjadi satu bencana, begitulah yang boleh kita katakan,” kata Mayor Cordoba, Encik Jose Mara Bellido dalam satu wawancara di saluran televisyen Cadena.
Dalam kenyataan susulan, Encik Bellido berkata kebakaran yang sebelum ini dilaporkan di bawah kawalan oleh bomba itu kini sudah berjaya dipadamkan.
“Mujur, tindakan pantas bomba Cordoba telah menghalang ia (daripada merebak) menjadi satu bencana. Kebakaran kini telah dipadamkan, dan malam ini bomba serta pasukan polis tempatan akan kekal di lokasi untuk mengelakkan sebarang risiko,” tulis beliau di media sosial X.
Kebakaran berlaku sekitar 9 malam pada 8 Ogos (3 pagi pada 9 Ogos, waktu Singapura).
Insiden itu menimbulkan kebimbangan terhadap nasib tapak yang dibina pada awal Zaman Pertengahan, atau Medieval itu dan mengingatkan kembali kejadian kebakaran besar di Katedral Notre Dame, di Paris pada 2019.
ABC dan beberapa akhbar lain melaporkan bahawa sebuah mesin penyapu mekanikal telah terbakar di tapak tersebut.
Dianggap sebagai permata seni bina Islam, bangunan ini pada asalnya adalah tapak sebuah gereja lama sebelum ia dibina semula sebagai masjid antara abad ke-8 dan ke-10 oleh pemerintah Muslim bandar selatan itu, Amir Abd ar-Rahman dari Dinasti Umayyah.
Selepas golongan Kristian menawan semula Sepanyol pada abad ke-13 di bawah Raja Ferdinand III dari Castile, bangunan itu telah diubah menjadi sebuah katedral dan beberapa perubahan seni bina turut dibuat kepada bangunan tersebut sepanjang beberapa abad berikutnya. – AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg