BAITULMAKDIS: Rancangan Israel membuka tender bagi pembinaan sekitar 1,200 rumah petempatan Yahudi di kawasan strategik Tebing Barat yang diduduki mencetuskan bantahan baharu daripada beberapa kuasa Barat, di tengah-tengah kebimbangan projek itu akan menjejaskan usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bersambung.

Britain, Perancis, Jerman, Italy dan Canada dalam kenyataan bersama pada 20 Ogos menyifatkan keputusan Israel itu sebagai “tidak boleh diterima” dan menggesa rancangan tersebut ditarik balik dengan segera.

“Pada ketika Tebing Barat berdepan ketidakstabilan serius, dengan tahap keganasan penduduk haram terhadap orang awam yang belum pernah berlaku sebelum ini serta sekatan besar terhadap ekonomi Palestin, keputusan ini lebih membimbangkan,” menurut kenyataan bersama itu.

“Rancangan ini bukan sahaja akan menjauhkan kita daripada keamanan, malah semakin menjejaskan kedudukan Israel di peringkat antarabangsa,” tambah kenyataan tersebut.

Bantahan itu menyusuli langkah Kementerian Perumahan Israel pada 19 Ogos mengeluarkan tender bagi pembinaan 1,234 daripada keseluruhan 3,401 unit rumah yang diluluskan pemerintahan Israel pada Ogos 2025.

Projek itu terletak di kawasan E1, meliputi kira-kira 12 kilometer persegi antara Baitulmakdis Timur dengan petempatan Maale Adumim.

Kawasan tersebut dianggap sangat penting kepada masa depan penyelesaian dua negara kerana pembinaan petempatan di situ dikhuatiri akan memisahkan bahagian utara dan selatan Tebing Barat.

Ia juga boleh menghalang pembentukan kawasan bandar Palestin yang bersambung antara Ramallah, Baitulmaqdis Timur dengan Baitul Laham.

Semua petempatan Israel di wilayah yang diduduki dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa, meskipun Israel mempertikaikan pendirian tersebut.

Disebabkan tekanan antarabangsa, rancangan pembangunan E1 tertangguh selama beberapa dekad kerana sekutu Israel dan rakyat Palestin memberi amaran bahawa projek berkenaan boleh memberi tamparan besar kepada prospek penyelesaian dua negara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan bantahan dan menyifatkan rancangan E1 sebagai “ancaman terhadap kewujudan” sebuah negara Palestin yang mempunyai wilayah bersambung.

Menteri Luar Belgium turut mengeluarkan amaran serupa.

Menteri Luar Britain, Encik Ed Miliband, sebelum itu mengecam keputusan Israel, tetapi kritikan tersebut ditolak keras oleh Menteri Luar Israel.

Tender itu dikeluarkan walaupun rancangan pembangunan E1 sedang berdepan cabaran di mahkamah Israel oleh masyarakat Badwi Palestin yang tinggal di kawasan berkenaan serta kumpulan keamanan Israel.

Tarikh akhir bagi syarikat mengemukakan bidaan ditetapkan pada 19 Oktober, hanya beberapa hari sebelum pilihan raya umum Israel pada 27 Oktober.

Langkah itu dijangka menyukarkan mana-mana pemerintahan baharu Israel membatalkan tender berkenaan selepas pilihan raya.

Ketika rancangan pembinaan 3,401 unit rumah di E1 diumumkan pada Ogos lalu, Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, seorang tokoh nasionalis tegar yang menyokong gerakan penduduk haram, secara terbuka berkata gagasan penubuhan negara Palestin sedang “dipadamkan”.

Israel telah membina sekitar 160 petempatan yang menempatkan kira-kira 700,000 penduduk Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak menduduki wilayah tersebut dalam Perang Timur Tengah 1967.

Kira-kira 3.3 juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat.

Rakyat Palestin mahukan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, bersama Gaza, sebagai wilayah bagi sebuah negara Palestin pada masa depan.

Walaupun berdepan bantahan antarabangsa, beberapa pemerintahan Israel berturut-turut terus membenarkan penempatan Yahudi berkembang.

Pembinaan dan peluasan penempatan meningkat dengan ketara sejak Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kembali berkuasa pada akhir 2022 dengan mengetuai gabungan sayap kanan yang menyokong gerakan penduduk haram.

Trend itu semakin meningkat selepas tercetusnya perang Gaza susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Penentang projek E1 memberi amaran bahawa pelaksanaannya boleh menjadi antara halangan terbesar kepada pembentukan negara Palestin pada masa depan.

Menurut mereka, pembinaan penempatan di kawasan tersebut bukan sahaja boleh memutuskan hubungan antara utara dengan selatan Tebing Barat, malah berpotensi mengasingkan Baitulmaqdis Timur daripada kawasan Palestin di sekitarnya.

Keadaan itu akan menjadikan usaha membentuk sebuah negara Palestin dengan wilayah yang bersambung secara geografi semakin sukar, sekali gus menambah cabaran kepada penyelesaian dua negara yang sekian lama disokong masyarakat antarabangsa. – Agensi berita.