LONDON: Dua eksekutif tertinggi British Broadcasting Corporation (BBC) telah meletak jawatan susulan laporan yang mencadangkan bahawa penyiar perkhidmatan awam Britain itu secara mengelirukan telah menyunting ucapan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mendahului rusuhan di bangunan Capitol pada 6 Januari.bagi dokumentari utamanya.
Encik Tim Davie, ketua pengarah, dan Cik Deborah Turness, ketua eksekutif BBC News, meletak jawatan secara tiba-tiba beberapa hari selepas The Daily Telegraph melaporkan mengenai memo dalaman yang bocor.
Memo berkenaan mendakwa bahawa dokumentari BBC Panorama telah membandingkan kenyataan Encik Trump dengan cara yang mengelirukan untuk menunjukkan bahawa beliau menggalakkan serangan ke atas Capitol pada 6 Januari 2021.
Mengumumkan perletakan jawatannya, Encik Davie berkata: “Seperti semua organisasi awam, BBC tidak sempurna, dan kita mesti sentiasa terbuka, telus dan bertanggungjawab.
“Walaupun bukan satu-satunya sebab, perdebatan semasa mengenai BBC News difahami telah menyumbang kepada keputusan saya. Secara keseluruhannya, BBC menyampaikan dengan baik, tetapi terdapat beberapa kesilapan yang telah dilakukan, dan sebagai ketua pengarah, saya perlu bertanggungjawab sepenuhnya.”
Kontroversi terbaru itu menyusuli laporan Daily Telegraph minggu lalu yang menyatakan kebimbangan pertama kali dibangkitkan pada musim panas dalam memo mengenai kesaksamaan oleh Encik Michael Prescott, yang, sehingga Jun, merupakan penasihat luaran bebas kepada jawatankuasa piawaian editorial BBC.
Dalam memo yang bocor itu, bekas wartawan Encik Prescott mendakwa bahawa dalam dokumentarinya yang bertajuk “Trump: A Second Chance?” yang disiarkan oleh BBC seminggu sebelum pilihan raya Amerika tahun lalu, BBC, dalam satu bahagian, menggabungkan rakaman daripada komen yang dibuat oleh Encik Trump dengan jarak kira-kira 50 minit.
Encik Trump telah dituduh menghasut serangan perusuh ke atas bangunan Capitol, berusaha untuk mengekalkan kuasa walaupun tewas dalam percubaan pemilihan semula.
Encik Prescott berkata bahawa suntingan itu seolah-olah Encik Trump telah memberitahu penyokong bahawa beliau akan berjalan ke Capitol bersama mereka dan “berjuang habis-habisan”.
Bagaimanapun, dalam klip yang tidak diedit itu, Encik Trump menggesa penonton supaya berjalan bersamanya, “dan kami akan memberi sokongan kepada senator berani kami dan anggota Kongres dan wanita.”
Pada masa itu, Encik Trump masih mempertikaikan kemenangan pilihan raya oleh Presiden Joe Biden.
Dengan 21,000 pekerja, BBC merupakan salah satu penyiar perkhidmatan awam terkemuka di dunia. Ia dibiayai daripada yuran lesen yang dibayar oleh rakyat Britain yang menonton Ttelevisyen dan hasil komersial - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg