KUALA LUMPUR: Malaysia maju selangkah lagi untuk menjadi anggota Brics, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima jemputan Russia untuk menyertai sidang puncak kumpulan itu di Kazan, Russia pada 22 hingga 24 Oktober.
Brics adalah sebuah pertubuhan antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Datuk Anwar berkata jemputan itu disampaikan sendiri oleh Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, ketika satu majlis jamuan malam kerja semasa lawatan beliau ke Russia, dan ia sekali gus menjadi bukti jelas mengenai kepentingan Malaysia kepada Moscow.
“Ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat akhir kita untuk menyertai kumpulan itu,” kata beliau menerusi satu catatan di Facebook, mengenai lawatan dua harinya ke Russia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Anwar berkata semasa perbincangan itu, beliau dan Encik Putin menyatakan komitmen masing-masing untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Russia.
“Ketika Malaysia terus memperluas ruang geo-ekonomi dan mempelbagaikan hubungan strategik, Russia akan menjadi rakan utama yang berkongsi visi kita untuk pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan,” katanya.
Beliau juga berkata bahawa daripada kewangan Islam hingga pertanian dan pendidikan, potensi untuk Malaysia dan Russia saling memanfaatkan kepakaran satu sama lain demi manfaat bersama rakyat adalah amat besar.
Pada 28 Julai, Datuk Anwar berkata Malaysia telah menghantar permohonan kepada Russia untuk menyertai Brics selepas kunjungan hormat yang dilakukan oleh Menteri Luar Russia, Encik Sergey Lavrov.
Sebelum itu pada 18 Jun, Datuk Anwar mengesahkan hasrat Malaysia menyertai Brics kepada Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva.
Sementara itu, pertemuan Datuk Anwar dengan Encik Putin membuka peluang bagi dua pemimpin itu membincangkan hubungan dua hala, termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan.
Malaysia dan Russia juga bakal meneroka kerjasama dalam bidang baru seperti aeroangkasa dan teknologi termaju.
Datuk Anwar tiba Russia pada 4 September bagi lawatan dua hari. Ia lawatan pertama beliau ke negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, turut menyampaikan ucaptama pada sesi Plenari Forum EEF 2024 di Vladivostok, Russia, pada 5 September.
Pada 2023, Russia adalah rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Eropah. Jumlah dagangan dua hala meningkat 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion ($4.26 bilion), daripada RM12.3 bilion pada 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg