Topik diikuti
Pergi ke BHkuBongkah pemisah ‘garis kuning’ cetus perpindahan baru di Gaza
Bongkah pemisah ‘garis kuning’ cetus perpindahan baru di Gaza
Penduduk Palestin dakwa kawasan selamat semakin kecil susulan perluasan kawalan Israel
Bongkah pemisah ‘garis kuning’ cetus perpindahan baru di Gaza
GAZA: Di tengah kemusnahan akibat perang di Gaza, bongkah konkrit berwarna kuning kini menjadi simbol baharu penderitaan dan ketidakpastian hidup rakyat Palestin.
Bongkah konkrit yang dicat kuning itu menandakan sempadan kawasan yang dikawal Israel serta had kawasan yang dianggap masih “selamat” untuk dimasuki penduduk Palestin.
Sempadan itu dikenali sebagai ‘garis kuning’, yang mula diwujudkan selepas Israel dan Hamas mencapai gencatan senjata pada penghujung 2025.
Namun sejak itu, penduduk Gaza mendakwa garis berkenaan semakin bergerak jauh ke dalam wilayah Palestin, sekali gus mengecilkan lagi kawasan yang boleh didiami rakyat Gaza.
Penduduk kem pelarian Jabalia di utara Gaza, Encik Mustafa Taym, 46 tahun, berkata kedudukan ‘garis kuning’ berubah hampir setiap hari.
“Ia (’garis kuning’) berubah dalam sekelip mata. Hari ini kita datang, esok kita lihat garis itu bergerak satu meter ke depan, kemudian bergerak semula,” katanya.
“Ia seperti permainan kucing dan tikus. Mereka bermain catur dengan kita, langkah demi langkah, bergerak ke kanan dan ke kiri.
“Garis kuning menelan segala-galanya dan hanya meninggalkan bumi hangus,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Cik Moati Zayd, 46 tahun, berkata beliau kembali ke rumahnya di Beit Lahiya di utara Gaza selepas gencatan senjata diumumkan pada Oktober 2025.
Namun, rumahnya didapati musnah sepenuhnya.
“Kami pulang hanya untuk melihat rumah kami menjadi runtuhan dan timbunan batu. Penuh serangga dan ular. Ia tidak lagi sesuai didiami dan kami tidak mempunyai peralatan untuk membersihkan runtuhan,” katanya.
Bandar Beit Lahiya, yang terletak antara Jabalia dengan sempadan Israel, kini terbelah dua akibat ‘garis kuning’.
Selepas gagal kembali ke rumah, Cik Zayd dan keluarganya terpaksa tinggal di khemah berhampiran kawasan sempadan itu.
“Kami terpaksa mendirikan khemah berhampiran rumah kami dekat ‘garis kuning’. Kami hanya mahu hidup aman dan selamat. Kami tidak bersenjata,” katanya.
“Tetapi pada tengah malam, tentera dengan jentolak Caterpillar D9, kereta kebal Merkava dan dron quadcopter datang memusnahkan khemah kami,” katanya lagi.
Ketika gencatan senjata diumumkan pada 2025, peta baharu Gaza dikeluarkan bagi menunjukkan kawasan yang dikawal setiap pihak.
Pada ketika itu, Israel menguasai lebih separuh wilayah Gaza dan ‘garis kuning’ diwujudkan sebagai had pertama pengunduran tentera Israel dalam perjanjian gencatan senjata.
Perjanjian itu pada asalnya bertujuan membolehkan tentera Israel berundur secara berperingkat dari beberapa kawasan Gaza ketika rundingan damai diteruskan.
Namun, proses rundingan terutama berkaitan isu pelucutan senjata Hamas gagal mencapai kemajuan, menyebabkan tentera Israel tidak berundur ke kawasan lebih hampir dengan sempadan asal Israel.
Sebaliknya, penduduk mendakwa tentera Israel terus mengambil lebih banyak kawasan di Gaza.
Penduduk tempatan berkata bongkah konkrit kuning itu telah dipindahkan secara senyap sejak lapan bulan lalu.
Analisis imej satelit oleh kumpulan penyelidikan Forensic Architecture dari Universiti London mendapati di beberapa kawasan, bongkah kuning kini berada ratusan meter lebih jauh ke dalam Gaza berbanding kedudukan rasmi asal.
Kajian itu juga mendapati beberapa bangunan dimusnahkan di luar ‘garis kuning’, manakala tentera Israel turut membina benteng tanah di sepanjang atau di luar sempadan tersebut.
Tentera Israel pada awal 2026 turut menyerahkan peta kepada agensi bantuan kemanusiaan yang menunjukkan satu lagi zon dikenali sebagai ‘garis jingga’.
‘Garis jingga’ difahamkan bertindak sebagai zon penampan sebelum ‘garis kuning’ dan sebarang pergerakan di kawasan itu perlu mendapat penyelarasan dengan pihak berkuasa Israel.
Gabungan langkah tersebut menyebabkan semakin banyak kawasan Gaza kini berada di bawah kawalan efektif Israel.
Keadaan itu memaksa lebih 2.1 juta penduduk Gaza tinggal di kawasan yang semakin sempit selain menyebabkan lebih ramai rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.
Pada akhir Mei, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata tentera Israel kini menguasai 60 peratus Gaza dan beliau mahu angka itu ditingkatkan kepada 70 peratus.
“Mari kita mulakan dengan itu, himpit mereka dari semua arah dan kita akan uruskan apa yang tinggal selepas itu,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan ratusan rakyat Palestin terbunuh ketika menghampiri bongkah kuning itu sejak gencatan senjata bermula.
Daripada lebih 1,000 rakyat Palestin yang maut dalam serangan Israel sejak gencatan senjata, ratusan ditembak berhampiran kawasan tersebut.
Pada akhir November, dua kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun antara yang ditembak mati berhampiran Garis Kuning.
Keluarga mereka berkata kedua-dua kanak-kanak itu sedang mencari kayu api, namun tentera Israel mendakwa mereka menghampiri kawasan tentera dan dianggap ancaman segera.
Banyak kawasan di belakang Garis Kuning kini musnah sepenuhnya.
Bandar seperti Beit Hanoun di utara dan Rafah di selatan hampir diratakan oleh tentera Israel sebelum gencatan senjata Oktober 2025, dan kemusnahan dilaporkan masih berterusan hingga kini.
Penduduk Beit Hanoun, Encik Ibrahim Mahmoud, 60 tahun, berkata beliau kini hilang harapan untuk kembali ke rumahnya.
“Pada mulanya Garis Kuning berada kira-kira setengah kilometer dari rumah kami,” katanya.
“Selepas dua atau tiga bulan kami kembali dan mendapati rumah kami kini berada di dalam kawasan garis itu.
“Itulah yang mengejutkan kami. Ketika itu kami mula hilang harapan untuk pulang,” katanya.
Beliau kini tinggal di kem khemah Deir Al Balah tetapi bimbang garis itu akan terus bergerak.
“Ke mana lagi saya harus pergi? Laut ada di belakang saya. Ke mana lagi saya mahu pergi?” katanya.
Tentera Israel dalam kenyataan kepada ABC mengesahkan mereka kini mempunyai “kawalan operasi ke atas kira-kira 60 peratus Gaza”.
Menurut tentera Israel, kedudukan pasukan akan sentiasa dinilai dan diubah mengikut keperluan operasi.
Tentera Israel juga menolak dakwaan bahawa penduduk Palestin tidak diberikan amaran sebelum perubahan sempadan dibuat.
“IDF berusaha sedaya upaya untuk memberi amaran awal kepada orang awam melalui pelbagai cara termasuk notis pemindahan supaya mereka dapat menjauhi kawasan pertempuran aktif,” menurut kenyataan itu.
Tentera Israel berkata sebarang perubahan lanjut akan ditentukan oleh pemerintah Netanyahu. – Agensi berita.
