EVIAN (Perancis): Presiden Mesir, Encik Abdel-Fattah al-Sisi, pada 16 Jun menggesa Israel menghentikan rancangan memperluaskan penguasaan tenteranya sehingga 70 peratus wilayah Gaza ketika penduduk Palestin terus berdepan pemindahan dan serangan berterusan di kawasan itu.

Gesaan itu dibuat ketika saksi di Gaza mendakwa tentera Israel terus mengalihkan “garisan kuning” atau garis sempadan pemisah antara kawasan yang dikawal Hamas dan Israel lebih jauh ke dalam wilayah Palestin.

Bercakap dalam sesi khas mengenai kestabilan Asia Barat sempena sidang puncak Kumpulan Tujuh (G7) di Evian, Perancis, Encik Sisi berkata pendekatan Israel itu perlu dihentikan segera kerana hanya sebahagian kecil Gaza kini masih boleh didiami rakyat Palestin.

“Hanya 30 peratus Gaza yang secara efektif masih tinggal untuk rakyat Palestin,” katanya.

“Pendekatan seperti ini mesti dihentikan segera,” tambah beliau dalam sesi yang turut dihadiri pemimpin G7, Kesatuan Eropah (EU), Amiriah Arab Bersatu dan Qatar.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata beliau mengarahkan tentera Israel mengambil alih lebih banyak kawasan di Gaza walaupun langkah itu dilihat bercanggah dengan syarat gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa sejak Oktober tahun lalu.

Di bawah perjanjian tersebut, Israel sepatutnya hanya mengawal sekitar 50 peratus wilayah Gaza.

Bagaimanapun, Encik Netanyahu berkata tentera Israel kini menguasai sekitar 60 peratus Gaza dan sedang bergerak ke arah penguasaan 70 peratus wilayah itu.

Encik Sisi turut menegaskan tiada penyelesaian lain terhadap konflik Palestin selain pelaksanaan formula dua negara.

“Tiada alternatif selain mencapai penyelesaian adil dan berkekalan terhadap isu Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara,” katanya.

Beliau turut menyokong pelaksanaan pelan damai Gaza yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Mesir yang berkongsi sempadan dengan Gaza terus memainkan peranan penting sebagai pengantara antara Israel dan Hamas sejak perang tercetus selepas serangan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Fasa pertama gencatan senjata sebelum ini menyaksikan pembebasan baki tahanan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan keselamatan Palestin.

Namun, peralihan ke fasa kedua yang sepatutnya melibatkan pelucutan senjata Hamas dan pengunduran berperingkat tentera Israel masih tergendala.

Hamas menuduh Israel gagal memenuhi kewajipan dipersetujui dalam fasa pertama perjanjian Oktober lalu, manakala Israel menegaskan operasi tenteranya bertujuan menghalang serangan Hamas dan kumpulan bersenjata lain.

Pada 14 Jun Ahad lalu, Hamas dan beberapa kumpulan Palestin lain mengesahkan mereka menyerahkan maklum balas bertulis terhadap pelan 15 perkara yang dikemukakan pihak pengantara dan Lembaga Keamanan pimpinan Encik Trump.

Sumber rapat dengan rundingan berkata kumpulan Palestin bersetuju dengan 14 daripada 15 perkara yang dicadangkan.

Namun, pertikaian utama masih membabitkan isu pelucutan senjata Hamas yang menurut kumpulan itu hanya boleh dilakukan sekiranya wujud laluan politik jelas ke arah penubuhan negara Palestin.

Israel pula terus menegaskan Hamas mesti melucutkan senjata, menyerahkan kuasa di Gaza dan tidak dibenarkan memainkan sebarang peranan dalam masa depan wilayah itu.

Pemerintah Netanyahu juga berulang kali menolak penubuhan negara Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, saluran Channel 13 Israel melaporkan Amerika baru-baru ini meminta tentera Israel supaya tidak melancarkan operasi ketenteraan baharu di Gaza selepas mengetahui rancangan tersebut.

Sumber diplomatik memberitahu saluran itu bahawa pengantara antarabangsa setakat ini tidak mengkritik secara terbuka peluasan kawalan tentera Israel kerana dikatakan kecewa dengan sikap Hamas yang didakwa gagal memenuhi beberapa komitmen kepada Washington dan pihak pengantara.

Sementara itu, serangan udara Israel pada 16 Jun mengorbankan sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

Petugas perubatan berkata dua beradik, Ahmed dan Mahmoud Abu Heen, maut selepas satu serangan berhampiran bangunan kediaman.

Tentera Israel bagaimanapun belum mengulas kejadian tersebut.

Penduduk di utara Gaza pula dilaporkan melarikan diri selepas tentera Israel memperluaskan kawalan di beberapa kawasan termasuk Al-Tuffah di Bandar Gaza.

Rakaman Reuters menunjukkan blok sempadan berwarna kuning dipindahkan lebih hampir ke kawasan rumah penduduk.

Seorang penduduk Al-Tuffah, Cikk Umm Muhammad Junaynah, berkata keluarganya kini tidak tahu ke mana harus pergi.

“Kami mengeluarkan perabot dari rumah tetapi kami tidak tahu hendak ke mana. Kami sudah tiada tempat untuk pergi,” katanya sambil menahan tangisan.

Seorang lagi penduduk, Cik Nour Shabat, berkata beliau sudah terlalu letih hidup berpindah-randah akibat perang.

“Saya penat dipindahkan berkali-kali. Apa salah kami sehingga semua ini berlaku kepada kami?” katanya.

Menurut beliau, ramai penduduk kini terpaksa berlindung di khemah sementara atau bangunan rosak di kawasan sempit berhampiran pantai Gaza.

Hampir keseluruhan penduduk Gaza seramai dua juta orang kini hidup dalam keadaan serba kekurangan selepas wilayah itu musnah akibat serangan tentera Israel selama hampir dua tahun.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 73,000 penduduk terbunuh sejak perang bermula, majoritinya orang awam.

Israel pula mendakwa Hamas menggunakan kawasan awam seperti hospital, sekolah dan masjid sebagai lokasi operasi ketenteraan dan tempat persembunyian anggota bersenjata. – Agensi berita.