KAZAN (Russia): Pemimpin negara anggota Brics pada 23 Oktober menggesa gencatan senjata kekal serta-merta di Jaluran Gaza serta pembebasan tebusan dan tahanan daripada “kedua-dua belah pihak”.
Ia turut mengecam Israel atas serangan yang telah membawa kepada pembunuhan besar-besaran orang awam di wilayah itu.
Konflik yang semakin memuncak di Asia Barat itu digambarkan dengan ketara dalam Deklarasi Kazan, yang diterima pakai oleh sembilan negara anggota Brics mengeluarkan kenyataan bersama para pemimpin yang menyertai sidang puncak ke-16 kumpulan itu.
Brics ialah pertubuhan yang dianggotai Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Habsyah dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, berkata sejurus gencatan senjata dicapai, langkah segera perlu diambil untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
“Dalam deklarasi hari ini (23 Oktober), para pemimpin Brics menggesa agar pertumpahan darah ditamatkan segera di Jaluran Gaza dan selatan Lebanon dan semua isu kemanusiaan ditangani kerana krisis kemanusiaan terbesar sedang melanda orang awam di sana,” katanya.
Pengisytiharan itu secara khusus mengutuk serangan udara Israel ke atas konsulat Iran di Syria pada April yang telah membunuh pegawai Pengawal Revolusi Iran.
“Kami mengulangi kebimbangan kami terhadap keadaan yang semakin buruk dan krisis kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki Israel, khususnya peningkatan keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza dan di Tebing Barat.
“Kami menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera, menyeluruh dan kekal di Gaza, pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua tebusan dan tahanan dari kedua-dua pihak dan peningkatan bantuan kemanusiaan dan pemberhentian semua tindakan agresif,” kata pengisytiharan itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg