WASHINGTON: Beratus-ratus penyokong Presiden Donald Trump yang dipenjarakan kerana menyertai serangan pada 6 Januari 2021 ke atas bangunan Capitol, dibebaskan pada 21 Januari, selepas presiden baru itu mengampuni lebih 1,500 orang, termasuk beberapa yang menyerang pegawai polis.
Biro Penjara Persekutuan berkata 211 orang telah dibebaskan dari pusat tahanan persekutuan berikutan arahan Encik Trump.
Pengampunan menyeluruh oleh Encik Trump – yang melampaui jangkaan sekutunya – mendapat kecaman daripada polis, kaum keluarga dan penggubal undang-undang, termasuk beberapa penyokong Republikan.
Majoriti rakyat Amerika tidak bersetuju dengan keputusan Encik Trump, menurut dapatan hasil tinjauan Reuters/Ipsos.
Keputusan itu turut dikritik oleh Fraternal Order of Police (FOP), kesatuan polis terbesar di Amerika Syarikat. yang telah menyokong Encik Trump dalam pilihan raya pada November 2024.
FOP dan Persatuan Ketua Polis Antarabangsa dalam satu kenyataan bersama mereka menyatakan pengampunan itu “sangat tidak digalakkan”.
Antara yang dibebaskan ialah Encik Stewart Rhodes, mantan ketua kumpulan Penyimpan Sumpah sayap kanan, yang dihukum penjara 18 tahun kerana merancang menggunakan kekerasan untuk menghalang Kongres daripada mengesahkan kekalahan Encik Trump kepada Encik Joe Biden pada 2020.
Encik Rhodes berkata beliau tidak menyesal dan masih percaya dakwaan palsu Encik Trump bahawa beliau kalah dalam pilihan raya itu kerana penipuan.
Encik Trump memerintahkan pengampunan untuk semua perusuh yang didakwa menyerbu bangunan Capitol dalam usaha yang tidak berjaya untuk membatalkan kekalahannya dalam pilihan raya.
Kira-kira 140 pegawai polis cedera dalam serangan itu.
Encik Craig Sicknick, yang abangnya, seorang pegawai polis, telah diserang semasa rusuhan dan meninggal dunia, menyifatkan Encik Trump sebagai “syaitan besar”.
“Lelaki yang membunuh abang saya kini menjadi Presiden,” katanya.
Hampir 60 peratus responden dalam tinjauan pendapat Reuters/Ipsos itu menyatakan Encik Trump tidak sepatutnya mengampuni semua perusuh Capitol.
Senator Thom Tillis berkata menyelamatkan perusuh yang menyerang polis menghantar mesej yang salah.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, yang mempertahankan pengampunan itu, menyatakan bahawa penahanan perusuh adalah lebih bermotifkan politik. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg